Siapa Sebelum Nurin Jazlin ?
Apa yang telah berlaku kepada Nurin Jazlin Jazimin merupakan satu peristiwa
yang telah mendapat perhatian seluruh negara. Kesakitan dan penderitaan yang
dialami oleh kanak-kanak yang hanya berumur 8 tahun ini tidak dapat dibayangkan.
Begitu juga dengan trauma yang terpaksa dihadapi oleh ibubapa, adik beradik dan
keluarga arwah Nurin Jazlin, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.
Sedarkah kita bahawa kejadian culik, rogol dan bunuh ini bukanlah perkara yang
baru tetapi sebelum ini ada beberapa kes lagi. Kebanyakan kes-kes ini
melibatkan remaja dan kanak-kanak.
Pada 18 Mei 1999 Audrey Melissa Bathinathan,
17 tahun telah dijumpai berhampiran Sekolah Perempuan Methodist
Kuala Lumpur, tempat beliau belajar. Hasil bedah siasat mendapati mangsa telah
dipukul di kepala, dirogol dan dijerut lehernya. Noor Suzaily Mukhtar, 24 tahun
telah ditemui di Taman Bukit
Tinggi pada 7 Oktober 2000 Klang.
Mangsa telah dirogol dan bunuh dalam sebuah bas ekspres dan mayatnya dicampak
di sebuah jalan di kawasan pembinaan Taman Bukit Tinggi, Klang.
Pada 23 Oktober 2000 Nor Shuhada Borak, 6
tahun ditemui mati dalam tangki air di bumbung bangunan kediaman
tiga tingkat jenis townhouse di Selayang dalam keadaan separuh bogel dan lebam
pada muka dan tangan. Mangsa dipercayai telah dirogol sebelum dibunuh. Gadis
berusia 17 tahun, Farrah Deeba Rustam
dirogol dan dibunuh di bawah jambatan jalan masuk ke Kampung Tersusun Batu 2,
Jalan Lama Bidor-Tapah pada 14 Februari 2001.
Mangsa mati akibat dijerut dengan menggunakan tali..
Nurul Hanis Kamil telah dibunuh dalam semak selepas pulang dari
sekolah di Serkam Darat, Merlimau, Melaka pada 3 Julai 2001. Sementara itu
seorang kanak-kanak perempuan
berusia tujuh tahun dirogol dan diliwat sehingga terkeluar usus oleh dua remaja
berusia 19 tahun tahun ketika merompak keluarga mangsa di rumahnya di Taman
Bukit Maluri, Kepong pada 13 Ogos 2001.
Norshakila Ramli Choo, 6 tahun
telah dirogol sebelum dibunuh di Taman Tasik Permai Ampang pada 1 April 2002.
Seorang pelajar sekolah menengah telah ditolak dari atas jejantas, ditendang
dan dicekik sebelum dirogol di bawah jejantas Jalan Reko, Kajang antara jam
2.35 petang dan 4.00 petang pada 8 Oktober
2002. Mangsa mengalami patah tulang belakang dan nyaris meninggal
dunia. Kaki dan tangan mangsa juga diikat ke belakang dan badannya ditutup
dengan plastik hitam, mulut disumbat dengan stokin dan diikat dengan sapu
tangan sebelum ditinggalkan
Pada 6 November 2002 Siti Nurliyana Shamimi
Rosdi seorang kanak-kanak berumur dua tahun telah diculik, dirogol
dan dibunuh, dijumpai dalam keadaan bogel di tebing Sungai Kedah, kira-kira 500
meter dari rumahnya di Kampung Seberang Terus. Hasil bedah siasat mendapati ada
kesan koyak pada kemaluan mangsa, selain lebih 40 kesan luka pada badan. Mangsa
juga mengalami pendarahan dalam otak dipercayai akibat dipukul dengan benda
keras.
Noritta Samsudin berumur 22 tahun
telah dijumpai mati di Kondominium Puncak PrimaGalleria, Sri Hartamas,
Kuala Lumpur pada 5
Disember 2003. Mangsa dikatakan telah dirogol sebelum dibunuh. Pada 13 Jun 2003
Canny Ong lay Kian telah
dilarikan dari tempat letak kereta Bangsar
Shopping Center . Mayat
mangsa ditemui separuh rentung di dalam sebuah longkang di tepi Jalan Klang
Lama, Kuala Lumpur .
Kanak-kanak berusia 10 tahun, Hasirawati
Saridi ditemui mati dipercayai dibunuh dan dirogol ketika dalam
perjalanan ke sekolah di Kampung Ratau, Menggatal, Kota Kinabalu,
Sabah pada 8 Januari
2004.
Pada 17 Januari 2004 seorang
kanak-kanak berusia 10 tahun, Nurul Huda
Abdul Ghani telah dirogol, diliwat sebelum dibunuh di pondok
pengawal stesen pencawang Tenaga Nasional Berhad Kampung Pekajang, Gelang
Patah, Johor. Mayatnya ditemui berbogel tersandar pada dinding tandas pondok
pengawal tersebut dalam keadaan mencangkung.
Mazny Abdullah dari Junjung, Bukit Mertajam, Pulau Pinang telah
dibunuh pada 23 November 2004. Siti Syazwani
Ahmad Dusuki, 9 tahun telah dibunuh selepas dirogol di Taman Rhu
pada 22 Disember 2004.
Masih ingatkah lagi kita kepada apa yang telah berlaku kepada mereka ini? Bila
membaca kisah Nurin Jazlin ramai yang merasa sedih dan hiba malah ada juga yang
terkejut dan marah. Kita merasa perkara yang sama bila kejadian sebelum Nurin
Jazlin berlaku tapi selepas itu kita lupa.
Sudah tiba masanya sesuatu dilakukan untuk mencegah daripada berulangnya
kes-kes seumpama ini. Ketika ini ramai yang bercakap dan memberi pelbagai
cadangan selepas apa yang berlaku pada Nurin Jazlin. Persoalannya bilakah
pandangan dan cadangan ini boleh dilaksanakan? Bila pula kita sendiri akan
mengambil tindakan untuk mengubah keadaan ini? Adakah kita hendak menunggu
Siapa Selepas Nurin Jazlin baru ada kesedaran?
___________________________________________________________
Copy addresses and emails from any email account to Yahoo! Mail - quick, easy
and free. http://uk.docs.yahoo.com/trueswitch2.html