Menyeberangi Alam 
Barzakh
Diluluskan pada Isnin, 21 April 2008 @ 20:06:05   
"Saya pegang nisan dikubur arwah abang Hamid yang baru saja kami 
kebumikan sebentar tadi. Fikiran saya berputar ligat. "Aii.. menung nampak? 
Kenapa?" tanya Bakar, kawan baik saya yang turut sama menjadi penggali kubur di 
Bakri, Muar, Johor.

"Tak ada apa-apa. Saja tengok kain ni, dah kotor 
sikit kena tanah," saya berdalih, cuba menyembunyikan perkara yang berasak-asak 
datang ke kepala. 

Mari pergi kat pondok... mandur nak jumpa. Dia nak 
cakap fasal kerja, gaji,overtime. Pak Dolah, kawan-kawan lain dah pergi dah," 
tambah Bakar sambil memikul cangkul dan botol airnya. 

"Pergilah dulu, 
nanti aku datang," balas saya lantas duduk termenung. 

Sepeninggalan 
Bakar, saya duduk di pinggir kubur Abang Hamid. Saya termenung. Ada satu 
perkara 
yang sedang menyucuk-nyucuk fikiran saya. Sebenarnya sudah lama ia bermain-main 
di benak tapi sekarang ini makin mendesak. 

Orang ramai sudah balik, 
Munkar dan Nakir sudah datangkah menyoal Abang Hamid, hati saya bertanya. Kata 
orang, selepas tujuh langkah kita tinggalkan pusara, maka akan datanglah dua 
malaikat itu untuk menyoal simati. Kalau bagus amalannya semasa hidup, 
berbahagialah. Tapi kalau bergelumang dengan kemungkaran, bersiap sedialah... 

Saya teringat cerita kononnya ada orang yang menekap telinga ke kubur 
dan dengar bunyi dentuman tapak kaki di dalam. Konon cerita, lepas itu 
terdengar 
pula bunyi hentaman dan si mati menjerit-jerit. 

Eee... seramnya. Macam 
mana agak-nya rupa Munkar dan Nakir. Besarkah badannya, garangkah rupanya atau 
berjubah dan maniskah wajahnya? Kalau dibelasahnya kita, tentu sakitnya tak 
terperi. Kalau lipan, jengking datang habislah kita disepit. Nak lari tak 
boleh, 
nak mengadu tak boleh, kita seoranglah menanggung sakit pedih. Astaghfirullahal 
azim... 

Saya masih lagi duduk melangu di pinggir kubur Abang Hamid. Jiwa 
muda saya makin menggaru-garu. Kian lama saya termenung kian ia mengganas dan 
mengacau fikiran. 

Pergi... pergi sekarang! Johar, masa inilah kalau nak 
cuba . Kawan- kawan dah tak ada, cepat, ia berbisik di telinga saya. 

Jari-jemari saya bergerak-gerak. Lutut dah mula menggeletar manakala 
kepala rasa berpusing. Saya beristighfar beberapa kali mententeramkan jiwa yang 
bergelora, namun bisikan itu makin kuat berkumandang di 
telinga. 

Cepat, cepat, cepat! Inilah masanya. Johar, apa engkau tunggu lagi?' Kan 
engkau nak tau sangat, jangan tercegat lagi. Kau takut? Allah, bukannya kena 
tangkap, bukannya boleh mati... 

Jadi bisu? Sakit, lepas tu mereng sampai 
mati Jangan pedulilah, tu cerita orang saja. Entah ya entah tidak. Engkau orang 
muda, kuat semangat, apa nak takut. Cepat Johar, cepat, cepaaaaat! 

Dimulai lafaz bismillah dan selawat kepada Nabi, saya terus bangun dan 
terjun ke dalam kubur di sebelah pusara Abang Hamid. Ia baru saja digali sebab 
di sini, kami biasanya sudah gali lebih kurang 10 kubur sebagai persediaan. 
Maklumlah, Bakri ni kawasan besar, kalau ada banyak 
kematian sekali gus, 
taklah timbul masalah. 

Di dalam lahad saya berbaring dan meratib, 
lailahaillallah, 
lailahaillallah, lailahaillallah... 

Saya pejamkan 
mata, menggigil tengok dinding lahad di depan mata. Bau tanah dan sempitnya 
ruang di dalam lahad itu menyebabkan saya betul-betul gemuruh. 

Munkar, 
Nakir, ular, jengking, api tinggi menggulung, nanah, darah dan segala seksaan 
yang pcrnah didengar daripada guru-guru agama terbayang di depan mata. 

Saya juga teringat pada alunan suara seorang wanita membaca al-Quran 
dari salah sebuah kubur di sini yang saya dengar beberapa bulan lalu. Jeritan, 
tangisan dan raungan dari kubur-kubur lain yang didengar pada malam-malam 
selepas itu juga pantas menyerbu fikiran. 

Suara-suara aneh dari kubur 
itulah yang sebenarnya menggaru-garu jiwa saya untuk menyaksikan sendiri 
keadaan 
di alam barzakh. Bunyinya memang gila, mana boleh manusia hidup menycberangi ke 
alam barzakh, tapi 
saya ingin juga merasainya. 

Lailahaillallah 

Lailahaillallah 

Lailahaillallah 

Saya terus meratib dan 
meratib hinggalah tiba-tiba dunia menjadi kelam dan sedetik kemudian bergema 
satu bunyi yang amat menakutkan. 

GGRUUMMM... PPPRRAAAPPP!! 

Tanah 
di kubur Abang Hamid tiba-tiba bergerak. Setelah itu satu lagi sisi tanah 
kuburnya berganjak diiringi bunyi yang amat menggerunkan. 

"Ya 
Allaaaaahhh... apa yang berlaku ini?" saya menggeletar kerana bunyi itu datang 
dari dua arah dan saling rapat merapati. Air mata seperti hendak mengalir. 

GGGRRRRUUUMMM... 

Tanah di kubur Abang Hamid bergerak lagi saling 
himpit menghimpit. Saya menggigil mendengar bunyi itu yang dentumannya lebih 
dahsyat daripada tanah runtuh. Saya cuba menekup telinga kerana tidak tertahan 
dengan 
bunyi yang bingit itu, tapi tangan saya tiba-tiba kaku. 

Ingin 
saja saya melompat dari kubur, pun demikian kaki bagai dipaku ke tanah, tak 
dapat bergerak akibat terlalu terkejut. 
ARGGHKKK... ERRRKKKKKKK 

Terdengar pula suara seorang lelaki mengerang. Suaranya laksana dia 
sedang menahan kesakitan yang amat sangat tapi seperti tersekat di kerongkong. 
Nafas saya sudah tidak tentu arah, takut yang amat sangat. 

AARRKKK... 
UUURRRKKGGH!!! 

Saya menggigil apabila dia mengerang-ngerang lagi. 
Perasaan simpati tak dapat dibendung. Ingin rasanya saya menarik lelaki itu 
keluar daripada terus dihimpit, tapi di sebelah saya cuma lapisan tanah yang 
tidak mampu ditembusi. 

Saya masih lagi terbaring dengan nafas turun naik 
apabila tiba-tiba... 
PPPR-RRAAPPPPP!!!... bunyi papan patah berderai. 

PRRAAKK... TTAAPP... PRRAAPP! 

Kepingan demi kepingan papan 
tersebut patah hingga hancur berkecai lalu disudahi dengan suara lelaki 
tersebut 
mengeruh. Serentak itu, kedengaran pula tulang-temulang patah! 

Air mata 
saya meleleh. Di ketika ini hati saya berkata, mungkin inilah yang Nabi 
maksudkan bahawa tanah dan dinding kubur akan menghimpit tubuh orang-orang yang 
mengkufuri Allah hingga berselisih tulang selangkanya. Aduh, tidak terbayang 
peri sakitnya lelaki yang sedang 
mengerang itu. Jantung saya bagai hendak 
tercabut dan darah terasa kering apabila mendengar dia mengerang-ngerang dan 
tulang-temulangnya patah berderap-derap. 

Di saat saya terbungkam dengan 
apa yang berlaku, tiba-tiba satu deruan angin yang maha dahsyat datang menerpa. 
Desingannya menyakitkan telinga. 

Seiring dengan ribut taufan itu juga, 
hadir sesuatu berwarna hitam seperti asap, makin lama makin membesar lalu 
membentuk lembaga hitam yang teramat besar. Di tangannya tergenggam sebatang 
besi yang sedang 
membara, merah menyala. 

Tiba-tiba lembaga itu 
menghayun besi tersebut. Pantas saya menepis, namun sebaik besi itu menyentuh 
lengan, saya menjerit kesakitan. Aduh, panasnya menyebabkan kulit tangan saya 
ini bagai tersiat dan dagingnya masak. 

"ARGGGHHHH" Jangan pukul aku 
lagiiiii!!!" saya meraung apabila lembaga itu memukul kaki saya. 

Saya 
cuba mengelak, tapi pukulan itu tetap singgah ke sasaran. Bagai hendak tercabut 
anak tekak saya menjerit kerana kehangatan besi itu membakar daging paha saya. 

"Arrgghhh... sakit, sakiiittt!!" saya meraung-raung, tapi lembaga hitam 
besar hingga sayup mata memandang itu terus menghayunkan besi panasnya ke 
kepala, kaki, tangan, badan dan perut saya. 

Dalam pada itu, tanah di 
kubur sebelah terus-terusan bergerak himpit menghimpit. Bumi tempat saya 
berpijak bergegar hebat laksana dilanda gempa. 

Suara lelaki mengerang 
dan tulang-temulangnya patah berderap bagai dahan sekah, tetap kedengaran. 
Dalam 
hati saya meraung, matilah aku kejap lagi, patahlah tulang aku, renyuklah badan 
aku dibelasah dengan besi panas. 

Saya menjerit, menepis, mengelak 
hinggalah tiba-tiba saya terasa sesuatu yang amat sejuk menyimbah ke tubuh 
saya. 
Serentak itu lembaga hitam hilang entah ke mana dan bunyi bumi bergegar serta 
lelaki mengerang lenyap serta-merta. Suasana terasa hening. 

"Johar... 
Johar!!" sayup-sayup nama saya dipanggil. 

Dengan susah payah, saya 
membuka mata. Tapi saya tidak larat, badan terlalu letih. Wajah seseorang 
berbalam-balam di mata. 

"Johar... bangun, bangun!" nama saya dipanggil 
lagi, badan 
digoncang-goncang. 

Saya buka mata sedikit. Ooo... 
rupa-rupanya Bakar. Bersama-sama Pak Dollah, mereka mengangkat saya keluar dari 
kubur. 

Selepas diberi air, badan dikipas, barulah saya segar semula. 
Bakar beritahu, selepas menunggu lama di pondok, dia dan Pak Dollah serta 
mandur 
mencari saya untuk membayar wang kerja lebih masa. Lama mencari, akhirnya dia 
jumpa saya di dalam kubur sedang bersilat seorang diri. 

"Engkau menepis 
sana , mengelak sini. Habis tanah kubur tu engkau tumbuk. Aku ambil air. Aku 
simbahlah," kata Bakar sambil menunjukkan baldi yang digunakannya lalu disambut 
gelak tawa kawan-kawan. 

Saya hanya tersenyum tawar. Tak terdaya saya 
hendak ceritakan apa yang telah berlaku sebentar tadi, bimbang mereka tidak 
percaya. 

Selepas kejadian itu saya terlantar selama beberapa bulan 
akibat badan penuh dengan lebam-lebam. Mungkin lebam akibat menumbuk dan 
menendang tanah, mungkin juga akibat pukulan besi panas itu. Saya juga dibawa 
berjumpa bomoh untuk memulihkan semangat. 

Keluarga dan kawan-kawan 
menggeleng kepala dengar cerita saya. Mereka berebut-rebut menyuruh saya 
menceritakan pengalaman menakutkan itu. Ada yang insaf, ada juga yang 
mengatakan 
semua itu karut, mainan syaitan, 
mimpi dan igauan semata-mata. 

Lantaklah apa kata mereka, tapi saya puas hati. Akhirnya saya telah 
saksikan sendiri seksaan di dalam kubur. Sama ada apa yang dilihat itu adalah 
keadaan yang sebenarnya berlaku di alam barzakh atau hanya mimpi semata-mata 
akibat terlelap semasa meratib, itu saya tidak kisah. 

Yang penting 
keinginan untuk menjengah alam itu telah tertunai. 

Peristiwa pada 
pertengahan 1970-an itu telah memberi keinsafan yang benar-benar mendalam di 
hati saya. 
Sesungguhnya janji ALLAH itu benar...MATI itu benar...SYURGA - 
NERAKA itu benar....dan..azab kubur ...itu juga benarrrr..... Semoga ALLAH 
terima segala amalan kita dan mengampubi dosa-dosa kita.... AMIN YA RABBAL 
A'LAMIN


 
siTI NuRR



      
____________________________________________________________________________________
Be a better friend, newshound, and 
know-it-all with Yahoo! Mobile.  Try it now.  
http://mobile.yahoo.com/;_ylt=Ahu06i62sR8HDtDypao8Wcj9tAcJ

Kirim email ke