Cawangan Universiti Newcastle akan ditubuhkan 01/06/2008 8:39pm KUALA TERENGGANU 1 Jun ¡X Penuntut tempatan boleh melanjutkan pengajiannya dalam bidang perubatan tanpa ke luar negara apabila sebuah universiti yang berprestij di Britain, Newcastle University akan menawarkan kursus itu di Malaysia tidak lama lagi. Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Boyd Mccleary berkata kampus perubatan itu akan ditubuhkan oleh universiti berkenaan di Johor yang akan menawarkan beberapa kursus berkaitan bio-perubatan. "Cawangan antarabangsa baru itu di Johor akan dinamakan Newcastle University Medicine Malaysia (NUMed) yang akan menawarkan kursus dalam peringkat ijazah. Kampus itu yang terletak di Iskandar Malaysia dijangka dibuka pada 2011,¡¨ kata beliau. Terdahulu, Mccleary yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Terengganu, mengunjungi Menteri Besar Datuk Ahmad Said di pejabat beliau di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Mccleary berkata kampus perubatan di Johor itu, adalah kampus cawangan antarabangsa pertama untuk Newcastle University. Beliau juga berkata 18 universiti lain di United Kingdom juga berminat menjalin hubungan di Malaysia. "Kita ada Nottingham di Kuala Lumpur dan banyak lagi universiti dari United Kingdom menubuhkan kampus di Malaysia,¡¨ katanya. Mccleary berkata kini terdapat 12,000 penuntut Malaysia sedang mengikuti kursus dan program yang sama tidak lama lagi akan diadakan di sini dengan banyak lagi institusi pendidikan United Kingdom menubuhkan cawangannya di sini. Mengenai pertemuan beliau dengan Ahmad, katanya perbincangan beliau tertumpu kepada pendidikan dan peningkatan kefasihan dalam pertuturan bahasa Inggeris di kalangan penuntut temapatan. "British Council akan terus menyediakan kepakaran mengenai pengajaran dalam bahasa Inggeris di sekolah di Terengganu,¡¨ tambah beliau. Mcccleary akan juga melawat kilang British Petroleum (BP) di Kemaman di mana syarikat itu merancang memperluaskan operasinya. ¡X BERNAMA Malaysia-Indonesia garis program kerjasama hadapi kemungkinan jerebu 01/06/2008 7:54pm KUCHING 1 Jun ¡X Malaysia dan Indonesia menggariskan pelbagai program kerjasama dalam menghadapi kemungkinan jerebu melanda rantau ini, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Douglas Uggah Embas hari ini. Beliau berkata Malaysia dan Indonesia akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) di Jakarta pada Selasa ini, untuk melaksanakan program kerjasama ke arah pencegahan kebakaran hutan di Riau, Wilayah Sumatera bagi menangani masalah jerebu rentas sempadan di kedua-dua negara. Di bawah MoU itu, Malaysia akan memperuntukkan RM2 juta bagi penyediaan latihan dan perkhidmatan sokongan mengenai amalan pembakaran sifar, pemulihan kawasan tanah gambut terbakar dan pemasangan system amaran awal jerebu. Selain itu, Indonesia turut menggariskan pelan tindakan menangani jerebu di wilayah Kalimantan (bersebelahan Sabah dan Sarawak). "Masalah titik panas di Kalimantan telah dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Tetap Peringkat Kementerian (dianggotai pegawai kementerian kedua-dua negara) pada April. Pada mesyuarat itu, Indonesia menggariskan pelan tindakan untuk menangani titik panas berkenaan,¡¨ katanya kepada pemberita di kediamannya sempena rumah terbuka perayaan Gawai di sini hari ini. Selain itu, Uggah berkata semua agensi dalam Jawatankuasa Jerebu Kebangsaan telah digerakkan bagi menangani jerebu yang dijangka berlaku antara bulan Jun hingga Oktober. Beliau berkata antara agensi berkenaan ialah Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Hutan, Jabatan Pertanian, Jabatan Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat. "Semua agensi dalam Jawatankuasa Jerebu Kebangsaan akan mengambil langkah berjaga-jaga untuk memantau dan mengurangkan titik panas di negara ini bagi meminimumkan kemungkinan jerebu melanda negara kita,¡¨ katanya. Katanya cuaca panas dan kering dijangka berlanjutan hingga bulan Oktober ini berikutan fenomena La Nina (biasa membawa hujan) yang semakin lemah. ¡X BERNAMA Pemasangan tali pinggang keledar secara percuma bagi kereta tempatan 01/06/2008 7:52pm KUALA LUMPUR 1 Jun ¡X Kerajaan dan pengeluar kereta tempatan telah mencapai persetujuan untuk menyediakan dan memasang tali pinggang keledar di bahagian belakang kenderaan secara percuma bagi kereta buatan tempatan tidak lama lagi. Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Keat berkata perjanjian berhubung perkara itu telah dirumuskan dan memorandum persefahaman antara kerajaan dan pengeluar dijangka ditandatangani dalam beberapa hari lagi. "Kami telah memperincikan perkara ini secara sistematik kerana ia melibatkan wang dan juga kejuruteraan. "Kami berharap inisiatif ini akan mengurangkan beban orang ramai berikutan peraturan mensyaratkan pemakaian tali pinggang keledar bagi penumpang di bahagian belakang kenderaan mulai hari ini,¡¨ katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran lukisan Cina hari ini. Ong berkata kerajaan juga sedang bekerjasama dengan sektor korporat untuk menubuhkan tabung bagi mensubsidikan kos pemasangan tali pinggang keledar di bahagian belakang kenderaan. Mulai hari ini, penumpang bahagian belakang kereta disyaratkan memakai tali pinggang keledar. Selepas tempoh kelonggaran selama tiga bulan, mereka yang didapati tidak mematuhi undang-undang baru itu akan dikenakan denda. "Saya ingin menasihatkan penumpang kereta supaya memakai tali pinggang keledar dan pemilik kereta yang masih belum memasang tali pinggang supaya segera berbuat demikian dan tidak menunggu hingga saat akhir,¡¨ katanya. Kerajaan juga memberikan tempoh tiga tahun kepada pemilik kereta untuk memasang tali pinggang keselamatan itu. Kini, hampir 90 peratus kenderaan dilengkapi tali pinggang berkenaan. Dalam perkembangan lain, Ong, yang juga Naib Presiden MCA dan pengerusi MCA Selangor berkata beliau akan berjumpa dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan bagi mendapatkan butiran mengenai kejadian minggu lepas membabitkan sekumpulan samseng menyerang penduduk Bandar Mahkota yang cuba mengalihkan penghadang konkrit yang dibina oleh Grand Saga Sdn Bhd, syarikat konsesi Lebuhraya Cheras-Kajang. Kontroversi itu berakhir pada Jumaat berikutan keputusan Kabinet untuk membenarkan jalan pintas tanpa tol ke Lebuhraya Cheras-Kajang itu dibuka sehingga kes itu diselesaikan di mahkamah. ¡X BERNAMA
