Suruhan selidik sesuatu berita
WAHAI orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang yang fasik 
membawa berita, maka selidiklah agar kami tidak menimpakan sesuatu musibah 
kepada suatu kaum dengan tidak mengetahui, maka jadilah kamu menyesal atas 
perbuatanmu itu. (al-Hujuraat: 6).
 
Pada suatu hari, Rasulullah SAW telah mengutus al-Walid bin Uqbah untuk 
memungut zakat daripada Bani Musthaliq. Bani Musthaliq telah mengaku tunduk 
kepada Rasulullah SAW dan menerima agama Islam sebagai kehidupan seharian. 
Sebab itulah mereka diwajibkan membayar zakat setelah genap tempoh dan kadar 
yang sepatutnya.
 
Apabila sampai di sana al-Walid tidak dapat memungut zakat dengan baik sehingga 
menyebabkan jumlah zakat tidak seperti yang diharapkan. Lalu beliau pulang ke 
Madinah dengan hampa tanpa membawa sebarang hasil zakat yang diminta oleh 
Rasulullah SAW.
Setelah sampai, dia pun berjumpa dengan Rasulullah SAW. Sebagai alasan, 
al-Walid memberitahu Rasulullah SAW bahawa kaum Bani Musthaliq telah murtad dan 
enggan membayar zakat.
 
Tanpa berlengah lagi, Rasulullah SAW pun mengutuskan Khalid al-Walid bersama 
dengan seangkatan tentera ke daerah berkenaan. Sememangnya golongan yang ingkar 
membayar zakat dikira berdosa besar dan wajib diperangi. Khalid al-Walid 
dihantar dahulu ke sana untuk menyiasat kebenaran berita yang disampaikan oleh 
al-Walid. Jika khabar yang disampaikan al-Walid itu benar, nescaya Khalid akan 
mengerahkan tenteranya supaya memerangi Bani Musthaliq.
 
Khalid pun memulakan siasatannya. Dia telah sampai di sana pada waktu malam. 
Kedatangannya tidak disedari oleh sesiapapun. Dia pun menghantar beberapa orang 
penyiasat untuk menyiasat keadaan Bani Musthaliq.
 
Alangkah terkejutnya mereka apabila mereka mendapati Bani Musthaliq masih 
beragama Islam dan mengamalkan Islam dengan sempurna. Tidak lama selepas itu, 
kesemua penyiasat itupun kembali semula ke khemah mereka. 
 
Mereka melaporkan kepada Khalid bahawa kaum Bani Musthaliq masih mengamalkan 
ajaran Islam dengan baik. Mereka menunaikan solat berjemaah dan azan masih 
berkumandang apabila masuk waktu solat.
 
Setelah mendengar laporan tersebut, Khalid pun pulang menemui Rasulullah SAW. 
Beliau memberitahu apa yang telah dilihatnya bersama-sama dengan anak buahnya.
Rasulullah SAW sangat berpuas hati dengan laporan yang diberikan oleh Khalid 
al-Walid. Maka turunlah ayat enam surah al-Hujurat ini membenarkan apa yang 
dilakukan oleh Rasulullah itu. 
 
Ayat ini jelas sekali melarang mempercayai berita yang dibawa oleh orang fasik 
tanpa usul periksa kerana ia akan memburukkan sesuatu kaum atau seseorang yang 
lain. Sekiranya berasa ragu-ragu dengan berita tersebut maka hendaklah 
menyiasat khabar berita tersebut dengan saksi-saksi dan bukti yang boleh 
dipercayai. Demikianlah Islam menjaga hak-hak manusia supaya tidak ada yang 
akan teraniaya. - utusan
 
 
Papan tanda Bahasa Malaysia lebih praktikal – Ka Chuan
07/08/2008 8:07pm

 

Oleh Zunaidah Zainon dan Au Yeong How
 

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong 
Ka Chuan berkata, pemasangan papan tanda arah jalan dalam Bahasa Malaysia 
adalah lebih praktikal di negara ini.
 
Menurutnya, penggunaan pelbagai bahasa pada papan tanda hanya menimbulkan 
kekeliruan sedangkan ia sepatutnya memaparkan nama jalan dengan ringkas, padat 
dan jelas.
 
Tegas Ka Chuan, Bahasa Malaysia perlu digunakan pada papan tanda kerana rakyat 
telah menggunakannya sejak negara mencapai kemerdekaan 50 tahun lalu.
 
``Justeru, saya rasa perkara itu tidak patut diungkitkan. Ia perlu dilihat dari 
segi praktikal.
``Penggunaan pelbagai bahasa hanya mengelirukan pengguna jalan raya yang perlu 
membacanya secara pantas semasa memandu,’’ katanya.
 
Beliau diminta mengulas cadangan seorang ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai 
(MPSP), Teoh Seang Hooi supaya semua papan tanda di jalan-jalan utama di Pulau 
Pinang menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil selain bahasa Melayu.- Utusan.
 
 
MCA tubuh 11 pusat gerakan di Permatang Pauh
07/08/2008 6:38pm

 

Oleh Zunaidah Zainon dan Au Yeong How

KUALA LUMPUR 7 Ogos – MCA menubuhkan 11 pusat gerakan di Permatang Pauh, Pulau 
Pinang untuk meraih undi penduduk Cina menjelang pilihan raya kecil Parlimen 
itu, 26 Ogos ini. 
 
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, MCA telah melantik 
Pengerusi Parti negeri itu, Datuk Liow Tiong Lai yang juga Menteri Kesihatan 
untuk bertindak sebagai ketua penyelaras.
 
Menurutnya, beliau dan ahli-ahli jawatankuasanya telah bermesyuarat pada Selasa 
lalu yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden, Tan Sri Chan Kong Choy untuk 
membincangkan strategi berkempen. - Utusan.
 
 
Gangguan ATM, CDM Bank Islam, Bank Rakyat Sabtu
07/08/2008 6:34pm

 
KUALA LUMPUR 7 Ogos – Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan akan berlaku 
gangguan perkhidmatan di semua rangkaian mesin juruwang automatik (ATM) serta 
mesin deposit tunai (CDM) Bank Islam dan Bank Rakyat pada Sabtu ini.
 
Pegawai Bahagian Komunikasi Korporatnya, Nurshiqim Abd. Mujib berkata, gangguan 
itu bermula pukul 6 pagi sehingga 12 tengah hari kerana kerja-kerja 
penyelenggaraan sistem.
 
``Semua pendeposit TH tidak dapat melakukan transaksi akaun TH melalui 
rangkaian ATM dan CDM kedua-dua bank itu dan dijangka pulih selepas 12 tengah 
hari,’’ kata beliau dalam kenyataannya, di sini hari ini.
 
Nurshiqim memberitahu, pihak pengurusan TH meminta maaf di atas sebarang 
kesulitan yang timbul kepada semua pelanggannya.- Utusan.
 
 
Polis bongkar sindiket VCD cetak rompak terbesar di Pulau Pinang
07/08/2008 5:11pm

 
BUKIT MERTAJAM 7 Ogos — Polis Pulau Pinang berjaya membongkar sindiket mencetak 
dan mengedar VCD cetak rompak dan lucah terbesar di negeri ini apabila menahan 
10 orang dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan tempat memproses VCD 
berkenaan di Jalan Sama Gagah di sini hari ini.
 
Turut dirampas dalam serbuan pada pukul 12.20 tengah hari itu ialah 36 mesin 
penyalin dan kira-kira 6,000 keping VCD pelbagai jenis filem dan lucah yang 
dianggar bernilai lebih RM100,000.
 
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Wira Ayub Yaakob berkata sindiket VCD cetak 
rompak dan lucah itu menggunakan rumah kedai dua tingkat itu sebagai tempat 
operasi mereka.
Mereka yang ditahan ialah lapan lelaki dan seorang wanita rakyat Myanmar serta 
seorang lelaki rakyat tempatan dan ketika serbuan dibuat kesemua mereka yang 
berusia dalam lingkungan 20-an itu sedang memproses serta membungkus VCD 
berkenaan di bahagian bawah rumah berkenaan, katanya.
 
Bercakap kepada pemberita selepas operasi itu di sini hari ini, beliau berkata 
siasatan awal mendapati lapan rakyat asing itu tidak mempunyai dokumen 
perjalanan serta permit kerja.
 
“Kami kini menyiasat peranan lelaki tempatan itu dalam sindiket yang telah 
bergerak aktif sejak beberapa bulan lepas itu,” kataya.
 
Ayub berkata mesin penyalin yang dirampas itu mampu menghasilkan 300 keping 
salinan VCD cetak rompak dalam masa 10 minit atau lebih 40,000 keping sehari.
 
“Rampasan kali ini adalah kejayaan terbesar dicatatkan oleh polis tahun ini. 
Inilah pertama kali, polis berjaya menemui pusat mencetak VCD menggunakan 
peralatan moden iaitu mesin penyalinnya mampu mengeluarkan hasil yang banyak 
dalam satu masa,” katanya.
 
Beliau berkata siasatan awal polis mendapati kumpulan sindiket terbabit tidak 
beroperasi di satu tempat tetapi sering berpindah bagi mengelak kegiatan mereka 
dikesan pihak berkuasa.
 
“Siasatan juga mendapati kesemua VCD yang dihasilkan itu untuk pasaran sekitar 
utara dan polis kini menyiasat pemilik rumah berkenaan,” katanya. — BERNAMA.
 
 
Gempa bumi magnitud 5.7 landa Pulau Sumbawa, Indonesia
07/08/2008 5:08pm

 
JAKARTA 7 Ogos – Satu gempa bumi melanda Pulau Sumbawa di timur Jakarta hari 
ini, namun tiada sebarang amaran tsunami dikeluarkan.
 
Menurut Jabatan Geologi Amerika Syarikat (AS), gempa tersebut berukuran 5.7 
pada skala Richter tetapi Agensi Meteorologi dan Geofizik Indonesia melaporkan, 
gempa itu berukuran 6.6 pada skala Richter.
 
Gempa itu dilaporkan berpusat di kawasan perairan pada kedalaman 10 kilometer 
di bawah dasar laut, kira-kira 51 kilometer di timur laut Pulau Sumbawa.
 
Kejadian tersebut diikuti dengan dua gegaran susulan di sekitar pulau berkenaan.
 
Pegawai agensi meteorologi, Slamet Wijoyo berkata, lebih 200 buah rumah rosak 
teruk di sebuah kampung di daerah Pekat yang terletak lebih kurang 40 kilometer 
dari pusat gempa tersebut.
 
Sementara itu, 75 buah rumah dilaporkan rosak di Sanggar, dalam daerah Dompu, 
juga di Sumbawa.
 
Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini. – Reuters
 
 
Majlis Peguam digesa batal Forum `Memeluk Islam'
07/08/2008 5:06pm

 
KUALA LUMPUR 7 Ogos — Pergerakan Pemuda UMNO dan dua pertubuhan Islam hari ini 
membantah tindakan Majlis Peguam menganjurkan forum “Memeluk Islam” Sabtu ini 
kerana bimbang ia boleh menimbulkan kekeliruan mengenai Islam dan menjejaskan 
keharmonian masyarakat negara ini.
 
Exco Pemuda UMNO, Datuk Pirdaus Ismail berkata, forum tersebut boleh 
menimbulkan provokasi serta bakal mengundang keresahan dan ketidaktenteraman 
awam, khususnya orang Islam.
 
“Mengapakah Majlis Peguam sering bermain api perbalahan? Sebelum ini Majlis 
Peguam menganjurkan Forum Kontrak Sosial yang mula membarakan api kemarahan 
orang Melayu dan mencetuskan keraguan lain,” katanya dalam satu kenyataan hari 
ini.
 
Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr. Roslan Mohammad Nor pula 
mendakwa forum itu berniat mempertikaikan kedudukan Islam dalam Perlembagaan 
Persekutuan terutama peruntukan Artikel 121(1A).
 
“PUM berpandangan membahaskan hukum-hukum Islam, perundangan, sistem dan 
hak-hak orang-orang Islam yang terkandung dalam perlembagaan tanpa merujuk 
kepada pihak berkuasa dan bertanggungjawab pasti mengakibatkan kekeliruan dan 
salam faham terhadap Islam,” kata Roslan.
 
PUM seterusnya memberi amaran kepada Majlis Peguam agar menghentikan 
penganjuran forum berkenaan.
 
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk 
Dr. Ma’amor Osman berkata, Majlis Peguam tidak sepatutnya mentafsir 
undang-undang mengikut “kebijaksanaan sendiri”. 
 
“Memanipulasi kemahiran dalam bidang perundangan untuk kepentingan peribadi 
seperti ini adalah seperti menjolok “sarang tebuan” dan mereka harus memahami 
hak-hak masyarakat Islam dan memelihara keharmonian negara,” katanya.- BERNAMA.
 
 
Jawatankuasa teknikal Malaysia-Singapura mula kerjasama selesai status Tubir 
Selatan
07/08/2008 4:47pm

 
PETALING JAYA 7 Ogos — Jawatankuasa Teknikal Malaysia-Singapura telah mula 
bekerjasama untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan keputusan Mahkamah Keadilan 
Antarabangsa (ICJ) termasuk mengenai status Tubir Selatan, kata Menteri Luar 
Datuk Seri Rais Yatim.
 
Beliau berkata, keputusan ICJ mengenai tuntutan bertindih antara Malaysia dan 
Singapura perlu difahami dengan jelas dan kedua-dua negara menyerahkan kepada 
jawatankuasa itu untuk menjalankan tugas serta membuat penilaian sewajarnya.
 
“Ada beberapa langkah yang perlu dilakukan berhubung dengan Tubir Selatan. 
Pengertian perundangannya perlu jelas kepada Singapura, Indonesia dan Malaysia. 
 
Ini kerana ia berada dalam perairan Malaysia dan Indonesia,” katanya kepada 
pemberita selepas merasmikan Simposium Undang-undang Pertama Malaysia di sini 
hari ini.
 
Pada 23 Mei lepas, ICJ di The Hague, Belanda, membuat keputusan bahawa Batu 
Putih adalah milik Singapura dan Batuan Tengah yang terletak 0.5 batu nautika 
di selatan Batu Putih adalah hak Malaysia tetapi status Tubir Selatan 
diserahkan kepada negara perairan di mana pulau itu terletak.
 
Rais juga berkata, Malaysia memerlukan lebih ramai pakar perundangan terutama 
dalam hal-hal berkaitan undang-undang antarabangsa dan subjek yang berkaitan.
 
Katanya pengetahuan mengenai undang-undang antarabangsa perlu dikuasai dengan 
lebih baik untuk menangani sebarang kes yang berbangkit.
 
Rais berkata, undang-undang mengenai kemanusiaan, perang dan konflik perlu 
difahami dan dikuasai kerana dunia terus menyaksikan pertikaian termasuk di 
rantau Asia.— BERNAMA 


      

Kirim email ke