Rasulullah bersabda, "Sesiapa meninggalkan perdebatan, sedang dia berada di 
pihak yang benar, dibina untuknya sebuah rumah di tengah-tengah syurga." 
(Riwayat Anas Bin Malik) 
 
Tidak indahkah dijanjikan dengan sebuah rumah di tengah-tengah syurga? 
Sekalipun kita di pihak yang benar, namun untuk mengelakkan perbalahan 
berpanjangan, mengalah sahajalah. Rugikah kalau beralah? Bagi sesetengah orang 
yang mementingkan diri sendiri mungkin tidak munasabah jika mahu beralah tetapi 
apa kata kalau saya katakan 'orang yang beralah akan menang besar kemudiannya?'
 
Pergaduhan suami isteri akan sentiasa berlaku. Bak lagu P.Ramlee 'Sedang lidah 
lagi tergigit'. Anda tidak akan sentiasa boleh berkata 'ok' kepada isteri anda 
begitu juga dia. Setiap kali pergaduhan berlaku, pasti akan ada hati yang akan 
terluka terutamanya hati orang perempuan yang memang diketahui tidak dapat 
diramalkan. 
 
Jika pergaduhan itu berpunca daripada sesuatu yang sangat kecil, maka jika kita 
perbesarkan, maka akan terlihatlah peribadi sebenar seseorang itu. Sungguh akan 
terlihat betapa hodoh sekali seseorang itu tambahan pula, mulutnya mudah sekali 
melancangkan kata-kata yang tidak sedap didengar. 
 
Sabda Rasulullah s.a.w: 
"Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang 
keji dan bukan seorang yang berkata kotor." 
(Riwayat Ibnu Mas'ud RA) 
 
Dalam sabda ini, dapatlah kita fahami bahawa orang yang berkata keji bukanlah 
orang mukmin sebenar. Betapa iman kita dapat disukat dengan perlakuan yang 
sangat keji ini. 
Pernahkah anda melihat pergaduhan suami isteri ini daripada sudut yang positif? 
Sebenarnya, pergaduhan akan menyebabkan terbentuknya satu penyatuan pelbagai 
perkara termasuklah cita rasa dan impian pasangan itu. Bagi mencapai tujuan 
inilah kita sering bertelingkah dengan pasangan untuk mencapai sesuatu yang 
terbaik. Tidaklah saya maksudkan pergaduhan adalah baik, namun hal ini adalah 
lebih baik daripada kita berdiam dan tidak berbincang sehingga akhirnya tidak 
ada penyatuan antara suami dan isteri. 
 
Justeru, pergaduhan menjadi medium kepada pasangan dalam menyatukan kasih 
sayang. Setiap individu akan melahirkan perasaan tidak puas hati dan 
sebagainya. Maka, di sini adalah tempat untuk mencurahkan perasaan. Jadi, 
janganlah memendam perasaan sehingga jiwa kita menjadi tertekan ibarat belon 
yang akan pecah akibat ditiup dengan angin yang kuat. Jika tidak diluahkan, 
pasangan anda tidak mungkin akan tahu perkara yang ada dalam hati anda. 
 
Di sini, saya akan kongsikan beberapa tip untuk bertengkar secara positif: 
 
1. Jangan terlampau banyak bercakap 
- Ketika bertengkar, hati masing-masing pasti dalam keadaan marah. Ketika 
marah, pasti perkara yang logik sekalipun tidak diterima melainkan 
masing-masing mahu menegakkan pendapat masing-masing. Jika anda sebagai suami 
mempunyai hak untuk bercakap sekalipun, kurangkan daripada terlalu menegakkan 
pendapat anda sendiri. Hal ini akan mencetuskan perasaan tidak puas hati kepada 
pasangan anda sehingga perlahan-lahan dia akan menjadi bosan dengan anda. Yang 
perlu anda lakukan adalah dengan memikirkan secara mendalam cara untuk 
mem-betulkan keadaan. 
 
2. Jangan menyebut kelemahan pasangan 
- Bukan hanya isteri anda yang mempunyai kelemahan, anda juga ada kelemahan 
sendiri. Jadi, dengan mengungkit kelemahan dia, anda akan turut merangsang 
pasangan mengungkit kelemahan anda. Lagi pula, anda tidak akan menang dengan 
hanya mengungkit sebegini tetapi menyebabkan keadaan lebih parah. Jika mahu 
menegur pasangan, minta dia meluahkan ketidak-puasan hatinya tentang anda 
dahulu supaya apabila giliran anda nanti, dia tidak akan meninggikan suara.
 
3. Jangan membalas perbuatannya 
- Sebagai contoh, pasangan anda bermesra-mesra dengan lelaki sebelah rumah. 
Anda mahu membuatkan dia sedar bahawa perbuatannya salah. Jangan anda pula 
bermesra-mesra dengan perempuan lain di hadapan dia. Keadaan ini hanya memberi 
peluang yang lebih kepada isteri anda untuk menjauhi anda. Akhirnya, anda turut 
terlibat dalam menjarakkan perhubungan anda sendiri. 
 
4. Jangan cuba mengubah pasangan 
- Anda dibesarkan dalam keluarga 'begini', isteri anda dibesarkan dalam 
keluarga 'begitu'. Pastilah terdapat perbezaan antara kedua-duanya. Anda harus 
memahami bahawa cara dia melihat sesuatu pasti tidak sama dengan pandangan 
anda. 
 
5. Fokus pada masalah 
- Jangan meleret-leret sehingga perkara yang bukan masalah akhirnya akan turut 
menjadi masalah. 
 
6. Jangan tinggikan suara 
- Semakin tinggi suara kita ketika bergaduh, semakin tinggilah suara pasangan 
kita nanti. Pergaduhan seperti ini tidak akan menjadikan keadaan semakin baik 
malah semakin kusut. Cubalah bercakap dengan tenang sehingga isteri anda yang 
sedang marah akan turut tenang dan seterusnya dapat menyelesaikan masalah 
dengan lebih cepat. 
 
7. Gunakan panggilan manja 
- Ada pasangan yang pada masa biasa menggunakan panggilan 'sayang' atau 'manja' 
tetapi ketika bergaduh, keadaan akan beralih sebaliknya. Panggilan kasar 
mengambil alih menyebabkan pasangan anda merasakan dirinya rendah sekali. 
Jangan emosi sehingga tergamak menggunakan panggilan kasar termasuklah 'aku' 
dan 'kau'.
 
8. Elakkan terlalu emosional 
- Ketika sesi bergaduh ini, pasti pasangan anda akan selalu terlepas mulut. 
Jadi, jangan ambil perkara yang dikatakannya terlalu serius memandangkan ketika 
sedang bergaduh, seseorang itu cenderung berkata yang tidak-tidak terhadap 
lawannya. 
 
9. Gunakan perkataan yang baik-baik 
- Selain menggunakan panggilan manja, gunakanlah juga perkataan yang tidak 
menyalahkan. Perkara ini akan menyebabkan masalah akan cepat selesai. Antara 
contoh perkataan yang boleh anda gunakan ialah, "Abang rasa sayang tak patut 
buat macam ni," berbanding "Ni semua salah engkaulah!"
 
10. Jangan bertengkar di depan makanan atau di tempat tidur 
- Hal ini kerana tempat tersebut sepatutnya tempat kita menjamu selera dan 
bermesra-mesra sesama sendiri.
 
11. Dengar luahan isteri 
- Mungkin sahaja perkara yang disampaikan oleh isteri anda itu dapat 
menyelesaikan masalah. Jika anda hilang tumpuan ketika ini, bukan sahaja anda 
akan kehilangan idea yang baik malah anda menggunakan cara sendiri yang belum 
tentu dapat menyelesaikan masalah anda berdua.
 
12. Jangan bergaduh di depan anak 
- Dengan bergaduh di hadapan anak, anda hanya akan membuatkan anak keliru dan 
mengadili sama ada ibu atau bapa mereka yang berada di pihak benar atau salah. 
Perkara yang lebih menakutkan akan berlaku jika anak anda menceritakan keadaan 
anda berdua kepada orang luar. Hal ini akan menjejaskan imej anda sekeluarga.
 
13. Bersabar 
- Sekalipun anda lelaki dan anda lebih kuat secara fizikal berbanding dengan 
isteri anda, jangan sekali-kali anda cuba untuk mengasari isteri anda. 
Dibimbangi dia juga akan belajar untuk melawan dan membaling segala jenis 
pinggan mangkuk ketika bergaduh pada masa lain.
 
14. Say NO to third party 
- Selagi terdaya menyelesaikan masalah anda sendiri, jangan libatkan orang 
lain. Campur tangan pihak ketiga kebanyakannya hanya menyulitkan keadaan. 
Sekiranya perlu, pilihlah orang yang adil untuk menyelesaikan masalah anda. 
 
15. Mengalah tidak bererti kalah 
- Mengalah ketika saat genting ini tidak menunjukkan anda kalah. Anda hanya 
perlukan masa untuk membuktikan bahawa tindakan anda sebenarnya betul.
 
16. Jangan keluar dari rumah sebelum selesai 
- Selalu menonton drama di TV? Kebanyakannya menunjukkan suami akan segera 
meninggalkan rumah semasa bergaduh untuk memudahkan cerita. Tindakan ini 
sebenarnya akan menyebab-kan isteri anda ditinggalkan dalam keadaan keliru. Hal 
ini menyebabkan dia akan berasa tertekan dan anda perlu ingat bahawa anak-anak 
akan ditinggalkan bersamanya di rumah. Perempuan yang hilang kewarasan akibat 
tekanan yang dahsyat akan menyebabkan mereka akan bertindak yang bukan-bukan. 
Mungkin sahaja dia akan memudaratkan dirinya atau anak-anak anda boleh menjadi 
mangsa keadaan. Sekiranya anda rasa tidak dapat menahan marah, beritahu isteri 
anda bahawa anda perlukan sedikit ketenangan dan hal ini lebih menampakkan rasa 
tanggungjawab anda terhadap permasalahan anda berdua. 
 
17. Luahkan 
- Selain menjadi pendengar kepada permasalahan isteri, anda turut perlu 
meluahkan perasaan anda. Tunggu sehingga dia habis berbicara sebelum anda 
menyambung pendapat anda. Sekiranya anda tidak memberitahu keadaan sebenar 
anda, belum tentu dia dapat memahami keadaan anda. 
 
18. Pelukan dan kemaafan 
- Hal inilah detik paling indah dalam pergaduhan. Setelah dirasakan masalah 
telah selesai, jangan melewatkan detik untuk memeluk pasangan anda seeratnya. 
Ucapkan perkataan maaf dan berharap agar perkara seperti itu tidak akan berlaku 
lagi. Keadaan ini akan menyebabkan perhubungan anda selepas itu lebih erat dan 
mantap dengan satu kesatuan hati yang lebih hebat.
 
Artikel di atas dipetik daripada Bab 9: Sedangkan Lidah Lagi Tergigit dalam 
buku Manual Kerja Super Suami. Maklumat lanjut berkenaan buku ini boleh 
didapati di www.books.perintis. com.my.


      

Kirim email ke