Dicekup semasa cari mangsa
Zulhasnan (kiri) menunjukkan beg yang mempunyai lubang rahsia untuk menyembunyikan dadah pada sidang akhbar di Bukit Aman semalam. ------------------------------ KUALA LUMPUR - Tindakan sepasang warga asing yang sedang merayau-rayau mencari warga tempatan untuk direkrut menjadi kurier dadah ke luar negara akhirnya memasuki jerat apabila mereka ditahan polis di hadapan Plaza Metro Prima, Kepong Jumaat lalu. Kedua-dua suspek dari Afrika dan Filipina itu ditahan selepas dua jam operasi yang bermula pada pukul 1 pagi ketika mereka sedang berjalan kaki di luar bangunan tersebut dipercayai mencari sasaran. Pengarah Jabatan Narkotik Bukit Aman, Datuk Zulhasnan Najib Baharudin berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemui satu bungkusan yang dibalut dengan pita pelekat berisi ketulan serbuk dadah di dalam sebuah beg yang dibawa suspek wanita rakyat Filipina. Dadah heroin no.4 seberat 995 gram itu dianggarkan bernilai RM200,000 dan jika ia dijual di pasaran antarabangsa, nilainya dipercayai tiga kali ganda lebih mahal. "Tindakan susulan dua jam kemudian, polis menahan tujuh lelaki rakyat asing lagi dan seorang wanita tempatan di Metro Prima dan Desa Aman Puri di Kepong,'' kata beliau semalam. Menurut beliau, kesemua 10 suspek yang ditahan tersebut berusia 22 hingga 40 tahun dan mereka disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Merbahaya 1952. Zulhasnan memberitahu, 10 ahli terbabit merupakan antara 21 ahli sindiket yang ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman sejak Mac lalu. "Ahli sindiket terbabit akan menyediakan pasport, visa lawatan, tiket penerbangan serta duit poket untuk membeli-belah kepada mangsa-mangsa yang terpedaya. "Duit upah yang ditawarkan biasanya antara RM15,000 hingga RM20,000 pula akan diberi berasingan sebaik tugas menyeludup dadah tersebut selesai,'' katanya. Siasatan awal polis mendapati pasangan suspek pertama yang ditahan tidak bekerja dan polis sedang menyiasat status kemasukan mereka.
