BPR tangkap 28 kakitangan Puspakom, 19 perantara 
27/08/2008 9:07pm

Oleh Norliza Abd. Rahman
 

PUTRAJAYA 27 Ogos – Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn. Bhd. 
(Puspakom) dengan kerjasama Badan Pencegah Rasuah (BPR) berjaya menahan 28 
kakitangan pusat itu dan 19 perantara di seluruh negara yang dikenal pasti 
terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
 
Pengarah Siasatan BPR, Datuk Shukri Abdull berkata, pemeriksa kenderaan dan 
warden trafik Puspakom itu dipercayai menerima suapan daripada orang perantara 
untuk meluluskan pemeriksaan tanpa kehadiran kenderaan dan memeriksa kenderaan 
bermasalah tanpa mengikut prosedur.
 
Beliau berkata, mereka ditahan di Perlis, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Wilayah 
Persekutuan, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak.- 
Utusan.





 
 

Misbun berazam lahirkan lebih ramai pemain 
27/08/2008 7:25pm

MELAKA 27 Ogos - Jurulatih perseorangan badminton negara, Datuk Misbun Sidek 
berazam untuk mencurahkan segala ilmu yang dimiliki selagi terdaya bagi 
memastikan negara dapat melahirkan lebih ramai pemain-pemain yang berkaliber 
pada masa depan.
 
Beliau berkata, dengan program-program yang sedang dilaksanakan sekarang, 
beliau yakin negara akan memiliki pemain-pemain pelapis bertaraf dunia pada 
masa depan, termasuk untuk menghadapi Sukan Olimpik 2012 nanti.
 
``Saya lihat pemain-pemain di Sekolah Sukan Bukit Jalil misalnya banyak yang 
berbakat. Mereka boleh diketengahkan ke peringkat junior antarabangsa tetapi 
untuk mencapai tahap pemain dunia peringkat senior masih jauh,'' katanya.
 
Beliau berkata demikian selepas menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka 
(DMSM) yang membawa gelaran Datuk oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. 
Khalil Yaakob di sini hari ini
 
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali 
Rustam, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob dan isteri Misbun, 
Datin Latifah Sidek.
 
Misbun berkata, beliau tidak pernah mengharapkan balasan terhadap apa yang 
dilakukan selama ini tetapi sebaliknya menganggap penganugerahan itu memberi 
tanggungjawab besar kepadanya.
 
Penganugerahan DMSM kepada bekas pemain badminton nombor satu negara itu 
diberikan atas jasa-jasa beliau sepanjang menjadi pemain pada tahun-tahun 
1980-an dan jurulatih kepada pemain-pemain terbaik negara termasuk Lee Chong 
Wei. - Utusan
 
 
Arif Shah tidak bertanding Ketua Bahagian Permatang Pauh
27/08/2008 6:28pm

 

Oleh ROKIAH ABDULLAH
 

BUKIT MERTAJAM 27 Ogos – Bekas Ketua Penerangan UMNO Bahagian Permatang Pauh, 
Datuk Arif Shah Omar Shah hari ini mengumumkan pendiriannya tidak akan 
bertanding dalam pemilihan jawatan ketua bahagian itu yang akan diadakan tidak 
lama lagi.
 
Bagaimanapun Arif Shah tidak menjelaskan alasan mengapa beliau berbuat demikian 
sebaliknya hanya berkata beliau tidak mahu mengganggu proses pemilihan ketua 
bahagian.
 
``Saya tidak mahu ganggu proses pemilihan UMNO kali ini. Oleh itu, saya 
mengumumkan tidak akan bertanding sama ada jawatan ketua bahagian atau jawatan 
lain,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Tenggiri di sini hari ini. 
- Utusan.
 
 
Kastam tumpas seludup dadah guna khidmat Pos Laju
27/08/2008 6:18pm

 
BUTTERWORTH 27 Ogos — Kastam Unit Narkotik Bahagian Pencegahan Pulau Pinang 
merampas 1,600 biji pil psychotrophic bernilai RM32,000 yang cuba diseludup ke 
negara ini menggunakan perkhidmatan pos laju.
 
Timbalan Pengarah Kastam Negeri Chik Omar Chik Lim berkata bungkusan yang 
mengandungi 1,600 biji pil psychotrophic jenis Erimin 5, diposkan dari Taiwan 
pada 20 Ogos dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 
21 Ogos.
 
“Dari maklumat itu satu serbuan dibuat ke atas sebuah pangsapuri mewah di Jalan 
Batu Uban, Gelugur pada 25 Ogos. Seorang lelaki Cina rakyat tempatan telah 
direman bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
 
Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 
dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.- BERNAMA.
 
 
Gempa bermagnitud 9.0 di timur Siberia
27/08/2008 4:39pm

 
MOSCOW 27 Ogos – Satu gempa bumi kuat berukuran 9.0 pada skala Richter 
menggegarkan kawasan Tasik Baikal di timur Siberia hari ini.
 
Kejadian itu dilaporkan mencetuskan panik tetapi tiada kemalangan jiwa atau 
kerosakan yang berlaku, kata pegawai kerajaan.
 
Agensi berita Rusia melaporkan, perkhidmatan tempatan tergendala di ibu kota 
wilayah, Irkutsk.
 
“Sejurus selepas gegaran di Irkutsk, gangguan berlaku pada bekalan elektrik, 
talian telefon mudah alih dan Internet sementara bank-bank menggantung 
perkhidmatan.
“Bumbung beberapa buah rumah turut rosak,” lapor agensi berita RIA.
 
Jurucakap Kementerian Perkhidmatan Kecemasan cawangan tempatan berkata, tiada 
kemalangan jiwa dilaporkan.
 
Menurut pegawai, gempa bumi pada 10.35 pagi (9.35 pagi waktu Malaysia) itu 
berpusat sekitar 30 kilometer ke timur laut pekan Baikalsk.
 
Bagaimanapun menurut mereka gempa bumi itu berukuran 8.0 pada skala Richter 
berdekatan tepi Tasik Baikal, lokasi sebuah kilang kertas dan pulpa. – Reuters
 
 
Anwar tidak mungkin jadi PM - Mahathir
27/08/2008 4:01pm

 
PUTRAJAYA 27 Ogos - Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi mengulangi 
pendiriannya bahawa cita-cita Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana 
Menteri seperti yang diharap-harapkannya pada 16 September ini tidak mungkin 
akan menjadi kenyataan walaupun berjaya memenangi pilihan raya kecil Parlimen 
Permatang Pauh semalam.
 
Menurut bekas Perdana Menteri itu, beliau percaya Penasihat Parti Keadilan 
Rakyat (PKR) itu tidak mampu mendapatkan sekurang-kurangnya 30 Ahli Parlimen 
Barisan Nasional (BN) untuk melompat parti bagi membentuk kerajaan Pusat.
 
``Dia (Anwar) fikir bahawa dia boleh beli mereka (Ahli Parlimen BN), tetapi dia 
mesti ingat ada orang lain boleh menawarkan harga lebih tinggi,'' katanya 
kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.
 
Dr. Mahathir mengulas kehadiran semula Anwar dalam Parlimen selepas menewaskan 
calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dengan majoriti 15,671 undi dalam pilihan 
raya kecil Permatang Pauh semalam.
 
Bekas Presiden BN itu menambah, kerajaan harus mengambil pengajaran di atas 
kekalahan BN semalam dan Pilihan Raya Umum lima bulan lalu. 
 
``Kemenangan PKR bukan kerana parti itu hebat, sebaliknya ekoran kegagalan 
calon-calon daripada UMNO yang bertanding,'' katanya.
 
Bagaimanapun, Dr. Mahathir bimbang kejatuhan populariti BN dalam masa lima 
bulan sejak pilihan raya umum lalu, tidak hanya akan berlaku di kawasan 
Permatang Pauh tetapi akan turut memberi kesan ke tempat lain jika berlaku 
sekali lagi pilihan raya kecil.
 
Dr. Mahathir seterusnya mengulangi seruannya supaya Datuk Seri Abdullah Ahmad 
Badawi meletak jawatan sebagai Perdana Menteri berikutan penurunan sokongan 
rakyat kepada BN.
 
``Ini mesej (pengundi) kepada Pak Lah. Tapi saya percaya dia akan tutup telinga 
dan mata dan akan salahkan sabotaj.
 
``Mesej bulan Mac tak faham. Mesej kali ni pun kalau tak faham, BN akan kalah 
teruk pada pilihan raya umum akan datang,'' katanya. - Utusan


      

Kirim email ke