Oleh NAZMI  AIDARUS

ORANG kita seringkali mengungkapkan pepatah, “melentur buluh biarlah
daripada rebungnya” bagi menggambarkan keberkesanan pendidikan
kanak-kanak. Pentarbiahan yang berjaya terhadap generasi muda
sememangnya perlu dimulakan dari peringkat kecil lagi.

Pepatah tersebut menjadi kata-kata semangat dan perangsang yang
berkesan kepada ibu bapa, para pendidik dan masyarakat dalam
menyemarakkan lagi kaedah pengajaran dan pembelajaran yang konsisten
dengan harapan dapat membina belia yang berpendidikan dan berakhlak
mulia.
 
Pengajaran tentang solat lima waktu kepada kanak-kanak secara
bersungguh- sungguh hendaklah bermula apabila mereka berusia tujuh
tahun, begitu juga puasa pada bulan Ramadan sepatutnya juga dilatih
pada usia ini.
 
Ibadat puasa walaupun secara praktikalnya amat sukar untuk mereka
tunaikan tetapi realitinya ramai dalam kalangan mereka yang berjaya
menghabiskannya sehingga ke penghujung Ramadan. Sebab itu, ramai ibu
bapa yang berusaha mengasuh anak-anak berpuasa dan mendorong mereka
supaya meneruskannya sehingga sebulan.
 
Cara sebegini diamalkan oleh generasi para sahabat terdahulu dalam
mentarbiah anak-anak mereka supaya menghidupkan amalan Islam dalam
kehidupan mereka bermula dari seawal usia agar mereka kekal kental
hingga ke usia dewasa, seperti kata pujangga Arab, “pembentukan anak
semasa kecilnya umpama memahat di atas batu.” 
Seorang ibu pada zaman Nabi SAW yang bernama Ar-Rubayyie binti
Mu’awwiz memberitahu: Ketika bulan puasa, anak-anak kecil kami turut
sama dididik berpuasa.
 Apabila ke masjid (untuk menunaikan sembahyang
fardu) bersama mereka, kami menyiapkan untuk mereka permainan (yang
diperbuat) daripada benang. Apabila salah seorang mereka menangis
kerana lapar (berpuasa) kami berikannya permainan tersebut (supaya dia
leka bermain) sehinggalah ke waktu berbuka (puasa). (riwayat Bukhari
dan Muslim)
 
Umumnya, pendidikan puasa kepada kanak-kanak dilakukan secara
beransur-ansur mengikut kemampuan kesihatan dan ketahanan diri mereka
bermula dari usia tujuh hingga 10 tahun.
 
Mereka sebenarnya didedahkan dengan ibadat puasa melalui pemerhatian
dan pengamatan sendiri daripada suasana sekeliling kehidupan rumah
mereka, jiran tetangga dan persekitaran tempat belajar.

Terkadang timbul semangat dan keghairahan dalam diri mereka untuk turut sama 
menghidupkan amalan berpuasa bersama keluarga.
 
Justeru, amatlah wajar ibu bapa terus membimbing dan mendorong
mereka supaya meneruskan cita-cita mereka untuk berpuasa mengikut
kehendak dan kekuatan sendiri sama ada dapat bertahan selama beberapa
jam atau menghabiskannya sepanjang satu hari, dan begitulah seterusnya.


Pertambahan sifat ketabahan hati dan kesabaran diri dalam menahan
lapar dan dahaga menyemarakkan lagi kekuatan dalaman bagi mempraktikkan
amalan keagamaan yang berpaksikan pengabdian diri kepada Allah.
 
Sekiranya ada dalam kalangan mereka yang tidak dapat bersabar lalu
meminta untuk berbuka puasa, ibu bapa hendaklah membenarkannya dan
meraikan kemahuannya. Perkara sebegini amat perlu diberi perhatian
sewajarnya agar ia dapat terus menggalakkan anak tersebut menyambung
lagi puasa untuk esok hari.

Biasa terjadi, anak-anak akan bosan dan enggan meneruskan puasa pada
hari kedua apabila permintaannya untuk berbuka pada hari pertama tidak
dipersetujui oleh ibu bapa. Mereka lantas menganggap ibadat puasa itu
tidak lain melainkan ‘menyusahkan diri’ dan membebankan.
 
Perlu juga difahami bahawa kanak-kanak yang menjalani ibadat puasa
apabila terasa lapar dan dahaga, mereka diberi dua pilihan iaitu
berbuka kerana tidak tahan menanggung lapar dan dahaga (yang menjadikan
ibu bapa merasa tenteram dengan keadaan kesihatannya), atau dia cuba
meneruskan puasanya dan menunjukkan kesungguhannya dalam beribadat
kepada Allah SWT (maka ibu bapa lebih terasa aman dan tenteram dengan
pengorbanan anak tersebut).

Menghargai

Kerana itu, alangkah baik jika ibu bapa dapat menyediakan hadiah
atau saguhati bagi menghargai kesungguhan anak-anak dalam melakukan
sebarang ibadah kepada Allah terutama solat dan puasa di samping
membekalkan kata-kata semangat dan panduan buat mereka.
 
Biasa terjadi di negara kita, bulan puasa jatuh pada hari-hari
persekolahan. Maka bagi kanak-kanak yang baru belajar berpuasa
hendaklah mereka diberikan kelonggaran untuk berpuasa pada tempoh waktu
persekolahan dan berbuka apabila sampai ke rumah pada waktu tengah hari
(petang), ataupun sebaliknya berpuasa hanya di rumah setelah pulang
dari sekolah.
 
Ibu bapa berperanan penting dalam memahamkan anak-anak tentang roh
berpuasa dengan memberikan penjelasan bahawa ibadat puasa adalah
kefarduan dan tanggungjawab seorang muslim, bukanlah bertujuan
menyusahkan mereka.

Bahkan ia dapat menanam sifat prihatin terhadap kesusahan dan
penderitaan yang senantiasa ditanggung oleh mereka yang tidak
berkemampuan.
 
Puasa melatih diri supaya bersabar dan menanggung kejerihan hidup
dalam suasana ketaatan dan keimanan kepada prinsip qada dan qadar.

Ibadat puasa bermaksud menyekat kejahatan percakapan lidah dan
anggota tubuh daripada menyakiti orang lain, mengawal pandangan
pancaindera daripada disebarkan kepada perkara yang diharamkan Allah.
 
Bulan Ramadan adalah anugerah Allah yang amat bernilai, kerana itu
ia tidak sewajarnya dipersia-siakan dengan perlakuan yang menyanggahi
ketentuan hukum-hakam syariat.
 
Alangkah baik jika ibu bapa menginsafi bahawa kejayaan hakiki adalah
di negeri akhirat, di mana setiap orang beriman dan beramal soleh bakal
ditempatkan di syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.
 
Sewajarnya kita mendidik diri dan keluarga mempersiapkan sebaik-baik
bekalan untuk ke sana sebelum waktunya dan mengawasi diri daripada
melanggari titah perintah Allah.

lNAZMI AIDARUS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Jabatan Mufti Terengganu - utusan



      

Kirim email ke