Pemegang kad debit menghadapi risiko hilang semua simpanan dalam akaun tanpa
jaminan bank jika kad itu disalahgunakan oleh pihak yang tidak
bertanggungjawab, kata Gabungan Persatuan- persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).
Setiausah agungnya Muhammad Sha'ani Abdullah berkata sindiket penipuan boleh
mencuri data pemilik kad untuk diklon sebagai kad debit palsu untuk membeli
barangan, lapor Bernama.
Tambahnya, kerana kad debit disambung terus kepada akaun pemegang kad dan
sebarang pembelian menggunakannya, wang akan ditolak serta-merta daripada akaun
pengguna.
"Ini bermakna risiko terletak sepenuhnya pada pemegang kad debit dan bank tidak
bertanggungjawab atas sebarang kerugian yang dialami oleh pemegang akibat
penyalahgunaan kad berkenaan," beliau dipetik berkata hari ini.
Berbeza dengan pengguna kad kredit yang mendapat jaminan tertentu bank, pemilik
kad debit tidak mendapat jaminan sedemikian.
"Jika kad kredit disalahgunakan oleh pihak tertentu, maka pemegang boleh
mempertikaikan jumlah perbelanjaan dan menuntut semula bayaran dari bank,"
katanya.
Muhamad Sha'ani, yang juga ketua eksekutif Pusat Perkhidmatan Aduan Pengguna
Nasional (NCCC), menambah bank tempatan membuat promosi kad debit secara
agresif sejak tahun lepas dan pengguna perlu berwaspada untuk memilikinya.
Bagaimanapun sumber perbankan menjelaskan, risiko kad debit adalah minima
apabila digunakan dalam negara kerana penggunaannya berdasarkan tandatangan
pemegang dan kad mempunyai cip keselamatan.
Tambahnya, seperti dipetik agensi berita itu, pemegang kad debit tidak perlu
berhutang untuk berbelanja kerana mereka hanya dapat berbelanja mengikut jumlah
simpanan dalam akaun sahaja.
"Ini membantu mendisiplinkan pengguna dari segi perbelanjaan yang tidak perlu
atau menanggung hutang berlebihan," kata sumber yang tidak didedahkan
identitinya.
Kad debit itu baik untuk bank kerana mereka tidak perlu memberi sebarang kredit
kepada pemegang dan sekali gus mengurangkan risiko pinjaman tidak berbayar,
tambahnya.