Sebaik-baik manusia ialah orang yang dapat memberi manfaat kepada orang lain
(Hadis riwayat Al-Qudhi)
JUNHAIRI BIN ABD JALIL
EKSEKUTIF PEMASARAN (KAD KREDIT)
BANK ISLAM, BANK RAKYAT, EONBANK & MAYBANK ISLAMIC IKHWAN CARD
019 - 363 5331
Perbanyak zikir elak budaya suka mengumpat
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli
MENGUMPAT bermaksud bercerita serta menyatakan keburukan atau kekurangan
individu kepada orang lain, sama ada dengan nama pelakunya atau individu
terbabit memang dikenali orang yang mendengarnya. Mengumpat sememangnya boleh
berlaku sama ada ia disedari orang yang melakukannya atau sebaliknya.
Rasulullah menjelaskan mengumpat ini dalam sabda baginda yang bermaksud,
"Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu
perkara yang dibencinya" (Hadis Riwayat Muslim).
Memandangkan buruk dan hinanya sikap mengumpat ini, ia disamakan seperti
memakan bangkai saudara seagama sendiri bagi seseorang yang melakukannya.
Manusia waras tidak akan sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging
saudara sendiri. Disebabkan mengumpat terlalu lazim berlaku dalam kehidupan
seharian.
Hakikat inilah yang perlu direnungkan kita semua. Mengumpat dan mencari
kesalahan orang lain selalunya akan mendedahkan keaiban diri seseorang
individu. Perlu diingat seseorang yang membuka keaiban rakan atau seseorang
lain akan didedahkan segala keaiban mereka pula di hari akhirat kelak.
Sabda Rasulullah: "Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman
dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu
mengintip keaiban mereka. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban
saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan dia akan mendedahkannya,
meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis riwayat Abu Daud).
Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod
amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.
Sabda Rasulullah bermaksud: "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api
memakan ranting kayu kering". Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah
atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal
apa-apa lagi.
Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar
apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di
dunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya
kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah
menjawab: "Semua kebaikan itu (pahala) datangnya dari orang melakukan umpatan
kepada engkau tanpa engkau ketahui".
Jika pahala orang mengumpat tidak ada lagi diberikan kepada orang diumpat, maka
dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah
dikatakan orang yang mengumpat adalah golongan manusia muflis di akhirat nanti.
Memandangkan buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri
daripada melakukannya. Oleh itu, perbanyak zikir supaya dapat menghindarkan
diri daripada mengumpat. Islam menganjurkan beberapa kaedah untuk menghindarkan
diri kita daripada terjerumus ke dalam budaya hidup suka mengumpat ini.
Antaranya ialah:
Jika kita mengingati bahawa apabila kita mengumpat, kita akan diumpat balik,
sudah tentu kita tidak akan mengumpat. Elakkan berbuat jahat kepada orang yang
tidak berbuat jahat kepada kita.
Manusia perlu memenuhi keperluan intelek seperti mencari ilmu, berfikir,
memerhati, menanggapi dan membuat spekulasi. Maka, orang yang melakukan
sebaliknya bererti tidak memenuhi keperluan intelek. Tidakkah bererti apabila
kita mengumpat bermakna jiwa kita jahat? Luar nampak cantik, tetapi di dalam
sudah busuk dan berulat.
Ingat dosa. Larangan Islam terhadap perbuatan mengumpat sudah cukup untuk
memotivasikan diri setiap individu. Tidak ada manusia normal sanggup memakan
bangkai seseorang.
Imam al-Ghazali ada menyatakan enam perkara mendorong seseorang itu mengumpat:
Ingin memuaskan hati disebabkan kemarahan yang memuncak hingga sanggup
mendedahkan keaiban dan kesalahan orang lain. Jika kemarahan tidak dapat
dikawal, ia boleh menimbulkan hasad dan dendam;
Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang yang menyerang peribadi dan
kehormatan seseorang;
Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh dan
rendah;
Disebabkan dengki, dia iri hati dengan orang lain yang lebih beruntung dan
berjaya, seperti dinaikkan gaji dan pangkat;
Bergurau dan suka berlawak untuk mencela dan mengatakan kelemahan dan kecacatan
hingga mengaibkan orang lain; dan
Sikap suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak dan sombong kerana
memandang rendah orang lain.
Sehubungan itu, Imam al-Ghazali menyarankan lima perkara untuk menghentikan
sikap suka mengumpat, antaranya iaitu, harus sedar dan insaf mengumpat dan
memburuk-burukkan orang lain itu berdosa besar; insaf dan membetulkan kesalahan
sendiri daripada menyalahkan orang; hendaklah berasa malu apabila memperli
kecacatan orang lain. Ini kerana mencela kecacatan fizikal seolah-olah mencerca
Tuhan yang menciptakan.
Perlu diingatkan ada beberapa kelakuan yang tidak dikatakan sebagai umpatan
bahkan menjadi harus seperti seorang isteri yang mengadu kepada hakim untuk
mendapatkan keadilan.
Maka isteri sudah tentu perlu menyatakan keburukan si suami untuk
dipertimbangkan oleh hakim. Begitu juga dengan umpatan yang dilakukan seseorang
terhadap individu yang zalim. Kisah hidup masyarakat dipaparkan melalui TV,
filem dan cerpen dan novel juga bukanlah bersifat umpatan kerana ia terlalu
umum demi membentuk naratif sebuah cerita dan kisah hidup sebagai teladan
khalayak umum.