Chin Peng(lahir 21 Oktober 1924) ialah nama samaran Ong Boon Hwa, ketua Parti 
Komunis Malaya.
Beliau bukannya berasal dari China sebagaimana sangkaan ramai. Chin Peng 
dilahirkan di sebuah kedai kecil dua tingkat menjual basikal, di No. 36, Jalan 
Kampung Koh, Sitiawan yang terletaknya 50 kilometer dari barat daya bandar 
Ipoh, Perak. Beliau merupakan anak kedua daripada enam beradik yang hidup dalam 
kemiskinan. Ayahnya datang dari negara China dan kecewa akibat kemelesetan 
ekonomi 1930.
Buku memoirnya bertajuk "Chin Peng: Sejarah dari belah saya" ("Chin Peng: My 
Side of history") diterbitkan di Singapura.
Kisah hidupnya
Semasa kecil Chin Peng minat sekali membaca bahan-bahan media cetak dan 
menyoroti perkembangan di negara China. Ketika itu berlaku pertikaian antara 
Chiang Kai Shek dan Mao Tse Tung. Tentera Jepun pula merampas Manchuria dan 
menguasai pedalaman China. Negara China merupakan tanah kelahiran bapa dan 
nenek moyangnya di kawasan Kwantung.
 
Semasa remajanya 15 tahun, Chin Peng mempunyai perasaan yang dekat dengan 
nasionalis berpendidikan barat Ching Kai Shek yang menguasai kawasan selatan 
China dan Taiwan. Tapi buku kecil 'On Protacted War' karangan Mao Tze Tung 
mengubah pendiriannya kepada aliran komunisme. Tekadnya jelas untuk menentang 
Jepun yang kemudian menyerang Tanah Melayu tahun 1941.
 
Tahun 1940 dia diterima menyertai Parti Komunis Malaya iaitu satu cabang Parti 
Komunis China di seberang laut. Dia turut menyertai Force 136, satu pasukan 
bersenjata yang ditubuhkan oleh perisik British bagi menentang Jepun di Tanah 
Melayu. Ketika itu umurnya 18 tahun.
 
Chin Peng memimpin MPAJA atau Malayan People Anti Japanese Army , sebuah 
pasukan gerila bagi menentang Jepun. Tentera British (Pasukan Special Air 
Services dan MI6) yang diterjunkan di hutan Perak, telah memberi pelbagai 
senjata, kewangan, latihan dan pelbagai peralatan lain bagi memperlengkapkan 
Force 136 dan MPAJA. Tentera MPAJA pernah menyerang tentera Jepun di Sungai 
Perak berhampiran dengan tebing Pasir Salak pada tahun 1942.
 
Selepas Perang Dunia II, beberapa pihak yang berfahaman radikal didalam MPAJA 
telah bertindak keluar hutan untuk membunuh menyiksa mereka yang bersubahat 
dengan tentera Jepun dan tali barut British dan turut membunuh pemimpin 
tempatan seperti para Penghulu dan para Imam kampung sebagai taktik memantapkan 
penguasaan mereka. Selain itu, puak radikal didalam MPAJA turut cuba merampas 
pentadbiran terutamanya dibahagian selatan Tanah Melayu.
 
Tindakan puak radikal didalam MPAJA ini telah menimbulkan kemarahan orang-orang 
Melayu yang bangkit untuk menentang pihak komunis di bawah beberapa pemimpin 
seperti Panglima Salleh Selempang Merah. Akibat daripada tindakbalas orang 
Melayu ini, Parti Komunis Malaya gagal merampas kuasa malah terpaksa meminta 
campur tangan Tunku agar mententeramkan orang-orang Melayu yang bangkit ketika 
itu.
 
Malah ada beberapa fakta yang menunjukkan bahawa beberapa pihak didalam 
kelompok Melayu elit yang telah menghasut dan membangkitkan isu perkauman 
Cina/Melayu dalam usaha mereka mengekalkan kekuasaan mereka. Kelompok Melayu 
elit ini rata-rata amat mengharapkan agar pihak British akan datang kembali dan 
seterusnya membolehkan mereka bertapak kukuh didalam urusan politik tempatan. 
Malah pihak-pihak ini juga menghasut agar beberapa individu dan pertubuhan 
dilabelkan sebagai puak kiri dan kemudiannya berjaya mengharamkan pertubuhan 
tersebut dan menangkap pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya.
 
Kembalinya British dengan pentadbiran tenteranya (BMA) dalam tempoh yang 
singkat menyebabkan pihak Bintang Tiga tidak berjaya mengembangkan pengaruh 
mereka. Akibat kegagalan Bintang Tiga merampas Tanah Melayu dengan gerakan 
bersenjata, telah membawa kepada persetujuan pembubaran tentera MPAJA dan 
perletakan senjata api disamping pembayaran saguhati kepada gerila-gerila 
terbabit.
Atas jasanya terhadap perjuangan penentangan pendudukan Jepun, Chin Peng 
dijemput ke London untuk menerima medal 'Order of the British Empire ' kerana 
sumbangannya yang besar memimpin MPAJA dan Force 136 menentang Jepun. Tapi 
tekadnya untuk menubuhkan kerajaan komunis di Tanah Melayu dan menyingkirkan 
British dan akhirnya memerdekakan Malaya semakin membuak-buak selepas itu. 
Suasana aman dan maju di kota London meningkatkan azamnya untuk berjuang di 
dalam hutan Tanah Melayu.
Memimpin Parti Komunis Malaya
Ketika umurnya 23 tahun, Chin Peng dilantik sebagai Setiausaha Agung , Parti 
Komunis Malaya menggantikan Lai Tek yang telah dibunuhnya di Thailand. Lai Tek 
adalah perisik tiga mata yang telah belot dan melarikan wang Parti Komunis 
Malaya .
 
Di bawah pimpinannya Parti Komunis Malaya semakin agresif dan militan dengan 
menyerang ladang-ladang, gudang getah, rumah asap dan rumah pengurus milik 
orang British di Tanah Melayu. Lantaran itu ahli PKM semakin menyanjung 
keberanian dan wawasan Chin Peng. Taktik ini membawa padah kepada Parti Komunis 
Malaya kerana tidak langsung diterima di kalangan orang Melayu.
 
Parti Komunis Malaya juga tidak mengamalkan athiesme. Walaupun prinsip utama 
komunisme yang ditulis oleh Karl Marx tidak mempercayai tuhan dan menyatakan 
bahawa agama itu adalah candu manusia, namun apa yang berlaku di tanah melayu 
pada waktu itu ialah mereka mengamal prinsip keagamaan seperti mana yang kita 
dapat lihat dalam salah seorang tokoh parti komunis malaya iaitu Rashid Maidin, 
Abdullah C.D dan Suraini Abdullah. Mereka tetap mendirikan solat lima waktu 
seperti mana yang dituntut oleh agama islam walaupun di dalam hutan semasa 
perjuangan. Mereka juga telah menunaikan ibadah haji. Sememangnya Rashid Maidin 
adalah seorang yang warak dan berilmu agama yang tinggi malah beliau juga 
mengajar cucunya dan beberapa budak-budak kampung membaca Al Quran dan Tajwid.
 
Ketika darurat, British dengan kerjasama golongan Melayu elit telah melancarkan 
perang saraf iaitu propaganda melalui media massa untuk mempengaruhi fikiran 
orang-orang Melayu supaya mereka yakin bahawa Parti Komunis Malaya itu kejam 
dan tidak sesuai diikuti. Pengalaman orang-orang Melayu selepas Perang Dunia II 
dan taktik komunis yang membunuh beratus-ratus rakyat yang tidak berdosa 
menyebabkan kebanyakannya orang Melayu menolak cara ganas komunis. Perjuangan 
bangsa Melayu untuk mendapatkan kemerdekaan tanpa pertumpahan darah tidak 
disenangi komunis yang inginkan kuasa politik jatuh ketangan mereka dengan cara 
menggunakan keganasan dan menanam rasa takut kepada rakyat amnya. 
 
Perjuangan komunis tidak boleh dianggap sebagai perjuangan untuk kemerdekaan 
kerana mereka hanya berjuang untuk kepentingan PKM dan bukan untuk kemerdekaan 
Malaya. Ini terbukti, mereka tetap meneruskan taktik ganas mereka walaupun 
selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan terbukti boleh dicapai bukan 
dengan perjuangan menumpah darah dengan sia-sia tetapi dengan rundingan damai 
yang lebih berfaedah dan bermanfaat untuk semua pihak.
Perjanjian Damai
Akibat kesukaran dan kekurangan sokongan dari masyarakat, pemimpin Parti 
Komunis Malaya, Chin Peng telah meminta perundingan diadakan pada tahun 1955. 
Rundingan Baling diadakan di Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Putera, Baling 
pada tahun 1955. Tunku Abdul Rahman yang mendapati Chin Peng enggan menerima 
syarat pembubaran PKM dan enggan menyertai pilihan raya melalui parti lain 
sebagai syarat pengampunan, bertindak menolak tuntutan PKM agar dibenarkan 
bergerak sebagai sebuah parti politik yang sah.
 
Dengan keengganan Parti Komunis Malaya berdamai, Tunku Abdul Rahman telah 
mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka 
tanpa Parti Komunis Malaya. Parti Komunis Malaya yang lemah diasak semakin jauh 
ke dalam hutan, sehinggakan kadang-kala tersingkir keluar dari pada Malaysia, 
khususnya di sempadan Malaysia Thailand.
Kemerosotan Komunis
Setelah komunis runtuh di Rusia dan di runtuhnya Tembok Berlin di Jerman Timur 
tahun 1989, PKM semakin goyah. Satu perjanjian damai antara Kerajaan Malaysia, 
Kerajaan Thailand dengan Parti Komunis Malaysia telah ditandatangani di Haadyai 
pada 1989. Perjanjian ini dikenali sebagai Perjanjian Haadyai.
 
Setelah 1989 tidak ada lagi perjuangan bersenjata . Ahli PKM diterima sebagai 
warganegara Malaysia dan boleh kembali ke Malaysia. Tetapi pemimpin utama 
seperti Chin Peng dan Rashid Maidin dibenarkan hanya menetap di sebuah 
perkampung khas di Yala, Thailand.
Kembali ke Malaysia
Chin Peng sedang membawa kesnya di mahkamah Pulau Pinang agar dia diterima 
pulang ke Malaysia. Penerimaan Chin Peng kembali ke Malaysia ditentang hebat 
oleh ramai sanak saudara mangsa kekejaman Komunis Malaya, polis dan tentera 
yang cedera dan terkorban. Ini disebabkan Chin Peng merupakan orang yang 
bertanggung jawab dengan kegagalan Perundingan Baling dengan berkeras menuntut 
agar Parti Komunis Malaya diterima sebagai sebuah parti politik, walaupun telah 
ditawarkan pengampunan sebelumnya.
 
Bagaimanapun terdapat pihak yang mempersoalkan kenapa Musa Ahmad dan Shamsiah 
Fakeh dapat diterima kembali ke Malaysia, tetapi tidak bagi Chin Peng.


      

Kirim email ke