Parti Komunis Malaya
Pemberontakan Bersenjata Parti Komunis Malaya (1948 - 1989)
Perang Dunia Kedua dan Pendudukan Jepun di Tanah Melayu mulai 8 Disember 1941 
telah memberi peluang kepada Parti Komunis Malaya untuk memperkuatkan 
organisasinya. Parti Komunis Malaya yang ditubuhkan pada 20 April 1930 telah 
bekerjasama dengan pihak British untuk menentang Jepun melalui Malayan People 
Anti Japanese Army atau dalam bahasa Melayu Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah 
Melayu (MPAJA) berdasarkan perjanjian yang dibuat pada 8 Disember 1940.
 
MPAJA
 
PKM berjaya mempengaruhi British membebaskan semua tahanan politik yang 
berhaluan kiri. Menerusi MPAJA, bantuan senjata, latihan, kewangan, bekalan 
lojistik dan perubatan telah diperolehi dari British. Dalam tempoh 3 tahun 
kekuatan tentera MPAJA dianggarkan sebanyak 7,000 anggota dan tidak hairanlah 
apabila darurat berlaku pihak British dan anggota pasukan keselamatan terpaksa 
berhadapan dengan kesukaran menghapuskan sekumpulan tentera yang telah dilatih 
untuk berperang. Kerjasama antara PKM dan British telah menghasilkan Sekolah 
Latihan Khas 101 di Singapura. Latihan yang diberi di sekolah tersebut adalah 
dalam bentuk perang gerila. 
 
Selepas Jepun menyerah kalah, Parti Komunis Malaya telah mengambil kesempatan 
untuk berkuasa menerusi gerila-gerila MPAJA. Beberapa siri keganasan dan 
rusuhan serta pergaduhan antara kaum telah berlaku di Tanah Melayu, terutamanya 
di bahagian selatan Tanah Melayu. Akibatnya, orang-orang Melayu mulai 
bertindak-balas terhadap kekejaman anggota komunis Bintang Tiga, seperti 
pasukan yang diketuai oleh Panglima Salleh Selempang Merah. Kembalinya British 
dengan pentadbiran tenteranya (BMA) dalam tempoh yang singkat menyebabkan 
komunis Bintang Tiga tidak berjaya mengembangkan pengaruh mereka. Akibat 
kegagalan komunis Bintang Tiga merampas Tanah Melayu dengan gerakan bersenjata, 
telah membawa kepada persetujuan pembubaran tentera MPAJA dan perletakan 
senjata api disamping pembayaran saguhati kepada gerila-gerila terbabit.
 
Bagi meraih simpati, mengindoktrinasi fahaman komunis dan mendapatkan sokongan 
orang-orang Melayu, pihak Parti Komunis Malaya telah mengasaskan Parti 
Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang diasaskan oleh Ahmad Boestamam berfahaman 
kebangsaan dan Mokhtaruddin Lasso (MPAJA) berfahaman komunis pada 17 Oktober 
1945. Parti Komunis Malaya telah menguasai PKMM melalui tokoh-tokoh 
jawatankuasanya yang terdiri daripada Mokhtaruddin Lasso (Presiden), Arshad 
Ashaari (bendahari), Rashid Maidin dan Abdullah C.D. PKMM lebih cenderung bagi 
Tanah Melayu menyertai Indonesia bagi mendapat kemerdekaan pada 1949.
 
Terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 merupakan kekalahan 
kepada Parti Komunis Malaya kerana golongan ini telah diketepikan oleh British. 
Parti Komunis Malaya telah menukar strategi dan mula mencetuskan kegagasan 
melalui mogok dan rusuhan. Pihak British bertindak balas dengan mengharamkan 
pemimpin politik daripada mengetuai kesatuan pekerja, dengan itu melemahkan 
kedudukan komunis Bintang Tiga.
 
Pihak komunis Bintang Tiga kemudiannya mulai mengangkat senjata dan beberapa 
siri serangan dan serangan telah berlaku. Bagaimana pun, insiden pada 16 Jun 
1948 iaitu pembunuhan tiga orang pengurus estet berbangsa Eropah di Sungai 
Siput, Perak telah membawa kepada pengistiharan darurat oleh Sir Edward Gent. 
Apabila keadaan bertambah teruk, pada 12 Julai 1948, darurat diistiharkan ke 
seluruh negara. Parti Komunis Malaya telah diharamkan pada 23 Julai 1948. 
Seluruh angkatan bersenjata telah digerakkan termasuk *Senoi Praaq bagi 
menentang komunis.
 
* Senoi Praaq adalah pasukanbersenjata ( tentera) yang dianggotai oleh 
masyarakat asli kaum Senoi yang mahir bergerak di dalam hutan. 


      

Kirim email ke