Sebaik-baik manusia ialah orang yang dapat memberi manfaat kepada orang lain 
(Hadis riwayat Al-Qudhi) 

Lawatilah kediaman saya dan rakan-rakan di 
http://groups.yahoo.com/group/pakbelang
Facebooking di [email protected]





 
 

















Petua Berjaya Yang Luar Biasa 











   



Segala penghuni petala bumbung
dan lantai sudah berkumpul.



Mamalia ada, reptilia ada, berdarah panas menggelegak pun banyak,
berdarah sejuk yang kuat rajuk pun melata. Semuanya berkumpul di tepi permatang
untuk bergelanggang. Mahu melihat hari ini dalam sejarah.



Sebuah pertempuran yang dinanti-nantikan.



Pertandingan memanjat pokok pinang.



30 makhluk ciptaan Tuhan tampil ke depan. Mahu berentap memanjat
ke awan. Habuan yang ditawarkan pun agak lumayan. Siapa mendengar pasti
tertawan.



Sang murai menjerit girang, tanda persaingan bermula sekarang.



“Ayuh, ayuh! Jangan mudah berputus asa,” jerit sang punai
menyorakkan tupai.



“Panjat, panjat! Siapa cepat dia dapat!,” sorak si badak mengusik
si katak. 

 





Tupai, katak, beruk dan lotong, memanjat-manjat mara ke atas.
Menoleh ke kanan menoleh ke kiri, sesekali mencanak telinga mendengar sorak
rombongan rimba. Sorak yang kuat menambah semangat. Sorak yang semangat
menambah kudrat.



Tapi pinang bukan sebarang pinang. Licinnya kulit bukan kepalang.
Basah pula dek gerimis petang, tidak beranting tidak berdahan. Hanya batang,
tinggi kepalang.



Peluh memercik sengalnya tulang, pucuk pinang masih menjulang.
Jauh lagi sebuah kemenangan, untuk juara mengecap kejayaan. Satu demi satu
peserta jatuh. Letih, sakit, lenguh, tersepuh. Hanya tinggal segelintir yang
keras hati, terus mara tidak peduli.



Warga rimba berubah hati, dari dorong kepada maki. Tadi beri
semangat kini mencaci mengumpat. Tangan masih bersorak, mulut mengeji mencanak.



“Sudah-sudahlah, jangan ditamak hadiah yang banyak. Benda mustahil
jangan kejar sampai terkucil,” ujar sang platipus memuncung-muncung.



“Kalau kamu mahu sangat tawaran itu, datang sahaja ke sarangku,
akan kubelanja!” tawar si merak yang megah berlagak.



“Baliklah, hari sudah petang. Ingat di reban, keluarga tersayang”
panggil sang itik, terkedek-kedek.



Satu demi satu peserta hilang semangat. Tubuh penat, basah
keringat. Kudrat tadi semakin susut, ghairah pagi menjadi kecut. Tupai yang
lincah jatuh ke tanah, biawak yang buas tergelincir terhempas. Batang pinang
tinggal sebatang, hanya seekor cicak berjuang.



“Hahaha! Bodohnya cicak itu. Entah apa yang dia mahu” ketawa si
beruk bermuka buruk.



“Uhuhuh! Cicak tamak tak ingat anak. Mengejar hadiah tak nampak
rumah!” ejek sang kancil tak padan kecil.



Cicak terus mencanak.



Batang pinang dipanjat tak kira orang.



Walau panjatnya lesu perlahan, pinang dipanjat mencapai awan. Bayu
petang menghembus kuat, cicak bertahan tak patah semangat. Biar pun diri
tinggal sendiri, cicak langsung tidak peduli.



Jika tadi semua mengeji, timbul kagum semua berdiri. Kutuk tidak
didengar lagi, kata semangat kini kembali. Cicak mula terima sorak, jangan
undur teruskan tempur. Hadiah bukan tawaran sebarangan, lumayan sekali jangan
disesiakan.



Sampai di puncak, tersenyum cicak. Cita-cita sudahlah nyata. Tahun
ini cicak juara. Hadiah lumayan miliknya jua.



Datang wartawan mencari cerita. Bertanyakan rahsia semangat yang
waja. Cicak tersenyum tanpa bicara, soalan ditanya, tiada jawabnya.



Fahamlah semua rahsia sang cicak, rupanya dia CICAK
YANG PEKAK.



PENGAJARAN



Jika mahu berjaya dalam hidup, sesekali belajarlah memekakkan diri
daripada melayan cakap orang, sama ada kritikan, sama ada pujian. Jika sudah
ditetapkan hala tuju, terus sahaja mara ke hadapan. 



   











   





 





 




      

Kirim email ke