Penipu dari Seberang <http://www.biovco.com/tiroid-9k.php> PUTRAJAYA: Hanya
dengan membalas mesej dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan
disertai nombor akaun bank, anda berpeluang memperoleh RM14,000!

Lebih menarik lagi, anda antara tiga daripada berjuta pengguna telefon
bimbit di negara ini yang dipilih sebagai pemenang melalui peraduan yang
didakwa dianjurkan Petronas.

SMS dihantar itu amat mudah iaitu 'TAHNIAH Sim Card anda memenangi Peraduan
dari Petronas' for Information sila hubungi Call Centre: 006285888291666
Terima Kasih- +628159740614.

Seorang kakitangan swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Arifin, dari
Bangi, berkata dia terkejut apabila menerima SMS itu awal pagi semalam yang
menyatakannya memenangi satu peraduan anjuran Petronas.

"Berikutan sangsi dengan mesej diterima, saya menghubungi nombor telefon
bimbit yang tertera itu melalui bantuan operator telefon.
"Bagaimanapun, saya dinasihatkan operator itu berhati-hati berikutan
peraduan itu satu helah semata-mata untuk menipu orang ramai," katanya yang
datang ke pejabat Harian Metro, di sini, semalam.

Arifin berkata, dia mengesyaki perbuatan itu penipuan berikutan nombor
tertera pada mesej yang diterimanya adalah nombor yang didaftarkan di negara
jiran.

"Kalau peraduan itu anjuran Petronas, mengapa nombor telefon bimbit itu
menggunakan nombor pendaftaran dari negara berkenaan?" katanya.

Berikutan itu, wartawan Harian Metro menghubungi nombor telefon bimbit yang
tertera dengan bantuan operator telefon dan dimaklumkan nombor yang tertera
itu didaftarkan di Indonesia.

Bagaimanapun, untuk mendapat maklumat lanjut mengenai peraduan itu, wartawan
Harian Metro meminta supaya operator berkenaan menyambungkan ke nombor
telefon bimbit yang tertera pada mesej diperoleh Arifin.

Sebaik disambungkan, wartawan yang menyamar sebagai Arifin bertanya lanjut
mengenai peraduan itu.

Ikuti sebahagian perbualan dengan seorang lelaki yang menyambut panggilan
itu dan dipercayai warga negara jiran berdasarkan loghat percakapannya.

WARTAWAN: Encik, saya nak tahu pasal SMS yang saya menang peraduan Petronas.

LELAKI: Encik dari mana?

WARTAWAN: Saya dari Kuala Lumpur. Pejabat encik di mana?

LELAKI: Saya di Menara Petronas, KLCC.

WARTAWAN: Jadi, macam mana peraduan ni encik?

LELAKI: Nombor telefon encik dipilih sebagai pemenang peraduan ini dan kami
akan memberi encik wang tunai RM14,000. Encik ada akaun bank?

WARTAWAN: Ada. Kenapa?

LELAKI: Encik kena bagi kami nombor akaun bank untuk kami pindahkan wang itu
ke dalam akaun encik.

WARTAWAN: Kalau saya bagi nombor akaun, bila saya boleh dapat duit tu?

LELAKI: Petang ni jugak encik boleh dapat.

WARTAWAN: Saya nak tau...ramai lagi tak yang menang?

LELAKI: Ada dua orang lagi. Tiap hari kami pilih tiga pemenang dari Celcom,
Maxis, DiGi. Boleh encik bagi nombor akaun sekarang?

WARTAWAN: Saya ada kena bayar apa-apa tak?

LELAKI: Tak perlu. Kami cuma mahu encik bagi nombor akaun bank. Lepas tu
kami pindahkan wang RM14,000.

WARTAWAN: Dari mana dapat nombor telefon bimbit saya?

LELAKI: Kan nombor telefon semuanya didaftar. Kami ambil dari situ. Bagi
nombor akaun encik?

WARTAWAN: Saya nak tau memang Petronas yang anjur peraduan ini?

LELAKI: Memang Petronas encik. Bagi nombor akaun encik. Lagi cepat, lagi
senang encik dapat duit.

Perbualan itu diputuskan apabila wartawan membuat pertanyaan lanjut.

Berita mengenai sindiket yang cuba menipu pengguna telefon bimbit negara ini
menerusi SMS yang menyatakan mereka memenangi wang tunai apabila terpilih
sebagai pemenang satu peraduan anjuran Petronas, Akademi Fantasia (AF) dan
beberapa syarikat lain pernah disiarkan akhbar ini tidak lama dulu.

Sumber : Harian Metro online

*Lain-lain INFO : KLIK DISINI*
<http://www.biovco.com/tiroid-9k.php>


[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke