*Hanya mampu berdoa <http://www.biovco.com/info-kesihatan.php>*

KOTA TINGGI: "Selepas tercampak keluar, saya hanya mampu berdoa supaya suami
dan anak kami turut tercampak. Malangnya, mereka tersepit dalam kereta yang
terbakar sebelum mayat kedua-duanya ditemui rentung dalam keadaan
berpelukan," kata Rohana Amat, 29.

Dalam keadaan sebak, Rohana yang bertugas di Bahagian Jenayah Seksual Wanita
dan Kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor
menceritakan pengalaman ngeri dalam kemalangan mengorbankan tiga mangsa di
Kilometer 270.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran kawasan Rehat
dan Rawat (R&R) Seremban, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, suami Rohana, Lans Koperal Azmi
Abdul Aziz, 29, yang bertugas Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah
(IPD) Shah Alam dan anak sulung mereka, Muhamad Nor Akmal Daniel, 6, rentung
selepas terperangkap dalam Proton Perdana V6 manakala Rohana dan anak
keduanya, Muhamad Nur Amsyar Danish, 3, terselamat.

Turut terkorban, pemandu Proton Waja yang merempuh Proton Perdana V6
terbabit, Samir Bhawmick Bimar Kumar Bhawmick, 39, yang dalam perjalanan
dari Rasah ke tempat kerjanya di Kuala Lumpur.

Rohana yang cedera di telinga kiri dan kepala berkata, sebelum kejadian, dia
duduk di tempat duduk penumpang depan sambil memangku Muhamad Nur Amsyar
Danish, manakala anak sulungnya, Muhamad Nur Akmal Daniel di tempat duduk
belakang.

Menurutnya, ketika berbual dengan arwah suaminya, mereka ternampak kesesakan
lalu lintas berikutan kemalangan menyebabkan arwah memperlahankan
kenderaannya.

"Bagaimanapun, sebuah kereta merempuh kenderaan kami dari belakang dan arwah
suami cuba membrek serta menarik brek tangan, malangnya kereta kami terus
meluncur dan terbabas sehingga merempuh pembahagi jalan.

"Apabila suami tak dapat mengawal kereta, saya memeluk erat anak kedua dalam
pangkuan sebelum tiba-tiba saya dan Danish melambung keluar menerusi cermin
depan dan terlentang di atas jalan manakala Danish terbaring di atas dada.

"Dalam keadaan sedar, saya melihat kereta kami berpusing beberapa kali
sebelum terbakar. Api marak dengan cepat dan saya menjerit meminta tolong.
Tetapi, orang ramai tak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan mereka.

"Ketika itu, saya berdoa supaya suami dan Daniel juga tercampak keluar,
tetapi mereka tersepit dalam kereta itu dan selepas kejadian, saya hanya
sempat melihat jenazah kedua-duanya apabila sampai di rumah keluarga mentua
di Felda Sungai Emas, kira-kira jam 5.15 petang tadi (semalam)," katanya
ketika ditemui di rumah keluarga mentuanya di sini, malam tadi.

Rohana berkata, akibat kecederaan itu, dia yang sepatutnya dirawat di
Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban meminta kebenaran pulang bagi
memberikan penghormatan terakhir kepada arwah suami dan anaknya yang
disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Emas, kira-kira jam 6.15
petang semalam.

Menurutnya, dia kini tinggal sehelai sepinggang kerana dokumen peribadi,
barang kemas serta telefon bimbit terbakar bersama keretanya dan akan
menjalani rawatan di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), selepas ini.

"Kami dalam perjalanan pulang ke Shah Alam kerana sepatutnya mengambil kunci
untuk rumah di kuarters PDRM di Seksyen 20 Shah Alam dan sepatutnya
berpindah hujung bulan ini kerana sebelum ini, kami tinggal di berek polis
Seksyen 20.

"Malah, sepanjang perjalanan, kami sempat berbual mengenai persiapan
menduduki rumah baru itu dan malam ini (tadi), kami sepatutnya pulang ke
rumah keluarga saya di Bota Kanan, Perak, sebelum suami kembali bertugas
pada 7 Disember ini," katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Aziz Jufri, 51, berkata anak kedua
daripada tiga beradik itu pulang ke Felda berkenaan pada malam Sabtu lalu
bagi menghabiskan cuti termasuk berkelah di Tanjung Balau di sini, serta
memancing bersama keluarganya.

Katanya, ketika cuti Aidilfitri lalu, arwah dan keluarganya tidak sempat
berkunjung ke Tanjung Balau dan mereka ke kawasan perkelahan itu pada Sabtu
lalu.

"Pada Ahad pula, arwah keluar memancing di Tanjung Sedili bersama abang dan
isterinya. Manakala Isnin, arwah dan keluarganya bercadang memancing di
Sungai Kota Tinggi, tetapi saya tidak benarkan kerana bimbang dia keletihan
kerana mahu pulang ke Shah Alam.

"Bagaimanapun, arwah seperti merajuk dan memberitahu akan balik terus ke
Shah Alam sebelum bertolak dari rumah kira-kira jam 3.30 petang. Dia sempat
menghantar ibunya, Zaiton Mokat, 49, yang bekerja kilang sebelum memancing
bersama keluarganya di Sungai Kota Tinggi," katanya.

Abdul Aziz berkata, selepas selesai memancing, arwah dan keluarganya singgah
di rumah adik bongsunya di Taman Saujana, Kota Tinggi, kira-kira jam 12.30
tengah malam sebelum bertolak pulang ke Shah Alam kira-kira jam 2.30 pagi.

Jenazah Allahyarham sebelum itu dikafan dan disolatkan di surau IPK Negeri
Sembilan sebelum dibawa ke Kota Tinggi untuk dikebumikan. Turut hadir, Ketua
Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Negeri Sembilan,
Datuk Osman Salleh.

*Baca lain-lain INFO - KLIK DISINI<http://www.biovco.com/info-kesihatan.php>
*


[Non-text portions of this message have been removed]

Kirim email ke