(SABTU HARI KUNING! / YELLOW SATURDAYS!)

DPPKT
BLOGGER CUCUMATKILAU WANTED !!!                          Pagi semalam, seorang 
blogger telah ditahan Polis untuk siasatan terhadap tulisan-tulisan beliau 
didalam blognya. Cucu Mat Kilau ini menjadi mangsa terbaru selepas tragedi 
Hindraf dan Bersih. Rumah beliau telah digeledah oleh sekumpulan gestapo 
berperangai KGB yang mengaku sebagai anggota Polis Raja Di Malaysia 
ini..ikutilah detik-detik penahanan yang ditulis beliau sendiri…


 Cucu mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua 
pihak yang memberi sokongan ketika ditahan polis semalam (24.12.2007). Banyak 
laporan yang diterima bertanyakan tentang kejadian tersebut. Sesungguhnya 
inilah dugaan yang paling besar dihadapi oleh cucumatkilau. Sebelum ini Cucu 
pernah ditahan. Namun, keadaannya agak berbeza kali ini. Kejadian yang menimpa 
Cucu hari ini sesungguhnya adalah yang paling pahit untuk dikenang. Mujurlah 
Cucu tidak ditahan terus untuk didakwa oleh pihak berkenaan. Sebenarnya, 
penahanan ini menguatkan lagi semangat perjuangan Cucu.


 Kejadian penangkapan Cucu berlaku sekitar jam 10.00 pagi. Cucu sebenarnya baru 
pulang dari Dungun Trengganu setelah menghantar adik Cucu memasuki UITM 
Trengganu. Sekitar jam 3 pagi Cucu bertolak balik, cadangan asal untuk bertemu 
dengan Saudara Razali Alias di Paka terpaksa ditangguhkan kerana Cucu agak 
keletihan. Cucu sampai dirumah sekitar jam 6 pagi. Kerana keletihan Cucu 
tertidur dan tidak sedarkan diri. Tiba-tiba, sekitar jam 10.00 Cucu dikejutkan 
dengan satu jeritan yang berulang kali menyuruh agar pintu dibuka. Terkejut 
dengan jeritan tersebut, Cucu cuba berlari untuk membuka pintu. Namun belum 
sempat ke tingkat bawah, kedengaran mereka (Polis) menendang dan memecahkan 
pintu dengan kuat. Dengan memakai kasut mereka telah naik ke tingkat atas, 
ketika itu Cucu baru hendak turun tangga untuk membuka pintu. Namun mereka 
dengan rakusnya telah menangkap, memegang dan menggari tangan Cucu tanpa 
berkata-kata. Ada anggota yang seolah-olah cuba menghalakan pistol kepada Cucu.
 Kemudian mereka mengatakan Cucu akan ditahan. Mujurlar mereka mengeluarkan 
gari, yang bermakna mereka polis. Bayangkan sekiranya mereka ada penjenayah 
upahan yang bertujuan untuk mencederakan Cucu. Sudah pasti cucumatkilau hanya 
akan tinggal nama sahaja agaknya. Tambahan pula lagak mereka seperti samseng 
dan hanya berpakaian preman ketika kejadian.


 Cucu agak panik dan keliru, atas alasan apa ditahan?. Berkali-kali bertanya, 
mereka kemudian menolak dan menyuruh Cucu menutup mulut dan mendiamkan diri. 
Cucu hanya melihat beberapa orang pegawai polis (sekitar 5 orang) mengeladah 
bilik Cucu. Tiga buah telefon bimbit Cucu dan sebuah laptop telah dirampas oleh 
mereka. Beg duit dan kad pengenalan Cucu juga dirampas. Cucu bertanya lagi, 
atas alasan apa mereka menggeladah rumah Cucu. Apakah mereka mempunyai waran 
geladah. Mereka dengan bengis mengatakan mereka adalah polis dan berhak untuk 
melakukan apa sahaja. Kesemua mereka terus menggeladah. Cucu tidak dibenarkan 
memakai pakaian ketika itu. Mereka membiarkan Cucu hanya memakai “Seluar 
Dalam” sambil tangan bergari dan melihat apa sahaja yang ingin mereka 
lakukan. Mereka juga sewenangnya melihat dan memeriksa bahagian sulit Cucu. 
Cucu merasa amat malu kerana terdapat juga seorang daripada mereka anggota 
polis wanita. Aksi tersebut terus berlaku disamping sebahagian yang
 lain terus menggeladah keseluruhan rumah Cucu.
   
 
 Keadaan pintu hadapan rumah Cucu selepas dipecahkan, begitu menyedihkan sekali 
akibat tendangan ganas anggota polis terbabit. Bila ditanya..siapa yang nak 
ganti pintu tu? Mereka menjawab dengan kasar, “Ini tugas polis, awak gantilah 
sendiri semua kerosakan”. Cucu kemudian diarahkan duduk dan dipaksa mengaku 
menjadi penagih dan pengedar dadah. Mereka mengatakan, mendapat maklumat ramai 
penagih dadah membeli dadah daripada Cucu. Cucu berkali-kali menyatakan tidak 
terlibat dan mengatakan mungkin mereka tersalah orang atau Cucu dianiya. Alasan 
tersebut tidak diendahkan, mereka bahkan terus memaksa Cucu mengaku jika tidak 
mahu diambil tindakan yang berat dan memasukkan Cucu ke dalam lokap.


 Terdapat juga beberapa orang dikalangan mereka memeriksa bahagian syiling 
rumah, dalam kenderaan dan lain-lain tempat yang dipercayai menyimpan sesuatu 
yang mencurigakan. Mungkin mencari barang terbabit agaknya. Tidak berapa lama 
kemudian, Cucu dibawa turun ke tingkat bawah rumah Cucu, dibenarkan memakai 
seluar jeans dalam keadaan yang sukar akibat tangan Cucu masih bergari. Di 
tingkat bawah terdapat tiga orang lagi sedang menggeladah rumah Cucu. Ini 
bermakna, kesemua mereka terdapat lapan orang anggota polis (7 lelaki dan 1 
wanita). Cucu hanya menyaksikan kelibat mereka dalam keadaan sedih melihat 
pintu rumah Cucu telah rosak dan pecah akibat serbuan yang dibuat. Teringat 
Cucu diawal penangkapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, persitiwa yang sama bahkan 
lebih dasyat telah berlaku. Mungkin ini dugaan yang menimpa agaknya.


 Cucu masih ingat sebelum ini, beberapa orang Special Branch pernah cuba 
menahan dan mengganggu Cucu akibat tulisan Cucu tentang “DSP Borhan Daud 
Jatuh Payung Terjun”. dan mungkin kali ini akibat daripada tulisan panas Cucu 
tentang “Malaysia bakal ke arah negara polis”. Lantaran itu mereka 
melakukan operasi tersebut yang dilihat begitu agreasif sekali. Cucu kemudian 
dibawa keluar dengan tidak berbaju, tangan bergari dan hanya berseluar jeans. 
Mujurlah terdapat salah seorang anggota polis terbabit mencapai sehelai baju 
diampaian dan menutup tubuh badan Cucu ketika itu. Kelibat Cucu saling tak 
tumpah seperti seorang banduan yang bersalah dan bakal dihukum dipenjara. 
Jiran-jiran hanya menyaksikan kejadian tersebut, dan mungkin kesemua mereka 
saling tertanya-tanya apakah yang berlaku sebenarnya. Menurut seorang jiran 
Cucu, mereka datang berlapan, kemudian dua orang daripada mereka telah memanjat 
pagar rumah Cucu dan seterusnya memecahkan pintu rumah. Bunyi kedengaran
 terjahan pintu tersebut begitu jelas dan memeranjatkan sebahagian besar dari 
kalangan jiran-jiran Cucu.
    Keadaan Bilik berselerak selepas digeladah oleh lima orang anggota polis 
berkenaan Cucu pasrah dengan apa yang berlaku, sekitar jam 11 pagi, Cucu dibawa 
menaiki sebuah van polis yang menunggu kira-kira dalam jarak 100 meter daripada 
rumah Cucu. Dalam perjalanan mereka menggeluarkan kata-kata yang memperli Cucu, 
seolah-olah Cucu bakal didakwa dengan hukuman yang berat yang kononnya Cucu 
adalah salah seorang pengedar dadah yang amat dikehendaki. Cucu bengong dengan 
apa yang berlaku. Ketika dalam perjalanan, mereka meminta Cucu memberi 
kerjasama menyatakan diapakah lagi rakan-rakan Cucu yang terlibat dengan gejala 
dadah. Akibat panik Cucu membawa mereka ke sebuah rumah yang letaknya hampir 8 
km dari rumah Cucu. Namun mereka terlalu kecewa apabila mangsa yang dicari 
tidak ditemui. Sebaliknya rumah tersebut telah didiami oleh pasangan kelamin. 
Cucu dituduh menipu mereka lalu ditampar hanya kerana cuba menjawab soalan yang 
ditanya oleh salah seorang daripada mereka. Cucu
 masih ingat anggota polis terbabit kemungkinan besar berpangkat Lans Kopral 
(112875). Cucu kemudian mendiamkan diri sehinggalah tiba di Ibu Pejabat Polis 
Daerah Kuantan pada kira-kira jam 12 tengahari.


 Apa yang amat menghairankan,ketika dibawa ke balai polis mereka semua banyak 
berbicara pasal senario semasa. Kenaikan barang, dividen ASB dan banyak lagi. 
Mereka seolah-olah juga tidak suka dengan keadaan semasa hari ini. Salah 
seorang daripada mereka secara jelas mengatakan di zaman Pak Lah, Dividen ASB 
senantiasa diparas minima. Tambahan pula kini ia dipimpin oleh bekas KSN Tan 
Sri Ahmad Sarji. Lalu mereka mengatakan adalah lebih baik pada zaman Tan Sri 
Khalid Ibrahim dulu, dividen melepasi paras 10%. Namun katanya, kini Khalid 
telah menyerta Keadilan. Mereka juga mengutuk ahli parlimen BN yang 
mempertikaikan penyiasatan polis terhadap kes Nurin Jazlin yang sehingga kini 
masih belum berjaya menjejaki penjenayah tersebut. Kata mereka ahli parlimen 
BN/UMNO belajar tak tinggi, hanya dengan sokongan rakyat yang tak tau apa-apa 
dapatlah mereka jadi YB. Sebab tu otak dungu…Macam-macam lagi yang mereka 
bincangkan. Namun, sepanjang perjalanan Cucu tidak sedikitpun menyampuk
 perbualan mereka. Cucu khuatir mereka hanya provok Cucu untuk melihat 
pendirian Cucu sebenarnya


 Disana, Cucu dibawa menjalani ujian air kencing (Urine test) untuk mengetahui 
sama ada Cucu ada mengambil dadah atau pun tidak. Cucu masih bergari ketika 
ujian diambil. Kelihatan beberapa orang anggota polis yang sedang menjalankan 
tugas memandang sinis terhadap Cucu. Bagi mereka Cucu mungkin seorang 
penjenayah yang amat dikehendaki. sekitar jam 12.30 tengahari seorang daripada 
mereka telah menyuruh Cucu masuk ke dalam bilik pegawai dan mencangkung ditepi 
dinding sambil mereka terus mengambil keterangan. Kemudian pegawai mereka telah 
berjumpa Cucu dan mengatakan Cucu bakal dibebaskan kerana ujian air kencing 
Cucu “Negatif”. Mereka menyerahkan kembali semua barangan Cucu seperti 
telefon bimbit, beg duit, kad penganalan dan lain-lain lagi.
  
 Kenderaan juga turut digeladah dan dirosakkan oleh mereka dengan 
sewenang-wenangnya Cucu hairan dengan apa yang berlaku. Tindakan yang dilakukan 
ini jelas sekali untuk menakut-nakutkan Cucu. Kemungkinan besar terdapat arahan 
pihak-pihak tertentu yang mahukan Cucu ditahan dan digertak lalu menghantar 
orang-orangnya untuk mencerobohi rumah Cucu. Mujurlah ketika kejadian isteri 
dan anak-anak Cucu masih bercuti di Pontian, Johor. Bayangkan ketika itu mereka 
ada bersama. Sudah pasti mereka akan terkejut melihat apa yang berlaku. 
Sesungguhnya kejadian ini telah membuatkan Cucu lebih bersemangat untuk terus 
berjuang. Mereka mencari dan mereka-reka alasan untuk menakut-nakutkan Cucu. 
Namun begitu, Cucu tetap tabah mengharungi perjuangan dan apa yang berlaku. 
Bagi Cucu kejadian yang berlaku kepada Cucu itu adalah sebahagian kecil 
daripada perjuangan. Terdapat rakan-rakan lain yang lebih menderita akibat 
diperlakukan seperti haiwan oleh mereka. Bahkan ada yang ditahan ISA sehingga
 ke hari ini. Moral dan semangat juang Cucu semakin tinggi setelah melihat 
kesemua anggota polis yang berpakaian preman itu adalah berbangsa Melayu dan 
beragama Islam. Inilah sikap mereka sebenarnya dalam melaksanakan tanggungjawab 
bagi menjaga rakyat.


 Cucu mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan yang telah datang dan 
membantu Cucu seperti Puan Rozaini, Mr.Ram, Mrs. Vanitha dari Parti Keadilan 
Rakyat Bahagian Kuantan. Juga kepada Puan Fuziah Salleh, Sdr. Razali Alias (PKR 
Dungun), Sdr. Nizam (PKR Maran), Sdr Zeck dan Sdr Ahmad (PKR Kuantan) juga 
kepada blogger-blogger yang telah menghubungi dan simpati dengan nasib Cucu 
terutamanya Datuk Ruhanie Ahmad (Kuda Kepang) dan ramai lagi. Juga kepada 
barisan peguam yang turut memberi panduan terhadap tindakan yang bakal diambil 
selepas ini. Kemungkinan besar Cucu akan membuat laporan polis serta sidang 
media atas kejadian ini atas beberapa sebab musabab yang tidak sepatutnya 
berlaku. Kejadian tersebut benar-benar menjatuhkan maruah dan kreadibiliti 
Cucu. Apapun tunggu dan lihat selepas ini, mungkin ramai lagi bloggers yang 
akan ditahan dan digertak seperti Cucu.


 Susulan kejadian ini, jika tiada aral melintang satu laporan polis dan media 
akan dibuat dalam masa terdekat.Ini bertujuan untuk memberi pengajaran kepada 
mereka agar lebih bersikap profesional dengan orang awam pada masa yang akan 
datang. Bayangkan perkara seperti ini berlaku kepada keluarga mereka, adik 
beradik, sahabat handai dan sebagainya? Apakah pendirian mereka agaknya? Begitu 
juga dengan pembaca semua? Sanggupkah berdiam diri dalam menangani isu seperti 
ini. Kita tidak bersalah tetapi diperlakukan seperti penjenayah berbahaya !! 
Renungkan lah sendiri. Terima Kasih.


HARI SABTU PAKAI KUNING! / WEAR YELLOW ON SATURDAYS!
Lawati laman 10November di http://10nov.himpunan.info/
Lawati laman Bersih di http://bersih.org/
       
---------------------------------
Looking for last minute shopping deals?  Find them fast with Yahoo! Search.

Kirim email ke