INTISARI KITAB
Mau'izhatul Mu'minin min
"IHYA' ULUMIDDIN"
==Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali==
(Bimbingan Mu'min dari Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama)

--------------------------------------------------------------------------------

Bismillah, Walhamdulillah Wassholatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Washohbihie Waman Walaah
amma ba'du... 

Kitab Adab Pergaulan, Persaudaraan Dan Persahabatan (2/15)

Menentukan cinta kerana Allah 
  

Cinta yang hakiki yang didasarkan kerana Allah semata-mata, ialah bila anda 
mencintai seseorang bukan kerana peribadinya, malah kerana 
kelebihan-kelebihannya yang bergantung dengan keakhiratannya. Misal cinta itu 
ialah: Seseorang yang mencintai gurunya sebab menerusi guru itu ia akan 
memperolehi ilmu pengetahuan yang akan memperbaiki amalannya. Sedang tujuan 
utama dari menuntut ilmu pengetahuan dan amalan yang baik itu, ialah 
keselamatan diri di Hari Akhirat. Inilah yang dikatakan antara contoh-contoh 
cinta kerana Allah semata-mata. 



Misal yang lain ialah: Seorang guru mencintai muridnya, sebab kepadanya guru 
itu dapat menurunkan ilmu pengetahuan dan dengan sebab itu pula guru itu 
memperoleh pangkat seorang pendidik atau guru. Orang ini juga, dikira cintanya 
kerana Allah semata-mata. Begitu pula orang yang bersedekah dengan harta 
bendanya kerana menuntut keredhaan Allah, atau orang yang suka mengundang 
tetamu di rumahnya, lalu menghidangkan berbagai-bagai makanan yang lazat, 
semata-mata kerana ingin mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala. Kemudian 
lahirlah dalam diri orang itu perasaan sayang dan kasih terhadap tukang 
masaknya, kerana kemahirannya untuk menyediakan makanan-makanan yang lazat; 
cinta ini juga dikira sebagai cinta kerana Allah. 



Misal lain lagi ialah misal seorang yang suka menyampaikan sedekah kepada 
orang-orang yang memerlukannya, maka perilakunya itu dikira sebagai cinta 
kerana Allah juga. Ataupun orang yang mencintai pekerja yang membantu mencuci 
pakaiannya, membersihkan rumahnya, dan memasak makanannya, yang mana dengan 
terlepasnya ia dari tugas-tugas ini, senanglah ia dapat menuntut ilmu atau 
membuat pekerjaan yang lain, sedang tujuan utama dari mempekerjakan orang itu 
semata-mata kerana melapangkan diri untuk memperbanyakkan ibadat, maka ia juga 
terkira pencinta kerana Allah. 



Begitu juga ia mencintai seorang kerana orang itu mencukupkan keperluannya dari 
wang dan pakaian, makanan dan rumah dan lain-lain keperluan yang mesti untuk 
kehidupan di dunia, sedang maksud orang yang menderma itu ialah supaya ia dapat 
melapangkan diri untuk menuntut ilmu pengetahuan yang berguna, sambil melakukan 
amalan-amalan yang mendekatkan diri kepada Allah Ta'ala maka cintanya itu 
dikira kerana Allah Ta'ala jua. 



Segolongan para Salaf Saleh yang terdahulu, sering segala keperluannya 
ditanggung oleh hartawan-hartawan yang murah hati. Jadi dalam hal ini, 
kedua-dua pihak tergolong pencinta-pencinta yang mencari keredhaan Allah 
Ta'ala. 



Juga, jika seseorang itu menikahi seorang wanita yang salehah untuk melindungi 
dari godaan syaitan, serta memelihara agamanya, atau untuk menginginkan seorang 
anak yang saleh dari pernikahan itu, ataupun dia mencintai isterinya kerana 
menerusinya ia dapat sampai kepada tujuan-tujuan yang suci, seperti misal-misal 
yang disebutkan di atas tadi, maka ia adalah seorang pencinta kerana Allah 
Ta'ala. 



Demikian pula, jika seseorang itu dalam hatinya tersemat cinta kerana Allah dan 
dunia, seperti seorang yang mencintai guru yang mendidiknya, lalu ia pun 
mencukupkan segala keperluan guru itu di dunia dengan wang dan sebagainya, maka 
ia dikira orang yang mencintai kerana Allah. 



Seterusnya, bukanlah dari syarat-syarat cinta kerna Allah Ta'ala itu, ia mesti 
tinggalkan semua nasibnya dari harta kekayaan dunia sama sekali, sebab para 
Nabi salawatullahi alaihim sering menyeru kita berdoa, agar Allah s.w.t. 
mencukupkan kedua-dua keperluan dunia dan akhirat. 



  "Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di 
akhirat."            (al-Baqarah: 201) 

Juga dalam doa yang ma'tsur berbunyi: 

  

  "Ya Allah! Ya Tuhanku! Sesungguhnya aku memohon daripadaMu kerahmatan yang 
dengannya aku boleh memperoleh pangkat kehormatanMu di dunia dan di akhirat." 

Bila kecintaan seseorang kepada Allah telah menjadi kukuh, niscaya akan muncul 
wataknya perasaan suka membantu dan menolong serta mengutamakan orang lain dari 
diri sendiri, bersedia untuk membelanjakan segala yang dimilikinya dari harta, 
jiwa dan nasihat yang baik. 



Dalam hal ini manusia adalah berbeda menurut perbedaan darjat kecintaannya 
terhadap Allah azzawajalla. Ia akan dicuba dalam kecintaannya itu dengan 
berbagai-bagai percubaan yang bertalian dengan kepentingan-kepentingan dirinya, 
sehingga ada kalanya semua kepentingan itu sudah tidak ada yang tinggal lagi, 
semuanya telah dibelanjakan bagi kepentingan orang yang dicintainya itu, 
Terkadang-kadang ditentukan sebahagian untuk diri sendiri, manakala yang lain 
diberikan kepada orang-orang yang dicintainya. 



Tidak kurang juga, orang yang membahagikan harta kekayaannya kepada dua, satu 
bahagian untuk dirinya dan satu bahagian lagi untuk kekasihnya, ada yang 
memberikan sepertiga dari harta kekayaan, dan ada sepersepuluh dan seterusnya. 
Banyak atau sedikit wang yang dibelanjakan itu bergantung pada rasa cintanya 
terhadap orang itu, sebab tidak dapat ditentukan darjat cinta itu, melainkan 
dengan kadar harta yang dibelanjakan kepada para kekasihnya. Maka barangsiapa 
hatinya telah dipenuhi oleh rasa cinta kerana Allah, tidak ada benda-benda lain 
yang masih dicintakan lagi, selain dari cintanya kepada Allah semata-mata. 
Ketika itu tidak akan meninggalkan sesuatu benda pun dari harta kekayaannya, 
melainkan semuanya dibelanjakan kerana Allah s.w.t. 



Contoh dalam misal ini, ialah Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq (Khalifah Islam 
pertama), beliau telah menyerahkan puterinya Aisyah (untuk dikahwinkan kepada 
Rasulullah s.a.w. - pent), sedangkan aisyah itu cahaya matanya kemudian 
dibelanjakan semua harta bendanya kerana Allah s.w.t. 



Dengan itu disimpulkan, bahwasanya sesiapa yang mencintai seorang alim atau' 
abid, ataupun dia mencintai penuntut ilmu pengetahuan atau orang yang sepanjang 
masanya beribadat atau membuat kebaikan, maka yakinlah bahawasanya ia 
mencintainya itu kerana Allah dan untuk Allah dan tentulah ia akan mendapat 
ganjaran pahala dan kurnia dari Allah Ta'ala menurut kadar kekuatan cintanya 
itu. 

  

(Bersambung)



[Non-text portions of this message have been removed]



------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Something is new at Yahoo! Groups.  Check out the enhanced email design.
http://us.click.yahoo.com/SISQkA/gOaOAA/yQLSAA/.DlolB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

______________________________________________________________________
http://www.numesir.org untuk informasi tentang Cabang Istimewa NU Mesir dan 
KMNU2000, atau info-info seputar Cairo dan Timur Tengah.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Kami berharap Anda selalu bersama kami, tapi jika karena suatu hal Anda harus 
meninggalkan forum ini silakan kirim email ke: 
[EMAIL PROTECTED] 
 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/kmnu2000/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke