Rahsia Talang
Oleh : Pok Mud's : PANCING Ogos 1999

Bentuk Dan Ciri Fizikal

Ikan permaisuri menurut panggilan nama Inggeris (Queenfish) mungkin kerana 
raut badannya yang putih bersih serta ramping. Terdapat 4 spesies talang 
yang diketahui berada di Semenanjung berdasarkan kepada saiz serta corak 
warna badannya.

Talang Raya (Scromberoides tala atau Deep Queenfish) merupakan spesies yang 
terbesar dan saya pernah memperolehi spesies ini hampir seberat 12 kg di 
perairan Pulau Sembilan tidak lama dahulu. Talang raya mempunyai kombinasi 
warna emas di bahagian bawah perut berhampiran sirip pelvik dan sirip 
dubur. Jenis yang kecil dipanggil Seliat atau Talang Padi yang purata 
saiznya sekitar I hingga 4 kg.

Talang mempunyai barisan gigi halus tetapi jarang memutuskan perambut 
tangsi kerana ia hanya tajam di bahagian hujungnya sahaja. Mulutnya leper 
membuka luas dan bahagian ekor agak keras. Sisik yang tajam mampu melukakan 
kulit pemancing yang memegangnya ketika ia menggelupur di lantai bot. Sebab 
itu ramai yang memilih untuk menghentam kepalanya agar ia cepat lemah dan 
mudah disimpan.

Badan talang biasanya mempunyai tompok atau bintik hitam, bulat dan 
setengah bujur berdekatan garis deria. Sirip duburnya pula bersambung 
hingga ke ekor yang bercabang tirus memanjang sesuai dengan sifatnya yang 
kuat berenang. Kulit talang agak liat dan mata kail yang kurang tajam tidak 
mampu melukakan kulit spesies bermulut 'masam' ini. Kerana kegagahan dan 
semangat juang yang tinggi serta daya lompatan ke permukaan air yang cantik 
dan menarik, ia tidak melarikan tangsi ke kawasan reba atau batu karang 
(hanya berlegar di permukaan air). Dengan ini, talang boleh dikelaskan 
sebagai salah satu, game fish yang memadai dengan peralatan aksi ringan.

Habitat Dan Sifat

Talang mudah dijumpai di persisiran pantai, muara sungai, sekitar pulau dan 
di dalam lingkungan 5 hingga 50 km dari pantai. Namun kebanyakan talang 
gemar persisiran pantai yang jernih serta tidak tercemar airnya dari 
sisa-sisa bahan kimia dan toksik. Talang pada amnya gemar merayau 
mundar-mandir di pantai berpasir dan berbatu karang terutama yang kaya 
dengan hidupan marin kecil atau mangsa yang terdiri dari anak-anak ikan 
pelagik sebagai diet utamanya.

Talang mempunyai kelajuan serta kekuatan berenang sesuai dengan tabiatnya 
yang suka menghambur ketika mengejar anak-anak ikan. Jadi ia tidak pasif 
dan gemar mengendap mangsa sebelum menyerang seperti kerapu, siakap dan 
jenahak. Oleh sebab itu spesies yang berwarna putih dengan tompok hitam 
kecil di badan ini boleh dikatakan sebagai ikan yang tak reti duduk diam. 
la boleh dianggap sebagai pemburu makanan yang pantas (Predator). Jika anda 
pernah menyelam atau pernah melihat spesies ini di dalam air, anda akan 
melihatnya berenang melintasi satu-satu kawasan dengan laju dan sukar untuk 
mendekatinya.

Talang adalah spesies yang gemar bermain di bawah permukaan dan pertengahan 
air (ada juga yang menyebutnya di atas air). Namun ia juga mencari makanan 
di kawasan dasar pantai yang airnya agak cetek untuk mencari udang serta 
anak ketam sebagai diet tambahan.

Peralatan

Untuk pemancing yang gemar kepada pertarungan sengit lebih dari harapan 
untuk memuatkan ia dalam kotak ais, disyorkan guna peralatan aksi ringan 
dengan kekuatan tali antara 10 hingga 20 paun. Saya lebih gemar kepada tali 
Berkley Gold Tournament kekuatan 16 paun dipadankan dengan Shimano 3500 
Baitrunner atau Abu Ambassador 6000 dengan joran aksi ringan yang diubah 
suai sendiri untuk menahan asakan talang yang kuat berenang dan 
mengenjut-ngenjut ketika melawan. Begitupun, apa-apa saja joran dan saiz 
kekili boleh digunakan asalkan sistem tegangan dan tali sesuai dipadankan 
agar lebih serasi dan seimbang.

Sistem tegangan (drag) perlu baik agar mudah dilaraskan pada kekuatan yang 
sesuai bergantung kepada saiz talang yang dijinakkan serta untuk 
membenarkan tali keluar dengan lancar pada tahap yang telah ditentukan. Ini 
kerana pada permulaan tarikan, talang cuba melarikan tangsi buat seketika. 
Sistem tegangan yang telah dilonggarkan sedikit membenarkan tangsi keluar 
ketika ditarik, sebelum diketatkan sedikit semasa membalas untuk menujah 
mata kail pada bahagian mulutnya. Umumnya adalah sukar untuk menentukan 
jenis dan jenama kekili yang sesuai kerana maklumlah setiap pemancing 
mempunyai kemampuan (kuasa membeli) berbeza mengikut skala pendapatan dan 
ramai juga lebih yakin dengan jenama pilihan masing-masing.

Mata kail yang digunakan biarlah tajam serta kuat, tidak mudah patah atau 
lurus ketika diasak oleh talang yang menggeleng ke kiri dan kanan untuk 
melepaskan diri di saat-saat akhir. Saya gemar menggunakan mata kail 
Garnakatsu bersaiz sederhana di antara no. I hingga 4 atau yang lebih kecil 
kerana talang mempunyai mulut besar yang terbuka luas ketika menerkam 
mangsa. Jenis dan jenama mata kail ikut suka anda kerana lain pemancing 
lain citarasa dan kepercayaan terhadap mata kail yang digunakan. Begitupun 
tidak salah mencuba apa saja jenama kekili, mata kail dan, tangsi. Buatlah 
perbandingan sendiri dan tidak perlu lagi dengan iklan dari orang lain. 
Bagi saya pilihan terletak di tangan pemancing dan saya cuma mengesyorkan saja.

Golongan berpendapatan rendah tidak perlu jenama yang mahal, cari yang 
murah dan terbaik buat diri anda. Pemberat atau batu ladung tidak perlu 
besar atau terlalu berat, hanya sekadar untuk melabuhkan umpan pada 
pertengahan air sebelum membenarkan arus menolak sedikit ke permukaan air. 
Lebih kecil lebih mudah 'melayangkan' umpan di bawah air. Anda boleh 
memancing talang tanpa pemberat sekiranya arus tidak keterlaluan seperti 
pada waktu air mati.

Teknik Dan Umpan

Apabila kita dah tahu tentang tabiat dan sifat haiwan ini yang gemar 
berlegar di permukaan air jadi teknik yang terbaik adalah dengan melabuhkan 
umpan dari permukaan dan pertengahan air. Umpan terbaik untuk talang adalah 
bilis kasar dan kalau dapat yang hidup, lagi besar peluangnya. Bilis adalah 
salah satu spesies ikan pelagik yang berkumpulan dan hidup di permukaan 
air. Bukan saja talang malah pemburu mangsa yang lain juga gemarkan bilis. 
Wana jernih serta isi yang lembut membuatkan ikan talang tidak begitu 
cerewet jika dihidangkan dengan bilis.

Bilis mati perlu dicangkukkan dengan betul pada mata kail agar ia kelihatan 
hidup dibuai arus. Jika bilis kecil digunakan, cangkukkan pada mata hingga 
memenuhi mata kail yang digunakan. Selain bilis; udang, hirisan kembong, 
sotong dan ikan petagik boleh digunakan sebagai altenatif atau kawasan 
tertentu sesuai dengan jenis sumber diet utama yang terdapat di sekitar.

Pancing secara menunda, gewang, popper dan pancing layang juga boleh 
diamalkan kerana sesuai dengan talang yang meronda di atas air. Untuk 
teknik ini, anda perlu rajin membuat balingan, bijak mengintai kehadiran 
talang serta keadaan laut dan sekitar. Perambut untuk memancing talang 
perlu panjang dan paling kurang dua depa atau lima kaki ke atas. Perambut 
tangsi disyorkan dengan kekuatan 30 hingga 60 paun. Anda tidak perlu risau 
menggunakan perambut tangsi kerana seperti yang dikatakan, talang tidak 
mampu memutuskan perambut tersebut. Perambut tangsi lebih efektif dari 
perambut dawai. Lebih panjang lebih sesuai untuk 'menghidupkan' umpan mati 
dan peluang lebih besar.

Sesetengah ikan tidak berminat dengan umpan yang berdekatan dengan pemberat 
atau cili. Saya belum dapat pastikan lagi rasional di sebalik teori ini, 
namun begitu sesetengah pemancing menyatakan ikan takut pada logam atau 
mengetahui umpan tersebut adalah perangkap. Jadi dengan menjarakkan lagi 
umpan dari sambungan cili dan pemberat boleh menipu ikan supaya berminat 
dengan umpan yang dilabuhkan.

Turunkan umpan secara perlahan-lahan hingga sampai (agak-agak) di 
pertengahan air, tunggu dan biarkan ia hanyut sedikit ke atas. Naikkan 
umpan sedikit demi sedikit selang beberapa minit dan karau kembali tangsi 
apabila ia menjangkau di perrnukaan air untuk memeriksa umpan. Teknik ini 
memastikan umpan dilabuhkan pada satu-satu kawasan yang berlainan (posisi 
di dalam air) sehinggalah kehadiran talang dirasai. Dengan ini, pemancing 
boleh mengagak talang sedang menyainbar di permukaan atau di pertengahan 
air sebelum memutuskan kedudukan yang tepat di mana talang berkeliaran.

Kuali

Talang jarang dijual di pasar sebagai ikan basah atau mentah. la kurang 
permintaan dan kurang popular seperti ikan karang lain kerana isinya agak 
tawar dan nipis. Tapi ramai juga yang memilih untuk menyajikan talang 
dengan ala masakan asam pedas, tumis pedas atau sambal cili pedas untuk 
spesies yang segar (tidak bercampur dengan ais) kerana ketika ini rasa 
'ummpnya' belum lagi tercemar. Lagi cepat dimasak lagi sedap dimakan kata 
orang! Begitupun talang tetap mempunyai pemintaan untuk dijadikan ikan 
kering atau ikan masin dan banyak dijual di pasar dan kawasan tertentu.

Harga basah sekitar RM 3 hingga RM5 dan naik berlipat ganda apabila siap 
diproses sebagai ikan kering. Jika digulai nenas campur tulang ikan talang 
kering tambahan pula adanya ulam tempatan, pasti ramai yang tidak menolak 
apabila dihidangkan. Bila tanya kaki pancing mana sedap pancing talang ke 
atau gulai ikan talang masin? Yang pasti, tidak sedapnya ialah siang ikan 
sambil berjemur menunggu ia kering sepenuhnya dan dari dihinggapi oleh 
lalat! Ataupun berhujan panas menunggu talang yang malas nak melayan 
pemancing!

Kirim email ke