INTISARI KITAB
Mau'izhatul Mu'minin min
"IHYA' ULUMIDDIN"
==Hujjatul Islam Al Imam Al Ghazali==
(Bimbingan Mu'min dari Menghidupkan Ilmu-ilmu Agama)

Bismillah, Walhamdulillah Wassholatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Washohbihie Waman Walaah
amma ba'du...
 
KITAB ADAB PERGAULAN, PERSAUDARAAN DAN PERSAHABATAN (6/15)
 
Hak persaudaraan dan persahabatan
       
        Ketahuilah bahwasanya saudaramu itu mempunyai bermacam-macam hak iaitu:
      (1)               Hak di bidang harta
      (2)               Hak memberikan bantuan dengan jiwa dan raga.
      (3)               Hak memelihara lidah dan hati
      (4)               Hak memelihara ucapan
      (5)               Hak pengampunan
      (6)               Hak mendoakan
      (7)               Hak menepati janji dan ikhlas diri
      (8)               Hak memberi kemudahan, meninggalkan bersusah payah atau
      menyusahkan.
       
      Hak-hak saudara ini berjumlah delapan kesemuanya. Berikut keterangan satu
      persatu:
       

(3)      HAK MEMELIHARA LIDAH
       
      Dalam menunaikan hak sahabat dalam memelihara lidah ialah dengan berdiam
      diri suatu kala dan berbicara di kala yang lain.
      Cara berdiam diri itu ialah tiada menyebut-nyebut keburukan-keburukan
      kawan di masa dia hadir di hadapan kita ataupun dia tiada. Malah jika kita
      tahu ada keburukannya, kita buat-buat tidak tahu saja, dan kalau ada orang
      yang menyebutnya, kita harus pura-pura tidak tahu, dan jangan sampai kita
      menambah-nambah pula atau membuka pintu perdebatan mengenai keburukan
      kawan itu. Dan jangan pula kita merisik-risik tentang kekurangannya atau
      menungkit-ungkit perihalnya.

      Andaikata kita lihat ia sedang menuju ke suatu usaha, atau sedang
      menunaikan sesuatu keperluan, maka janganlah kita bertanyakan tentang
      maksud dari usahanya itu, dari mana puncanya dan datangnya. Mungkin sekali
      dia tidak ingin memberitahu kita tentang rahasia perusahaannya itu,
      sehingga ia terpaksa berbohong kerananya.
      
      Apabila diberitahukan kepada kita sesuatu rahasia, maka hendaklah kita
      menyimpannya baik-baik, jangan sampai kita bocorkan rahasia itu kepada
      sesiapa pun, meskipun kepada salah seorang sahabat yang paling rapat
      dengannya. Rahasia itu mestilah disimpan baik-baik, walaupun sesudah itu
      berlaku pergeseran atau perselisihan-faham antaranya dengan kita, namun
      rahasia mestilah dijaga. Jika kita bocorkan juga, maka itu adalah sikap
      orang yang tercela tabiatnya dan kotor batinya.
      
      Seterusnya, hendaklah kita tidak mencela rakan-rakan yang disayanginya,
      begitu pula dengan isteri dan anak-anaknya. Andaikata kita mengetahui ada
      orang lain yang mencacinya, maka janganlah pula kita menyampaikan
      caci-cela itu kepadanya. Kerana ada kata pepatah: Orang mencacimu itu
      ialah orang yang menyampaikan cacian orang lain, Sebaik-baiknya, bila
      mendengar ada orang yang memuji sahabat kita, kita sampaikan kepadanya,
      kerana yang demikian itu akan menimbulkan rasa gembira dalam hatinya, dan
      dia pula akan berterima kasih kepada kita kerana kita sampaikan berita
      itu, kemudian itu akan menimbulkan rasa gembira dalam hatinya, dan dia
      pula akan berterima kasih kepada kita kerana kita sampaikan berita itu,
      kemudian dia akan merasa senang dengan orang yang memujinya itu. Menyimpan
      berita itu, samalah seperti orang yang busuk hati dan hasad.
      
      Pendek kata, hendaklah kita tiada menyebut-nyebut kata-kata yang boleh
      menimbulkan kemarahan atau perasaan benci dalam hatinya, melainkan bila
      wajib kita berkata terus terang kepadanya dan tidak ada jalan lain lagi
      untuk menahannya; iaitu seperti mengingatkan kepada suruhan agama yang
      mesti ditunaikan atau larangan yang patut dijauhi. Dalam hal serupa ini,
      tidak boleh berdiam diri, malah berdosa jika menutup mulut. Meskipun 
      berkata terus terang begitu akan menimbulkan kemarahannya, namun kita
      harus tiada mengendahkan yang demikian itu. Sebab itu sebenarnya serupa
      dengan melakukan suatu kebajikan bagi faedahnya, walaupun dianggap sebagai
      suatu perkara buruk pada zahirnya.
      
      Adapun menyebut-nyebut tentang keburukan-keburukannya, aib-aibnya serta
      aib-aib anak-anaknya, maka itulah yang dikatakan ghibah atau mengumpat dan
      hukumnya adalah haram atas setiap orang Muslim.

      Anda dilarang dari perkara ini ialah disebabkan dua perkara:
      
      Pertama: Cuba anda perhatikan terlebih dulu perihal diri anda sendiri.
      Kiranya anda dapati dirimu ada satu saja dari perkara yang tercela itu,
      maka sudah cukuplah bagi anda untuk menahan diri daripada mencela orang
      lain. Memadailah anda fahamkan, bahwa dia tiada berdaya untuk menahan
      dirinya dari melakukan perkara yang tercela itu, sepertimana anda juga
      tidak berkuasa untuk mengekang diri dari perkara-perkara bala yang menimpa
      atas diri sendiri. Janganlah anda memandang terlalu berat suatu kelakuan
      yang tercela daripadanya, kerana siapakah orangnya yang boleh dikatakan
      terlepas dari celaan dan cemuhan?!
      
      Kedua: Ketahuilah, kiranya anda ingin mencari kawan seorang yang bersih
      dari segala aib dan keburukan, anda akan terpaksa mengasingkan diri dari
      sekalian manusia, sedangkan anda masih belum ketemui orang itu lagi. Sebab
      tiada seorang pun di dalam dunia ini, melainkan ada padanya
      perkara-perkara yang baik dan perkara-perkara yang buruk. Kiranya
      kebaikannya itu lebih banyak dari keburukannya, maka itulah sebaik-sebaik
      kawan yang dicari dan tidak ada lebih baik dari itu.
      
      Ingatlah bahwa sifat seorang Mu’min yang mulia itu, hatinya sentiasa
      mengenang-ngenangkan kebaikan kawan agar timbul dalam hati kawan itu
      perasaan saling hormat-menghormati, sayang-menyangi dan perasaan suka
      memuliakan kawan yang lain. Sebaliknya sifat seorang munafik pula,
      pekertinya buruk, hatinya selamanya akan memendam segala macam keburukan
      orang lain dan keaibannya.
      
      Berkata Ibnul-Mubarak: Orang Mu’min itu selalu menerima keuzuran (jika ada
      orang membuat salah – pent) dan orang munafik selalu mencari-cari
      kesalahan orang lain.
      
      Al-Fudhail berkata pula: Kepahlawanan itu ialah memaafkan segala
      kekhilafan kawan-kawan.

      Oleh kerana itulah maka Rasulullah s.a.w telah bersabda:
       
      “Berlindunglah dari jiran yang jahat pekertinya; bila melihat kebaikan
      ditutupnya, dan bila melihat keburukan diheboh-hebohkannya.”
       
      Sebagaimana kita wajib memelihara lidah dari menyebut-nyebut segala
      keburukan kawan, begitu juga kita wajib memelihara hati dari segala
      sangkaan buruk terhadapnya. Sebab sangkaan buruk di dalam hati iti dikira
      ghibah juga. Dan ghibah atau mencaci di dalam hati adalah dilarang keras
      oleh agama. Dan batasannya supaya kita tidak mengira semua amalan kawan
      itu buruk, tetapi sekadar yang boleh kita kira semuanya bertujuan baik.

      Tetapi jika sudah terang, bahwa amalan itu sememangnya buruk dengan penuh
      keyakinan dan penyaksian mata, sebaik-baiknya dikira saja bahwa perkara
      itu berlaku daripadanya kerana terlalai atau terlupa, supaya kita terjauh
      dari buruk sangka, Sebab yang demikian itu akan menarik kita untuk
      mengintip rahasia orang dan mencari-mencari kesalahan orang lain. Nabi
      s.a.w. telah bersabda:
       
      “Janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, jangan mengintip-intip
      rahasia mereka, janganlah memutuskan perhubungan, jangan bermusuh-musuhan
      dan jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara.”
      
      Jadi menutup keburukan-keburukan orang lain dan pura-pura tidak nampak
      atau tidak tahu mengenai keburukannya itu, adalah sikap yang patut
      dilengkapi oleh ahli agama. Dan ketahuilah, bahwasanya tidak akan sempurna
      iman seseorang Muslim itu, selagi ia tidak mencintai diri saudaranya
      sepertimana ia mencintai dirinya sendiri. Dan sekurang-kurangnya,
      hendaklah ia memperlakukan terhadap saudaranya, sebagaimana ia berharap
      orang lain memperlakukan terhadap dirinya sendiri.

      Adapun punca segala kecuaian dalam soal menutup keaiban orang lain, atau
      suka membocorkan rahasia kawan, ialah bersumber dari penyakit yang
      terpendam di dalam hati; iaitu kedengkian (hasad). Barangsiapa yang
      menyimpan perasaan dendam di dalam hatinya terhadap seseorang Muslim, maka
      imannya masih lemah dan tumpul, dan perkara ini amat membahayakan diri
      manakala hatinya dikira busuk, tiada sesuai untuk bertemu dengan Allah
      s.w.t.

      Di antara hak-hak kawan yang lain yang harus dipelihara ialah: Tidak
      membocorkan rahasia yang dipercayakannya kepada kita. Kita boleh
      mengingkarinya, jika perkara yang dilakukannya itu tidak baik meskipun
      dengan berbohong, kerana bercakap benar itu bukanlah wajib pada semua
      keadaan. Sayugialah, sebagaimana seseorang itu harus menutup keaiban
      dirinya dan rahasia-rahasianya yang buruk, sekalipun ia terpaksa berbohong
      kerananya, maka terhadap keaiban dan rahasia saudaranya, itu dikira satu
      kedudukan dengannya; kedua-duanya laksana orang yang satu, tiada beda
      antara keduanya melainkan dalam tubuh badan saja. Inilah yang dikatakan
      persaudaraan atau persahabatan yang hakiki dan tulen.
       
      Sabda Rasulullah s.a.w.:
       
      “Barangsiapa menutup rahasia saudaranya, niscaya Allah akan menutup
      rahasianya di dunia dan di akhirat.”
       
      Sabdanya lagi:
       
      “Apabila seseorang itu menyampaikan sesuatu berita, kemudian ia berpaling
      (pergi dari situ), maka ketahuilah bahwa berita itu adalah amanat.”
       
      Lagi sabda baginda:
       
      “Majlis-majlis (perbicaraan dalam perkumpulan) adalah amanat.”
       
      “Hanyasanya dua orang yang berbicara dalam suatu majlis itu adalah amanat,
      dan tiadalah boleh bagi seseorang dari keduanya membocorkannya apa-apa
      rahasia yang tiada disenananginya.”
       
      Pernah ditanyakan kepada seseorang: Bagaimana anda memelihara rahasia?
      Jawabnya: Aku menjadi kuburnya. Sesungguhnya dada orang yang merdeka itu
      merupakan kuburnya segala rahasia.

      Pernah diceritakan, ada seseorang menyatakan rahasia hatinya pada seorang
      kawan, kemudian ia bertanya kepada kawan itu: Ingatkah anda apa yang aku
      bicarakan tadi? Jawabnya: Entahlah, aku sudah lupa.

      Al-Abbas, bapa saudar Nabi s.a.w. pernah memesan kepada puteranya
      Abdullah, katanya: Aku lihat orang ini (maksudnya) saiyidina umar
      Ibnul-Khattab r.a.) sering mengkedepankan engkau dari banyak orang-orang
      yang tua, maka peliharalah nasihatku yang lima ini:
      (1)               Janganlah engkau bocorkan rahasianya sama sekali
      (2)               Janganlah engkau mencaci orang lain dihadapannya
      (3)               Janganlah engkau membiasakan bohong kepadanya
      (4)               Janganlah engkau melanggar perintahnya
      (5)               Janganlah sampai ia melihat sesuatu pengkhianatan
      berlaku daripadamu.
       
      Asy-Sya’bi memberi komennya terhadap ucapan di atas, katanya: Setiap satu
      dari mutiara kata lima ini, lebih berharga daripada seribu kata.
      Di antara hak kawan lagi ialah: Meninggalkan perbantahan atau pertengkaran
      terhadap segala yang diucapkan oleh saudaramu.
      Berkata Ibnu Abbas: Jangan ajak bertengkar pada orang yang kurang akal,
      nanti ia akan membahayakan kamu. Jangan pada orang yang bersabar, nanti
      kamu dibencinya pula.

      Rasullullah s.a.w telah bersabda:
       
      “Barangsiapa meninggalkan pertengkaran sedang ia bersalah, akan dibina
      baginya sebuah rumah di dalam halaman syurga. Dan barangsiapa meninggalkan
      pertengkaran sedang ia benar (tidak salah), akan dibina baginya sebuah
      rumah di tempat tertinggi dalam syurga.”
       
      Hadis tersebut menunjukkan betapa toleransi Agama Islam, padahal
      meniggalkan yang salah itu adalah wajib hukumnya. Tetapi Hadis itu telah
      menjadikan pahala melakukan sunnat di sini lebih besar. Sebab berdiam diri
      ketika dalam kebenaran itu lebih berat tekanannya atas diri daripada
      berdiam diri ketika dalam kesalahan atau kebatilan, dan sebenarnya pahala
      itu dikira atas kadar tanggungan.

      Ingatlah, bahwa sebab yang paling berat sekali untuk menyalakan api
      kedengkian dalam hati sesama saudara, ialah dengan menimbulkan
      pertengkaran dan perbantahan. Kedua-dua sifat ini merupakan punca utama
      kepada permusuhan dan putus perhubungan. Bukanlah berputus hubungan itu
      mula-mulanya berlaku dengan timbulnya pendapat-pendapat yang berbeda-beda,
      kemudian dengan kata-kata yang tak senang didengar oleh telinga, kemudian
      dengan beradu kekuatan atau berpukul-pukulan.

      Nabi s.a.w. telah bersabda:
       
      “Janganlah kamu bermusuh-musuhan, jangan benci-membenci, jangan
      dengki-mendengki, jangan berputus hubungan antara satu dengan yang lain
      dan jadilah kamu sekalian sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara-mara.”
       
      Baginda bersabda lagi:
       
      “Seseorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain, tiada boleh
      menganiyainya, atau menghalangi keperluannya, atau menghinanya. Memadailah
      seseorang itu dikira jahat, apabila ia menghina saudaranya Muslim yang
      lain.”
       
      Ketahuilah, bahwa seberat-berat penghinaan terhadap kawan telah melakukan
      perbantahan terhadapnya, sebab orang yang membantah kata-kata kawannya itu
      mungkin menganggap kawan itu bodoh, atau lalai, atau cuai dari memahami
      sesuatu perkara menurut semestinya. Itulah yang dikatakan penghinaan yang
      menyempitkan dada dan mengacau jiwa.

      Abu Umamah meriwayatkan sebuah Hadis katanya: Pada suatu ketika Rasulullah
      s.a.w datang ke tempat kami, sedang kami lagi berbantah-bantahan, maka
      baginda pun murka lalu bersabda:
       
      “Tinggalkanlah pertengkaran dan berbantah-bantahan, sebab amat sedikit
      sekali kebaikannya. Hindarkanlah pertengkaran dan berbantah-bantahan sebab
      tidak seberapa manfaatnya, malah ia akan menarik kepada permusuhan dan
      perselisihan antara sesama saudara.”
       
      Setengah para salaf berkata: Orang yang mengata-nista saudaranya atau
      membantah-bantahnya, adalah orang yang rendah pekertinya dan yang telah
      lenyap penghormatanya dirinya.

      Yang lain pula berkata: Awas! Jangan sekali-kali berbantah-bantahan dengan
      orang ramai. Sebab anda takkan berdaya menolak tipu daya seorang penyabar,
      atau menahan bencana seorang jahat.

      Al-Hasan berkata pula: Tiada akan terbeli permusuhan seorang dengan
      kasih-sayang seribu orang.

      Pendek kata tidak ada gunanya berbantah-bantahan, selain dari ingin
      menampakkan diri sebagai orang yang banyak akal dan lebih utama, serta
      menampakkan diri kawannya sebagai orang yang rendah dan masih bodoh.
      Bukannkah itu menandakan takabbur dalam diri, menyimpan perasaan sombong,
      suka menghina dan mencaci orang lain sebagai kurang akal, bodoh dan jahil.
      Tidak ada pengertian lain yang lebih tepat dari yang tersebut itu, maka
      bagaimana dapat dibentuk persaudaraan yang sejati dan bersefahaman.
      Ibnu abbas pernah meriwayatkan dari Rasulullah s.a.w katanya, sabda
      baginda:
       
      “Janganlah anda membantah saudaramu, dan janganlah pula bersenda gurau
      dengannya (yakni yang berlebih-lebihan), dan bila berjanji suatu
      perjanjian, maka janganlah anda memungkirinya.”
       
      Sabda baginda lagi:
       
      “Kamu tidak mungkin akan menguasai orang ramai dengan harta kekayaan kamu,
      tetapi kuasailah mereka dengan wajah yang berseri-seri dan budi pekerti
      yang luhur.”
       
      Adapun sifat berbantah-bantahan itu adalah berlawanan dengan sifat budi
      pekerti yang luhur. Dan ketahuilah, bahawasanya asasnya persaudaraan itu
      ialah permuafakatan dalam perbicaraan, perlakuan dan sayang-menyayangi
      antara sesama saudara.
       
(Bersambung)


Ilmu merupakan harta abstrak titipan Allah Subhanahu wata'ala kepada seluruh manusia yang akan bertambah bila diamalkan, salah satu pengamalannya adalah dengan membagi-bagikan ilmu itu kepada yang membutuhkan.
Janganlah sombong dengan ilmu yang sedikit, karena jika Allah Subhanahu wata'ala berkehendak ilmu itu akan sirna dalam sekejap, beritahulah orang yang tidak tahu, tunjukilah orang yang minta petunjuk, amalkanlah ilmu itu sebatas yang engkau mampu.




YAHOO! GROUPS LINKS




Kirim email ke