IFF: Menghina Islam Atas Nama Islam
On 23/10/2010, in Cabaran Islam, by Abu Saif | 47,077 views |  Print|  Email| 
Penyebaran fesyen jahiliah atas nama Islam di pentas Islamic Fashion Festival 
(IFF) Bagaimanakah tatacara melabel sesuatu sebagai Islamik (HALAL)? Apakah ada 
garis ukurnya, atau bergantung kepada intepretasi bebas masing-masing? Ketika 
masyarakat berdepan dengan pelbagai ancaman ajaran sesat yang lazimnya 
berpaksikan sesuatu yang ritual, mistik dan terpencil daripada kehidupan massa, 
kita juga sedang mendepani kekeliruan-kekeliruan yang [...]
Penyebaran fesyen jahiliah atas nama Islam di pentas Islamic Fashion Festival 
(IFF)
Bagaimanakah tatacara melabel sesuatu sebagai Islamik (HALAL)?
Apakah ada garis ukurnya, atau bergantung kepada intepretasi bebas 
masing-masing?
Ketika masyarakat berdepan dengan pelbagai ancaman ajaran sesat yang lazimnya 
berpaksikan sesuatu yang ritual, mistik dan terpencil daripada kehidupan massa, 
kita juga sedang mendepani kekeliruan-kekeliruan yang berada di dalam arus 
perdana. Sesuatu yang jarang dilihat sebagai ‘ajaran sesat’, tetapi cukup 
banyak 
memesongkan manusia daripada landasan hidayah.
Itulah BUSANA MUSLIMAH. 
LANDSKAP 1990′AN
“Mak Fatih di Turki, purdahnya bukan sehelai kain tambahan yang menutup muka. 
Tetapi tudung yang dipakai, digenggam dengan tangan di bahagian hidung. Semua 
perempuan pakai seluar besar,” saya berbual dengan ibu tentang cara berpakaian 
wanita Anatolia yang saya lihat.
“Nak kenal mahasiswi Turki senang sahaja. Ramai di kalangan mereka suka memakai 
tudung dengan sanggul tinggi,” saya bersembang dengan rakan-rakan di Jordan.
“Bukan sanggul tinggi itu, bonggol unta yang Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam 
laknat dalam hadith tu ke?” tanya rakan saya.
“Betul dah tu. Tak apa, kita buang sanggul tu, kita ambil tudungnya sahaja. 
Buat 
hadiah. Bukan senang nak dapat tudung sutera Turki di Malaysia” saya menokok 
perbincangan.
Kelana saya ke pelbagai negara umat Islam di era 90′an, memperkenalkan saya 
kepada pelbagai bentuk pakaian yang disesuaikan dengan budaya, persekitaran dan 
keperluan, namun masih mengekalkan prinsip-prinsip asas berpakaian menurut 
Islam. Pelbagai bentuk seluar, abaya, tudung, malah pelbagai bentuk niqab, 
kesemuanya membentuk satu kesediaan pada diri saya untuk lebih dinamik dalam 
mendefinisikan apa itu fesyen dan seluas manakah ruang yang disediakan oleh 
Islam untuk ia berkembang.
Ketika itu, segala-galanya masih asing daripada masyarakat kita.
Baju kurung, masih kekal dengan potongan baju kurung yang biasa.
Tudung juga tidak banyak jenis.
Malah berpurdah masih asing dan pantas dikaitkan dengan Jemaah al-Arqam.
Saya juga boleh rancak bercerita tentang pengalaman saya di negara Arab kerana 
jarang-jarang sekali muka Arab ditemui di jalanan ibu kota negara. Malah 
Malaysia hampir-hampir tidak termasuk di dalam destinasi pelancongan warga 
negara Arab yang ketika itu masih berkiblatkan Eropah untuk percutian mereka.
LANDSKAP SEMASA
Hari ini, komunikasi, teknologi maklumat dan mobilisasi manusia mengalami 
perubahan yang besar. Globalisasi menghimpunkan manusia yang pelbagai di sebuah 
perkampungan antarabangsa. Masyarakat kita semakin terdedah dengan pelbagai 
bentuk budaya dan ekspresi diri termasuklah fesyen. Pelbagai idea datang untuk 
mengembangkan cara berpakaian kita, khususnya untuk wanita Muslimah.
Industri fesyen semasa berkembang maju. Ia sesuatu yang boleh dihargai pada 
sudut-sudut positifnya.
Baguslah begitu.
Dahulu kala, wanita yang berhijrah itu mendefinisikan HIJRAH bukan sekadar pada 
memakai tudung, tetapi terus kepada mengubah keseluruhan penampilan diri dan 
gaya hidup. Imej perubahan diri Hajjah Wan Chik Daud, Siti Fairuz, Rahimah 
Rahim 
juga Noorkumalasari, memperlihatkan hijrah itu benar-benar suatu hijrah.
Namun kini, dengan perkembangan fesyen yang begitu dinamik, HIJRAH boleh 
berlaku 
dalam format yang lebih mudah. Ia tidak menjadi satu revolusi ke atas diri, 
namun sekadar mengenakan tudung atau meletakkan sesuatu di atas kepala yang 
dianggap sebagai simbol perubahan diri. Semakin lama, ia semakin berkembang. 
Malah perkembangan fesyen alternatif ini sudah sampai kepada berjaya 
menganjurkan pertunjukan fesyen di peringkat nasional, serantau dan 
antarabangsa.
Antaranya adalah Fashion Show Busana Muslim 2010 di MIDF HALL, di ibu kota 
Kuala 
Lumpur tidak lama dulu.
Versi DUBAI!
PENTAKRIFAN
“…Dan janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang 
Jahiliyah zaman dahulu…” [al-Ahzaab 33: 33]
Sejauh manakah pakaian itu boleh diterima sebagai Busana Muslimah?
Bagaimana dengan batas-batas Aurat?
Bagaimana dengan sifat bersederhana dan MALU yang menjadi tunjang ekspresi diri 
pada berpakaian itu?
Perkembangan semasa, memperlihatkan, apa yang dilabelkan sebagai Busana 
Muslimah 
itu, bukan lagi sekadar Tabarruj Jahiliah malah sudah menjadi al-Kaasiaat 
al-‘Aariyaat seperti yang diungkapkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam 
yang bermaksud SEPARUH TELANJANG, atau BERPAKAIAN TAPI BERTELANJANG.
Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu beliau berkata, Rasulullah sallallaahu 
‘alayhi wa sallam telah bersabda, “Dua kelompok daripada penghuni Neraka yang 
aku tidak pernah melihatnya (semasa hidupku): Kaum yang memiliki cambuk seperti 
ekor lembu dan mereka melibas-libas orang dengannya. Yang kedua adalah wanita 
yang akan telanjang walaupun mereka sedang berpakaian, perempuan ini berjalan 
sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya seumpama bonggol unta. Dan 
perempuan yang sebegini keadaannya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah 
bau 
syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini. “[Hadith riwayat 
Muslim]
Fesyen yang membiarkan leher keluar, telinga keluar, dada terdedah, jenis kain 
lembut yang rapat membalut tubuh dengan bentuk yang menonjol, semua itu 
diterima 
sebagai sebahagian daripada kriteria BUSANA MUSLIMAH. Malah tahun 2010 
menyaksikan berleluasanya pemakaian tudung dengan bonggol yang sangat menonjol 
di bahagian atas kepala, sama ada oleh rambut sendiri yang panjang, atau dengan 
sanggul palsu yang dijual di kedai HIJAB?
Sekadar meletakkan sesuatu di atas kepala, atau melabuhkantop hingga ke bawah 
ala-ala jubah atau abaya, jadilah ia BUSANA MUSLIMAH!
Di manakah Islamnya?
Pakaian ini diberikan kepada artis-artis yang mungkin di hatinya memang mahu 
membuat perubahan diri. Saya tidak berada di posisi untuk menilai niat di hati 
sesama insan. Tetapi niat yang baik itu ditemukan dengan solusi yang sangat 
jauh 
daripada Islam. Apatah lagi, dengan status pemakainya sebagai ikon masyarakat 
(jika masih mahu mengikonkan artis), ia menjadi ikutan. Lalu berleluasalah 
segalanya.
Tidak sampai ke suku ketiga tahun 2010, penyelewengan cara berpakaian menurut 
Islam semakin menjadi-jadi.
Jika kalian yang tidak pernah bertudung, mula bertudung dengan fesyen sebegini, 
mungkin sukar untuk menghayati perubahannya. Namun bagi kalian yang dahulunya 
berpakaian secara sederhana tetapi mula memperagakan fesyen seperti ini, 
tanyalah secara jujur ke dalam hati, adakah kalian semakin malu di hadapan 
Allah 
atau semakin berani dan bijak mencipta justifikasi?
Islam menyediakan ruang yang secukupnya untuk seorang wanita Muslimah dan 
lelaki 
Muslim yang belum menutup aurat untuk segera mencari kekuatan berbuat demikian. 
Tetapi menyambut kejayaan membuat perubahan dengan menghantar mereka ke daerah 
Busana Muslimah yang sangat bercanggah dengan Islam ini, ia adalah suatu 
kesesiaan yang mengundang penyesalan.
KUASA BESAR DI SEBALIK TABIR
Sedutan www.islamicfashionfestival.com.my
Bukan hanya di Dubai seperti paparan di atas, penyebaran konsep asing ini di 
atas nama Islam tidak berlaku sekadar di peringkat akar umbi masyarakat malah 
didukung oleh sebuah badan antarabangsa yang dikenali sebagai Islamic Fashion 
Festival (IFF). Penganjur kepada Festival Fesyen Islam di peringkat 
antarabangsa 
ini ditubuhkan pada tahun 2006 dengan warga Malaysia menjadi tulang belakang 
utamanya, dengan Datin Paduka Seri Rosmah Mansor sebagai penaung utamanya.
Gagasan ini mahu menyebarkan satu rujukan budaya dan visual yang mahu 
memperlihatkan bagaimana Islam boleh dimesrakan dengan dunia moden semasa serta 
memperbaiki imej Islam yang tercalar oleh keganasan di sana sini. Amat malang 
sekali apabila ijtihad sebenar ini tiada langsung memperlihatkan sebarang rujuk 
silang dengan agamawan, atau badan-badan agama untuk membimbing konsep rekaan 
fesyen yang mahu ditampilkan.
Terkini, Islamic Fashion Festival yang berlangsung di Monte Carlo pada 9 Ogos 
2010 mengulangi penampilan atas nama Islam, yang sangat jelek dan 
terang-terangan menghina Syariat Allah Subhanahu wa Ta’aala.
“Saya berbangga kerana IFF telah berjaya sampai sebegini jauh untuk 
mempromosikan busana Islam dan mendapat maklum balas daripada pelbagai latar 
belakang dan agama di samping memperkukuhkan industri fesyen tersebut ke 
peringkat lebih tinggi” ujar Datin Paduka Seri Rosmah Mansor usai 
berlangsungnya 
Festival Fesyen Islamik tersebut.
Penyelewengan konsep ‘Busana Muslimah’ ini sesungguhnya bukan lagi kerja tukang 
jahit di Masjid India atau butik-butik kecil sekitar ibu kota. Islamic Fashion 
Festival bertindak sebagai sebuah gagasan antarabangsa yang mendapat empati 
dunia atas nama Islam progresif, moden dan anti keganasan.
Ia adalah sebuah gerakan.
“Ayah, emak, saya sudah memakai hijab seperti yang kalian suruh. Bye-bye!”
BEBAS
“Inilah kata-kata orang agama. Semua salah” ulasan yang muncul.
“Semua itu hanya Male Chauvinism. Semua perbuatan orang perempuan mahu 
dikawalnya” tegas seorang yang lain.
Sesungguhnya kata-kata seperti itu sangat jauh dari kalam terbitan IMAN.
Islam memuliakan kaum lelaki dan perempuan, pada TAQWA, iaitu kualiti diri 
berkaitan dengan ilmu, bakat, Akhlaq, keupayaan diri dan jauh sekali daripada 
memperhambakan diri kepada mengejar usaha mengisi makna CANTIK yang tidak 
pernah 
berakhir itu. Sesungguhnya CANTIK itu adalah satu bentuk perhambaan wanita yang 
menyeronokkan (lagi menguntungkan).
Jika demikianlah komen-komen yang timbul tatkala saranan ini datang, ketahuilah 
anda sememangnyabebas berpakaian sesuka hati anda dan kita tidak akan 
mengganggu 
kebebasan individu yang dibanggakan itu. Namun sebaik sahaja pakaian jelek itu 
kalian nisbahkan kepada Islam, kami bangkit menentangnya.
Kami cemburu dengan agama kami.
BUSANA MUSLIMAH yang tidak mematuhi Islam seperti itu adalah penghinaan kepada 
Syariat Allah.
Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – 
apabila 
Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah 
harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. 
Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya 
ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. [al-Ahzaab 33: 36]
FULL STOP!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG


      

Kirim email ke