ENCIK UTEH

"Isah," kedengaran suara dari luar memanggil namanya. Dia pun masuk. "Isah, 
rupanya pertunanganmu dengan si Halim tak jadi dilangsungkan. Orang telah 
menghantar kata putus, dan se-gala tanda-tanda telah dikembalikan."

Demikianlah perkataan Sidi Nasir, paman tempat Isah menumpang itu, memberitahu 
kepadanya bahawa pertunangannya putus sudah.

Isah tegak dan diam, pada wajahnya terbayang bahawa dia masih menunggu-nunggu 
ujung perkataan itu, tetapi tidak ada ujungnya lagi, tak ada keterangan tentang 
putus pertunangan itu.

Apakah akan jawabnya tentang keputusan itu, dan apakah ujung perkataan yang 
diharapkannya, pada hal sudah nyata per­tunangannya putus. Dia tegak 
sebentar, kemudian ia pun kembali ke belakang diturutkan oleh makciknya dengan 
mata belas kasihan. Putus atau bertunangan baginya sama saja, dan fikirannya 
dalam perkara itu tak pernah diminta orang. la tidak pernah dibawa mesyuarat 
dalam hal menentukan siapa yang akan jadi jodohnya. Dan ia pun tidak merasa 
perlu akan mesyuarat itu, asal dapat saja dia hidup dalam rumah itu, sudah 
cukuplah baginya, sebab dia sudah lama kematian ayah dan ibu. Hanya belas 
kasihan oranglah yang menyebabkan dia masih hidup menumpang di dalam rumah itu.

Meskipun sudah demikian nasibnya, dari sebulan ke bulan timbul jugalah 
angan-angan dalam hatinya, cita-cita, yang mesti timbul dalam hati tiap-tiap 
anak gadis yang telah akil baligh, iaitu tentang hal bersuami. Bagaimana 
gerangan rasanya jadi pengantin, bagaimana perasaan pada hari nikah, ketika ia 
dikelilingi oleh gadis-gadis yang cantik molek, sedang di kepalanya lekat 
sunting emas, bertutup dengan kain kasa halus, berselendang kain berlambak 
benang emas, duduk bersanding dengan pengantin lelaki? Bagaimana gerangan 
rasanya, kalau kemudian mereka itu telah hidup berdua mengemudikan rumah tangga 
yang kecil dan beroleh permaianan, � anak?

Dia tegak ke muka cermin besar yang telah tua di dalam kamarnya. 
Diperhatikannya mukanya yang laksana bulan penuh itu; ia pun tersenyum simpul 
melihat mukanya sendiri, seraya ber-kata di dalam hatinya, "Ah, tentu aku akan 
berbahagia, jika telah kahwin?"

Tetapi pertunangan dengan Halim telah diputuskan. Sayang! Kepada siapakah dia 
hendak mengadukan halnya? Sedangkan dapat nasi sesuap pagi sesuap petang, 
disediakan kamar tempat menumpang, sudah sangat besar jasa orang kepadanya. 
Sebab itu sedih hatinya disimpannya saja. Dia berdukacita bukan kerana 
tunangannya itu dicintainya, bukan kerana telah berkena-lan. Yang didukakannya 
hanya sebuah iaitu tak jadi datang hari yang diharap-harapkannya, hari kahwin, 
hari "kain berlambak emas," pakaian anak dara, akan ditutupkan kepunggungnya.

Apakah sebabnya tak jadi Halim bertunangan dengan dia? Ah, tentu ada gadis yang 
lebih kaya daripadanya, atau yang masih hidup orang tuanya. Tentu Halim lebih 
suka kepada gadis itu daripada akan dirinya, gadis yatim piatu yang hanya 
menumpang di rumah orang. Tentu gadis lain itulah yang akan duduk di sisi 
Halim, memakai kain berlambak emas, pakaian anak dara, di-atas puadai pada 
malam perkahwinan.

Tiga tahun kemudian......

Anak sulung Sidi Nasir, bernama Habibah, telah dipinang orang. Pinangan itu 
diterima, kerana wang antaran telah cukup, mahar telah sedia dan peralatan akan 
segera dilangsungkan.

Maka tibalah hari kahwin yang ditunggu-tunggu itu. Sehabis nikah di muka tuan 
Kadhi, dan tamu-tamu telah pulang ke-tempat masing-masing, tinggallah pengantin 
lelaki duduk seorang dirinya menunggu akan dipersandingkan menurut adat yang 
ter-pakai, dengan pengantin perempuan. Dan pengantin perempuan telah dikerumuni 
oleh tukang bias dan anak-anak gadis, semuanya tertawa beriang-riang. Setelah 
sampai waktunya, dan berhias pun telah selesai, tangan pengantin lelaki itu pun 
dibimbing ke atas puadai, didudukkan bersanding dengan pengantin perempuan. 
Kipas bersambung kiri-kanan, beras kunyit diserakkan di cerpu kaki 
masing-masing. Perempuan tua yang gembira selalu memuji-muji kedua pengantin 
itu, "Bagai bulan dengan matahari......"

Isah bersama-sama beberapa orang temannya, anak-anak perawan yang telah 
besar-besar, duduk pula berfceliling puadai itu sambil menentang wajah kedua 
pengantin yang beruntung itu. Habibah sendiri menekurkan mukanya, malu 
tersipu-sipu dan kain berlambak emas tersandang di punggungnya. Kain itulah 
yang senantiasa dilihat oleh Isah.

"Bila gerangan kain itu akan tersandang pula di punggung-ku?" katanya di dalam 
hatinya.

Sudah larut tengah malam, dan orang masih bercumbu-cumbuan juga di dekat 
puadai, terutama anak-anak gadis. Maka datanglah seorang perempuan tua dari 
dapur; dengan suara marah tetapi bersisi gurau ia pun berkata, "Hai 
gadis-gadis, jangan duduk juga di sana, pergilah ke tempat tidur masing-masing, 
nanti datang waktunya kamu akan dipersandingkan

pula."

Dengan tersenyum simpul kemalu-maluan gadis-gadis itu pun

keluarlah dari tempat itu.

Ganjil benar hari dalam kehidupan, masa yang akan ditempuh terasa lambat, 
tetapi masa yang telah dijalani cepat saja rasanya.

Isah telah bertahun-tahun hidup sedemikian. Tetapi perangainya yang 
keanak-anakan itu, telah dapat meringankan tanggungan batinnya. Pada hal orang 
lain agaknya tidak sanggup menanggungnya. Dia bersenda gurau, bermain-main, 
berlari-lari, berkucing-kucing di dalam kebun rumah pamannya dengan anak-anak 
kecil, lelaki dan perempuan. Pada hal 10 tahun yang lalu dia bermain dengan 
ibu-ibu mereka itu. Kalau teman-temannya ber-main itu telah kahwin pula kelak, 
ketika itu hidup pulalah kenang-kenangannya kembali, bila gerangan kain 
berlambak emas itu akan disandangkan orang ke punggungnya?

Itulah yang sangat dirindukannya! Hubaya-hubaya selama hidupnya, agak sekali 
dapat jugalah dia berinai berhitam kuku, berhias bulu mata, berkain berlambak 
emas, bersunting emas di-kepala ...... jadi pengantin.

Bilakah?

Musim beralih juga, keadaan tambah lama tambah berubah. Sidi Nasir sudah lama 
meninggal kerana penyakit tua. Yang tua-tua telah dihantarkan ke kubur seorang 
demi seorang. Yang jadi kepala di dalam rumah itu tinggal lagi Mak Habibah yang 
telah beranak 7 orang. Anaknya yang tua sekali perempuan telah bersuami pula 
dan Mak Habibah telah bercucu lelaki seorang. Pada suatu hari Isah berlari-lari 
dengan anak itu di dalam kebun, berkejar-kejar. Maka marahlah Mak Habibah dan 
memaki-maki, "Hai gadis tua yang tak bermalu, cubalah cermin rambutmu, telah 
beruban, engkau masih berlari-lari seperti anak-anak! Tidakkah engkau tahu 
bahawa umurmu telah 45 tahun? Engkau sangka, engkau anak-anak juga?"

Waktu itulah baru dia insaf akan dirinya, barulah segala kegirangannya hilang 
laksana disapu awan. Rupanya bukan tempat anak-anak lagi tempatnya. Maka dengan 
muka yang tertunduk ke bumi, dengan langkah yang tertahan-tahan dia naik ke 
rumah, terus ke dapur mengerjakan pekerjaannya sehari-hari, mencuci kain 
anak-anak, membasuhi piring dan lain-lain.

Sekarang dia telah sunyi. Di dalam kesunyiannya itu siapakah lagi akan 
temannya? Anak-anak kecil itu jugakah? Pada hal umurnya telah 45 tahun? Akan 
berteman dengan gadis-gadis pu-lakah? Pada hal dia orang tua? Akan berkawan 
dengan perem­puan yang telah bersuami? Mustahil mereka akan sudi berteman 
dengan dia!

Dia pergi ke dapur, dicucinya pinggan, periuk dan sebagainya. Setelah itu dia 
mengeluh, teringat akan ibunya ...... Dan iapun menarik nafas panjang, kerana 
berfikir pula olehnya, bilakah dia akan menyandang kain berlambak emas itu?

Setelah selesai pekerjaannya, dan anak-anak telah selesai pula makan tengahari 
pula dari sekolah, Isah masuk ke dalam kamar-nya; dilihatnya pula mukanya 
tenang-tenang dalam cermin yang telah tergantung di sana semenjak 40 tahun 
dahulu. Masih nampak sisa-sisa kecantikkannya semasa muda, bibirnya masihagak 
merah, keningnya masih licin dan baru sedikit saja kerenyut pada pipinya. 
Tetapi, ah, rambutnya telah banyak yang putih, rambut dalam umur 45 tahun ......

"Masih adakah harapan saya akan memakai kain berlambak emas?"

Sejak hari itu bertambah sunyilah dia dalam rumah, tidak ada temannya lagi. 
Ahli bait telah pergi dan telah datang ganti-nya, dari nenek turun ke anak, 
dari anak turun ke cucu. Anak-anak yang datang kemudian telah mendapati juga 
"orang tua" itu di dalam rumah. Mereka itu pun tak teringat lagi hendak 
menyu-ruh dia pindah ke rumah lain, kerana dia telah dipandang orang tua 
penghuni rumah. Kadang-kadang dia jadi penjaga anak-anak, kadang-kadang 
mengerjakan pekerjaan dapur. Dan dia sangat kasih kepada anak-anak itu.

Kasihnya kepada anak-anak, tegasnya kepada yang empunya rumah, telah dibalas 
pula oleh mereka itu dengan kasihan. Tiap-tiap hari raya dia dibelikan pakaian 
baru. Mana-mana yang pulang dari pekerjaan memberi dia wang setali, lima puluh 
sen dan kadang-kadang sampai satu rupiah. Wang itu di masukkan-nya ke dalam 
celengan bambu yang digantungkannya di dekat tempat tidurnya.

Rambutnya telah mulai putih semuanya, � putih dan bersih sekali. Salah seorang 
anak-anak itu telah melihat pada suatu hari rambutnya sedang terbuka, sebab dia 
sedang bersisir. "Ah, putih benar rambut encikku ini." � Sejak hari itu, kerana 
namanya tidak dikenal betul oleh anak-anak, dan yang dewasa pun kurang hormat 
memanggil namanya saja, tetaplah dia digelarkan:"Encik Uteh."

Semenjak ia berusia 50 tahun, dia tidak kerap kali keluar dari rumah, kalau 
tidak ada keperluan yang penting. Kalau ahli bait pergi kenduri, atau ke rumah 
orang kematian, dialah yang disuruh menghuni rumah.

Tetapi hairan,  pada  suatu  hari,   pagi-pagi  benar,   "Encik Uteh" tak ada 
lagi di dalam rumah. Anak-anak tidak tahu ke mana ia pergi. Dilihatnya celengan 
bambunya telah pecah. "Ke mana Encik Uteh?" tanya seorang kepada yang lain. "Ke 
mana Encik Uteh?"

Mereka menunggu-nunggu sampai pukul 11 tengahari, ketika itu barulah kelihatan 
"Encik Uteh" turun dari atas bendi. Tangannya memegang sebuah bungkusan kecil.

Anak-anak itu berlari-larian ke dekatnya, mempergantungi dia, "Ke mana Encik 
Uteh tadi? Dari mana Encik Uteh?"

Dengan lemah-lembut tangan anak-anak itu dilepaskannya dari bajunya dan dari 
badannya; dengan segera dia masuk ke dalam rumah dan terus ke kamarnya. Ketika 
anak-anak akan masuk pula, ditahannya. Kamar itu pun ditutupnya dari dalam.

"Ai, apa yang dibawa Encik Uteh?" kata seorang anak lelaki.

"Entahlah, agaknya dia membeli roti kismis, kita tak diberi-nya," kata yang 
seorang pula.

"Ayoh, kita melihat ke loteng dengan diam-diam, kita lihat dari lubang kaca, 
apa yang di makan Encik Uteh."

Dengan perlahan-lahan anak-anak itu pun naiklah ke atas loteng, akan melihat 
apakah pekerjaan "Encik Uteh" di dalam kamarnya itu.

"Encik Uteh" tak ada di dalam kamar; yang kelihatan hanya-lah seorang pengantin 
perempuan yang sedang duduk di muka cermin, memakai kain sarong berlambak emas 
dan berselendang kain yang serupa itu pula. Di kepalanya ada bunga sanggul 
dari-pada perak bersepuh emas.

Encik Uteh sedang asyik mengatur pakaiannya, sehingga ketika anak-anak masuk 
dengan diam-diam ke dalam kamar itu, dia tidak tahu. Ketika anak-anak itu tahu 
apa yang dikerjakan "Encik Uteh," mereka itu tak tahan lagi hendak tertawa, 
lalu mereka itu pun tertawa terbahak-bahak, sehingga riuh rendah bunyi di kamar 
itu. Orang dewasa yang ada dalam rumah terkejut, dan dalam sebentar saja 
ramailah kamar "Encik Uteh'" oleh orang tua dan muda, lelaki dan perempuan, 
orang besar dan anak-anak.

Cita-cita "Encik Uteh" hendak memakai pakaian pengantin kain sutera berlambak 
emas, sampailah sudah! Kain pengantin itu sudah tersandang di punggungnya; bulu 
matanya yang tebal putih sudah diperhalusnya dan kuku-kukunya sudah merah 
...... dengan

inai! Rupanya "memperhalus alis mata" dan "berinai" itu sudah lebih dahulu 
dilakukannya!

Cita-citanya telah sampai, ia telah jadi "pengantin." Tetapi apa-apa yang telah 
dirasanya itu rupanya tidaklah seindah yang dikenang-kenangkannya selama ini. 
Sebab pakaian itu dipakainya sesudah lepas zaman yang indah itu. Mula-mula ia 
berkata kepada orang yang mengelilinginya, bahawa dia hanya main-main saja. 
Tetapi lehernya bengkak berkata demikian kerana beberapa orang yang tegak 
berkeliling dia itu telah menitikkan airmata. Tertawa anak-anak pun berhenti 
dengan sendirinya, demi dilihatnya orang tua-tua itu mengangis. Waktu itulah 
baru "Encik Uteh" insaf benar-benar apa ertinya "kain berlambak emas" yang 
disandang-kan pada punggung pengantin perempuan.

Sekarang ia tengah menunggu-nunggu bilakah pula tnasanya kain berlambak emas 
yang dibelinya dengan wang pemberian ahli bait yang dikumpulkannya dalam 
celengannya itu, akan dipergu-nakan orang penutup usungannya ke kubur. Sebab 
telah dirasai-nya, ketika kain itu disandangnya, tidak seenak yang di 
sangka-sangkanya ......

 

(Dr. Hamka "di dalam lembah kehidupan")

 

 


__________________________________________________
Do You Yahoo!?
Tired of spam?  Yahoo! Mail has the best spam protection around 
http://mail.yahoo.com 
____________________________________________________

Berhenti/mengganti konfigurasi keanggotaan anda, silahkan ke: 
http://rantaunet.org/palanta-setting
------------------------------------------------------------
Tata Tertib Palanta RantauNet:
http://rantaunet.org/palanta-tatatertib
____________________________________________________

Kirim email ke