TUANKU KISA-I AL-MINANKABAWI

Lahirkan Tokoh Besar Hamka
Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

NAMA  lengkap  ‘Tuan  Kisa-i’  ialah  Syeikh  Muhammad Amrullah Tuanku
Abdullah Saleh. Beliau inilah yang melahirkan dua orang tokoh besar di
dunia  Melayu. Yang seorang ialah anak beliau sendiri, Dr. Syeikh Haji
Abdul  Karim Amrullah. Dan yang seorang lagi ialah cucu beliau, Syeikh
Abdul  Malik  Karim  Amrullah.  Cucunya sangat terkenal walaupun tanpa
melalui  pendidikan  tinggi formal dan diberi gelaran Professor Doctor
(Prof. Dr.). Cucunya itu lebih dikenali sebagai ‘Prof. Dr. Hamka’ atau
nama mesra yang dipanggil orang, ‘Buya Hamka’.

Saya  sempat  bertemu  Buya  Hamka  pada  Februari 1971 di rumahnya di
Kemayoran  Baru,  Jakarta.  Selain hampir semua karangan beliau sempat
dibaca,  saya  juga  berpeluang  mendengar  ucapan lisan beliau secara
berdepan.

Apabila  kita  menyelusuri karakter ketiga-tiga mereka, bermula dengan
perjuangan   datuk  (Tuan  Kisa-i),  ayah  (Syeikh  Haji  Abdul  Karim
Amrullah)  dan cucu (Buya Hamka) secara global dalam penyebaran Islam,
kita akan menemui persamaan.

Walau  bagaimanapun,  pegangan  dalam  pemahaman  dan  langkah-langkah
perjuangan  mereka  terdapat  perbezaan-perbezaan  yang begitu ketara.
Tuan Kisa-i tetap mengamal Thariqat Naqsyabandiyah, istiqamah mengikut
Mazhab  Syafie. Pemahaman Islam Tuan Kisa-i sama dengan pegangan ‘Kaum
Tua’,  tetapi  pada  zaman  beliau  istilah ‘Kaum Tua’ dan ‘Kaum Muda’
belum tersebar luas.

Anak  beliau, Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah, adalah seorang pelopor
dan  termasuk  tokoh  besar  dalam perjuangan ‘Kaum Muda’. Syeikh Haji
Abdul  Karim  Amrullah  menolak amalan Thariqat Naqsyabandiyah, sekali
gus  menolak  ikatan ‘taqlid’, tetapi lebih cenderung kepada pemikiran
Syeikh Muhammad Abduh.

Buya   Hamka  sukar  dinilai  orang,  kerana  dalam  beberapa  tulisan
kadang-kadang   mengecam  ‘Kaum  Tua’,  kadang-kadang  membenarkannya.
Demikian  halnya  dengan  ‘Kaum Muda’. Bahkan dalam penilaian tasawuf,
Buya  Hamka  adalah  bersifat  sederhana.  Buya  Hamka sebagai seorang
‘ilmuwan’  perlu  ditempatkan  pada tempat baik dan bijak, namun tidak
dapat dinafikan ada golongan ‘Kaum Tua’ menyetujuinya di tengah-tengah
ramai  ulama  yang  mengecam beliau. Demikian halnya pihak ‘Kaum Muda’
lebih   ramai   yang  menyetujuinya  terutama  setiakawan  dalam  satu
organisasi  Muhammadiyah.  Sungguhpun  demikian, pihak ‘Kaum Muda’ ada
juga yang tidak bersetuju dengan jalan pemikiran Buya Hamka.

Asal usul

Artikel  ini  tidak  memfokuskan  kepada  Dr.  Syeikh Haji Abdul Karim
Amrullah  dan Buya Hamka tetapi menjurus kepada kisah Tuan Kisa-i atau
Syeikh Muhammad Amrullah yang lahir pada malam Khamis 6 Rejab 1256 H/4
September  1840  M. Beliau wafat pada 1327 H/1909 M. Sebagaimana telah
disebut  di  atas,  nama  ayahnya  ialah Tuanku Abdullah Saleh. Tuanku
Abdullah  Saleh  digelar  ‘Tuanku Syeikh Guguk Katur’ dan digelar juga
‘Ungku Syeikh Tanjung’. Beliau ialah seorang alim murid Abdullah Arif.
Abdullah  Arif  digelar juga dengan nama ‘Tuanku Pariaman’ dan ‘Tuanku
Nan Tuo di Koto Tuo, IV Koto’.

Buya  Hamka  menulis,  yang  didengar daripada ayahnya, tentang Tuanku
Abdullah  Saleh:  ‘’Kata  ayah  saya:  ‘Engku Syeikh Suku Tanjung atau
Tuanku  Guguk  Katur  itu  adalah  seorang  ulama  yang  sangat  besar
perhatiannya  kepada Ilmu Tasawuf sehingga kitab Hikam Ibnu 'Athaillah
beliau  hafal  di  luar  kepala.  Beliau pun seorang cerdik ahli adat,
sehingga  bukan saja urusan agama yang ditanyakan orang kepada beliau,
bahkan   juga  urusan  adat’.  Tambah  ayahku  pula:  ‘Pelajaran  Imam
al-Ghazali  tentang khalawat sangat termakan oleh beliau Tuanku Syeikh
Guguk  Katur  atau  Engku  Suku Tanjung itu. Lantaran itu beliau lebih
suka  berkhalawat di suraunya di Guguk Katur’.’’ (Lihat Ayahku cetakan
ketiga, Djajamurni, Jakarta, 1963, hlm. 46.)

Selanjutnya  Buya  Hamka  menulis,  ‘’Kepada  murid  yang soleh inilah
tertarik hati gurunya Tuanku Syeikh Pariaman, sehingga setelah anaknya
Siti  Saerah menjadi gadis remaja, beliau ambillah Tuanku Suku Tanjung
itu menjadi menantu.’’ (Lihat Ayahku, hlm. 46-47.)

Daripada  petikan  di  atas  dapat  disimpulkan bahawa kedua-dua belah
pihak, sama ada daripada pihak ibu mahupun daripada pihak ayah, Syeikh
Muhammad   Amrullah   adalah  ulama  dan  tokoh  yang  terkenal  dalam
masyarakat. Datuk beliau, atau ayah ibunya, Abdullah Arif atau ‘Tuanku
Pariaman’  atau  ‘Tuanku  Nan  Tuo  di Koto Tuo, IV Koto’ adalah salah
seorang  yang  menyebarkan Islam di beberapa tempat di Minangkabau dan
merupakan pahlawan yang gigih melawan Belanda dalam Perang Paderi yang
dipimpin oleh Tuanku Imam Bonjol.

Hendaklah diperhatikan bahawa Abdullah Arif yang disebut di sini bukan
Syeikh  Abdullah Arif pengarang kitab Bahr al-Lahut, penyebar Islam di
Aceh  pada  abad  ke-12 dan 13 M. Belum diketahui apakah Abdullah Arif
(datuk  Syeikh  Muhammad  Amrullah) keturunan Syeikh Abdullah Arif (di
Aceh).  Yang  dapat  dipastikan nama itu serupa bagi mengambil sempena
daripada  nama  Syeikh  Abdullah Arif (di Aceh). Ibu Muhammad Amrullah
bernama  Siti  Saerah  yang merupakan anak kepada Abdullah Arif, ulama
dan pahlawan yang terkenal itu.

Hanya  sampai  pada  Abdullah  Arif (daripada pihak sebelah ibu) datuk
Syeikh  Muhammad  Amrullah saja yang dapat diketahui. Daripada sebelah
pihak  laki-laki  pula  hanya  diketahui  nama  ayahnya,  iaitu Tuanku
Abdullah   Saleh.   Nama  lebih  atas  daripada  yang  tersebut  belum
diketahui.  Sungguhpun demikian sudah cukup diketahui bahawa kedua-dua
ayah  dan  ibunya itu memang ulama dan tokoh yang cukup besar pengaruh
pada zamannya.

Pendidikan

Mendapat  pendidikan  awal  daripada  datuk  atau nenek sendiri secara
tradisi  di  Minangkabau,  Buya  Hamka  menulis, ‘’Setelah cucunya itu
berusia  14  tahun,  setelah  khatam  mengaji al-Quran dengan ayahnya,
Tuanku  Syeikh  Pariaman  memesankan supaya cucunya itu dihantarkan ke
Koto  Tuo,  kerana  beliau  sendiri  yang hendak mengajarnya ilmu-ilmu
agama.  Bersama  saudara  sepupunya  Tuanku  Sutan,  Muhammad Amrullah
belajar  Nahwu,  Sharaf,  Manthiq,  Ma'ani,  Tafsir  dan  Fiqh  kepada
neneknya.’’ (Lihat Ayahku, hlm. 42.)

Yang  disebut  oleh  Buya  Hamka dalam tulisan beliau hanya enam jenis
mata  pelajaran  yang  dipelajari  daripada  datuknya  Syeikh Muhammad
Amrullah. Saya tidak pasti apa sebab ada dua mata pelajaran yang mesti
diajar  dalam  metod  tradisional dunia Melayu dan dunia Islam lainnya
pada zaman itu yang tidak disentuh oleh Buya Hamka.

Kedua-dua  mata  pelajaran yang saya maksudkan itu ialah ‘Ilmu Akidah’
dan  ‘Ilmu  Tasawuf’.  Saya tidak yakin Syeikh Muhammad Amrullah tidak
menguasai kedua-dua ilmu yang tersebut kerana pada zaman itu kedua-dua
ilmu  tersebut  merupakan  perkara  Fardu  Ain. Selain itu oleh kerana
Syeikh  Muhammad  Amrullah  adalah  termasuk  salah  seorang  pengamal
Thariqat  Naqsyabandiyah, setiap pengamal thariqat mestilah faham ilmu
tasawuf  dalam  erti kata yang syumul. Kerana thariqat adalah bahagian
kecil daripada tasawuf.

Apakah  kedua-dua  mata pelajaran itu memang kurang mendapat perhatian
di  Minangkabau  ataupun  datuk  beliau Syeikh Muhammad Amrullah telah
mempelajari  kedua-dua  itu  daripada  ayahnya  Tuanku Abdullah Saleh?
Tuanku  Abdullah  Saleh  diakui  oleh  Buya  Hamka sendiri dan ayahnya
Syeikh  Abdul  Karim  Amrullah  tentang  beliau hafal kitab Hikam Ibni
'Athaillah  dan  suka  berkhalawat  mengikut  anjuran Imam al-Ghazali.
Perlu  saya  tambah  bahawa  ‘khalawat’  di  sini  bukan pendapat Imam
al-Ghazali,  tetapi  ulasan lanjut Imam al-Ghazali daripada sabda Nabi
Muhammad s.a.w..

Mengenai  guru-gurunya  di Mekah, Buya Hamka menulis, ‘’Beliau berguru
kepada Sayid Zaini Dahlan, ulama Mekah yang terkenal, dan berguru juga
kepada  Syeikh Muhammad Hasbullah dan beberapa ulama yang lain. Beliau
juga  belajar  dengan  Syeikh Ahmad Khatib dan Syeikh Tahir Jalaluddin
yang  usianya  lebih  muda daripada beliau. Sayang sekali ayahku tidak
memberikan  catatan  tahun  berapa beliau ke Mekah yang pertama itu.’’
(Lihat Ayahku, hlm. 49.)

Kedua-dua  ulama  bangsa  Arab,  Sayid  Ahmad  Zaini Dahlan dan Syeikh
Muhammad  Hasbullah,  yang  disebutkan  oleh Buya Hamka di atas adalah
guru  bagi hampir semua ulama dunia Melayu. Selain Syeikh Ahmad Khatib
Abdul  Lathif  al-Minankabawi termasuk juga Syeikh Ahmad Muhammad Zain
al-Fathani.  Saya  masih meragui tulisan Buya Hamka yang menyebut nama
Syeikh  Tahir  Jalaluddin kerana dalam catatan Syeikh Tahir Jalaluddin
beliau hanya menyebut berguru kepada Sayid Umar Syatha. Tentang Syeikh
Tahir  Jalaluddin  belajar  daripada  Syeikh  Ahmad  Khatib memang ada
banyak sumber.

Kedudukan   Syeikh   Tahir   Jalaluddin  sebagai  murid  Syeikh  Ahmad
al-Fathani dapat diketahui daripada surat menyurat timbal balik antara
Syeikh  Ahmad al-Fathani (di Mekah) dengan Syeikh Tahir Jalaluddin (di
Al-Azhar,  Kaherah,  Mesir).  Baik  Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi
mahupun  Syeikh  Ahmad al-Fathani, kedua-duanya memang jauh lebih muda
daripada Syeikh Muhammad Amrullah (Tuan Kisa-i).

Pada  usia  26  tahun  (1282 H/1864 M), Syeikh Muhammad Amrullah telah
diberi  ijazah  dan  tugas  mengajar oleh datuknya, Abdullah Arif atau
Tuanku  Pariaman  atau  Tuanku  Nan  Tuo di kampungnya. Ilmu-ilmu yang
diajarkan,  menurut  Buya Hamka, ialah Ilmu Tafsir, Fiqh, Tasawuf, dan
ilmu-ilmu  alat,  iaitu  Nahwu, Sharaf, Manthiq, Ma'ani, Bayan, Badi’.
(Lihat Ayahku, hlm. 48.)

Pandangan

Syeikh   Muhammad   Amrullah   (Tuan   Kisa-i)  mengalami  lapan  kali
perkahwinan,  dan bilangan kesemua anak beliau ialah seramai 46 orang.
Anak  beliau  adik-beradik  seibu sebapa dengan Dr. Syeikh Abdul Karim
Amrullah  yang  disebut oleh Buya Hamka dalam buku beliau, Ayahku, ada
seramai  tujuh  orang.  Adik-beradik daripada satu ayah disebut ada 10
orang.

Sungguhpun  antara  anak  dan cucu beliau terdapat beberapa orang yang
masyhur namanya, saya tinggalkan saja kerana sudah cukup diwakili oleh
Dr. Syeikh Abdul Karim Amrullah (anak) dan Prof. Dr. Hamka (cucu) yang
kemasyhurannya sangat diketahui ramai pada zamannya.

Kekeluargaan   yang   sedang   dibicarakan   ini   bukanlah  merupakan
satu-satunya  keluarga  ulama  dunia  Melayu yang dapat mempertahankan
beberapa  generasi  menjadi ulama, tetapi turut berlaku dalam keluarga
Syeikh Daud Abdullah al-Fathani, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan
lain-lain.  Bahawa  sangat berbahagia dunia dan akhirat bagi seseorang
ulama  yang  berhasil  mendidik  anak,  cucu, dan keturunannya menjadi
ulama pula.

Saya  berpendapat  walaupun  Syeikh  Muhammad Amrullah, ayahnya Tuanku
Abdullah  Saleh dan datuknya (ayah kepada ibunya) Syeikh Abdullah Arif
berpegang mengikut aliran ‘Kaum Tua’, sedangkan anak beliau Dr. Syeikh
Abdul  Karim  Amrullah  dan  cucunya  Prof.  Dr. Hamka dikatakan orang
sebagai  pelopor ‘Kaum Muda’ atau di pihak yang lain dikatakan pembawa
fahaman   ‘Wahabi’,   namun   mereka   adalah  jauh  lebih  baik  jika
dibandingkan   anak   atau   cucu  ulama  yang  tidak  berjuang  untuk
kepentingan Islam.

Menjulang  tinggi  kemasyhuran nama di dunia ini tiadalah bermakna dan
bererti  di  akhirat  nanti sekiranya ia lalai atau tidak mempedulikan
kepentingan  Islam.  Tertipulah ia kerana mendahulukan urusan hidup di
dunia  yang  sekejap,  lalu  mengabaikan  urusan hidup di akhirat yang
kekal abadi
  
source
http://ulama.blogspot.com/2006/01/tuanku-kisa-i-al-minankabawi.html--



--------------------------------------------------------------
Website: http://www.rantaunet.org
=========================================================
* Berhenti (unsubscribe), berhenti sementara (nomail) dan konfigurasi 
keanggotaan,
silahkan ke: http://rantaunet.org/palanta-setting
* Posting dan membaca email lewat web di
http://groups.yahoo.com/group/RantauNet/messages
dengan tetap harus terdaftar di sini.
--------------------------------------------------------------
UNTUK DIPERHATIKAN:
- Hapus footer dan bagian yang tidak perlu, jika melakukan Reply
- Besar posting maksimum 100 KB
- Mengirim attachment ditolak oleh sistem
=========================================================

Kirim email ke