Tolong dibaca aturan di footer dibawah
--------------------------------------

Assalaamu 'alaikum

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Friday/Agama/20070105073317/Article/


Melayu belum tonjol nilai Islam tulen
Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Tiada keistimewaan jika bangsa tidak berpegang kepada akidah sebenar


ISLAM adalah agama hebat yang mengajar penganutnya bersikap amanah dan
tepat janji. Islam juga pentingkan kebersihan sehingga mensyaratkan
kesucian dan kebersihan di dalam solat. Diharamkan pula perkara yang
keji atau jelik. Diharamkan mendatangi isteri ketika haid dan
diharamkan bangkai dan kekotoran. Ini semua membimbing seorang hidup
Muslim.

Firman Allah dalam menggambarkan ciri-ciri mukmin sejati: (maksudnya)
"Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya" (Surah al-Mu`minun :8)

Firman Allah berkaitan pengharaman perkara jelik (maksudnya): "Iaitu
orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad SAW Nabi yang Ummi,
yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam
Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan
perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan
perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala
benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang
buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan
belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman
kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur
(cahaya) yang diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah
orang-orang yang berjaya. (Surah al-'Araf :157)

Sabda RasululLah SAW, bermaksud: "Jauhilah neraka walaupun dengan
(bersedekah) setengah biji tamar. Jika kamu tidak dapati, maka dengan
perkataan yang baik". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam perniagaan jika roh dan semangat dibawa bersama, tentu orang
Melayu yang beragama Islam akan maju. Kedai atau perniagaannya
tentunya bersih, barangannya terjamin halal, tepati janji dan
penampilannya di hadapan pelanggan memuaskan hati. Ia membawa
keberkatan dan sekali gus dengan izin Allah kemajuan dalam
perniagaannya. Malangnya, ramai Melayu tidak mengambil roh Islam dalam
usahanya, sebaliknya ada yang percayakan kemunduran perniagaannya
hanya kerana `buatan orang' atau `angkara dibomohkan'.

Saya tidak menolak wujudnya sihirnya. al-Quran dan al-Sunnah mengakui
kewujudannya dengan izin Allah. Namun setiap kali seseorang itu tidak
laris atau bermasalah, dikaitkan dengan sihir yang sebahagian besarnya
adalah dogengan bomoh, lalu dituduh orang itu dan ini. Beratus,
mungkin beribu ringgit pula terpaksa dibelanjakan untuk menaja jampi
penangkis daripada bomoh yang dianggap handal.

Saya pernah ke sebuah kedai makan, lalu dia mengadu kepada saya bahawa
kedainya kena sihir sehingga tidak laku. Saya secara kebetulan
mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan mengenai sihir dan cara
mengatasinya, mendapati tiada kesan boleh dianggap begitu. Sebaliknya,
apa yang saya dapati, pengurusannya lembab, kurang bersih dan
makanannya tidak enak. Dia melupakan ini semua lalu menuding jari ke
pihak lain. Kalau benar ada bomoh yang hebat sehingga menyebabkan
perniagaan orang lain bankrap, suruh saja dia bangkrapkan barang
Amerika, tidak perlu nak boikot.

Bagaimana mungkin dalam keadaan seperti ini orang Melayu ingin membawa
Islam kepada orang Cina yang belum Muslim dan menceritakan Islam
membentuk insan menjadi berkualiti. Sebaliknya, ramai peniaga cina
jika dibandingkan dengan peniaga Melayu lebih berkualiti pengurusannya
dan menampilkan ciri yang boleh dibangga oleh pelanggan. Sehingga
ramai orang Melayu sendiri lebih percaya dalam banyak perkara kepada
kualiti peniaga Cina daripada bangsanya sendiri. Di mana 'Abd
al-Rahman bin 'Auf , yang selalu dicanangkan sebagai contoh kepada
umat Islam dalam perniagaan?. Mungkin orang Cina yang majoritinya
bukan Muslim lebih menghayati watak itu daripada Melayu.

Kebelakangan ini sudah agak ramai orang Melayu terbabit dengan
perniagaan dan menghasilkan keluaran sendiri. Namun jika kita
perhatikan ia masih dalam lingkungan sama. Kebanyakannya keluaran
orang Melayu masih berkaitan dengan ubat. Paling tidak dilupai ubat
tenaga batin. Ada yang jual kismis jampi, kononnya dengan memakan akan
jadi jadi cerdik dan bijak. Sebenarnya tiada satu hadis yang sahih
menyebut demikian.

Namun apa yang saya bimbang, orang akan menganggap orang Melayu
kebelakangan ini penuh dengan pelbagai penyakit badan dan kelemahan
akal. Di manakah tanggungjawab fardu kifayah untuk memenuhi umat jika
perniagaan kita masih sekitar `tenaga batin?'.

Dalam ceramah agama ada juga ustaz Melayu masih lagi bermodalkan
cerita dongeng dan kartun. Di samping riwayat Israiliyyat dan hadis
palsu dibaca dalam masjid dan surau, mereka menokok tambah kejadian
pelik untuk menarik perhatian pendengar. Cerita mayat jadi itu dan ini
menjadi modal murahan.

Dengan tidak dinafikan Allah mampu melakukan segala-galanya, namun
sejarah menunjukkan Allah tidak bertindak kepada umat Nabi yang akhir
seperti kepada umat yang sebelumnya. Kalau Allah mahu, tentu mayat Abu
Jahal, atau Abu Lahab terlebih dulu menjadi contoh. Kedua-dua tokoh
kekufuran itu, tidak juga mati terkejut atau kerana penyakit misteri
disebabkan kejahatan mereka. Sebaliknya kaum Muslimin yang berjihad
dan menghapuskan kedua-duanya di medan pertempuran.

Islam meminta usaha, bukan menunggu tindakan Allah tanpa usaha. Firman
Allah mengenai cabaran musyrikin terhadap Nabi SAW, maksudnya: Dan
mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai
Muhammad), sehingga engkau memancarkan bagi kami mata air dari bumi.
Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan
anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya
dengan aliran yang terpancar terus-menerus. Atau engkau gugurkan
langit berkeping-keping ke atas kami, sebagaimana yang engkau katakan
(akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat
untuk kami menyaksikannya. Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah
rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan
kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit
sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami
membacanya.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini
hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?". Dan tiadalah yang
menghalang orang musyrik itu dari beriman ketika datang kepada mereka
hidayah petunjuk, melainkan (keingkaran mereka tentang manusia menjadi
Rasul, sehingga) mereka berkata dengan hairan: "Patutkah Allah
mengutus seorang manusia menjadi Rasul?" (Surah al-Isra`: 90-94).

Demikian Baginda SAW sendiri mampu membuat apa yang dicabar tanpa
keizinan Allah. Mereka meminta langit berkeping-keping turun ke atas
kepada mereka, namun menjawab "Aku hanya seorang insan yang diutuskan
menjadi rasul". Allah SWT Yang Maha Bijaksana tidak pula memusnahkan
kaum musyrikin dengan apa yang mereka minta, sebaliknya dijadikan
kemusnahan mereka melalui sebab perjuangan golongan yang beriman.

Apa yang pelik sesetengah ustaz atau penceramah agama itu membawa
cerita yang jauh berbeza dengan tabiat sirah Nabi dan sahabat.
Kononya, orang ini mayatnya jadi begini kerana tidak datang masjid
atau kerana terlalu kedekut dan seumpamanya. Yang ini pula tangannya
lumpuh atau berpenyakit badan kerana tidak mahu pergi haji. Mereka
mengandaikan perkara yang tidak pasti.

Boleh jadi seseorang yang sakit itu kifarah Allah ke atasnya kerana
dosa tertentu. Namun boleh jadi juga di atas hikmah yang lain. Ramai
orang salih juga sakit. Adapun cerita mayat jadi itu dan ini,
kebanyakan andaian atau tokok tambah.

Apa yang membimbangkan, ada media massa yang mengambil kesempatan lalu
menjadikan tajuk sebegini sebagai penarik pembaca setiap keluarannya.
Sehingga seorang Cina yang bukan Muslim membaca dan berkata: "Teruknya
orang Melayu, mati macam-macam jadi. Kita orang Cina, Melayu cakap
kafir pun tak jadi ini macam. Kalau macam ini tak boleh masuk Melayu
punya agama laa. Bahaya! Nanti tuhan selalu marah punya, mati pun tak
boleh senang".

Nyata, kadang-kala Islam Melayu merosakkan kefahaman orang lain.
Sepatutnya kesemua ustaz mengajar secara ilmiah dengan rujukan yang
muktabar dan diyakini. Bukan mereka cipta atau mengutip cerita jalanan
untuk popular.

Jumlah orang Melayu yang terbabit dengan dadah jauh lebih banyak
daripada Cina. Sehingga saya begitu pelik, jumlah orang Melayu di
Singapura lebih sedikit daripada orang cina, namun begitu, jumlah
mereka yang terbabit dengan benda haram itu tetap dipegang rekodnya
oleh orang Melayu. Bagaimana Islam hendak dikembangkan?.

Banyak lagi kalau hendak diperkatakan. Sehinggakan saya terfikir,
kalaulah Melayu tidak memiliki akidah Islam, tiada apa lagi yang
istimewa untuk dibanggakan. Kalau orang Cina mendapat akidah Islam
sahih, banyak perkara yang mereka miliki membantu kekuatan Islam.
Justeru, menjadi tanggungjawab kita berusaha mengislamkan majoriti
orang Cina. Biar mereka kuasai negara ini, asalkan mereka mukmin yang
beriman kepada seluruh ajaran Islam.

Dengan sedar saya katakan setiap bangsa ada kekurangan dan kelebihan.
Bukan tidak ada sifat Melayu yang baik, banyak juga. Bukan tidak ada
sifat Cina yang buruk, ada. Namun orang Melayu yang kebanyakan
dianugerahkan Allah dengan agama Islam, sepatutnya menonjolkan ciri
baik lebih jelas dan nampak dibandingkan orang Cina. Namun realiti
menunjukkan sebaliknya.

Penulis adalah Mufti Kerajaan Perlis



--------------------------------------------------------------
Website: http://www.rantaunet.org
=========================================================
* Berhenti (unsubscribe), berhenti sementara (nomail) dan konfigurasi 
keanggotaan,
silahkan ke: http://rantaunet.org/palanta-setting
* Posting dan membaca email lewat web di
http://groups.yahoo.com/group/RantauNet/messages
dengan tetap harus terdaftar di sini.
--------------------------------------------------------------
UNTUK SELALU DIPERHATIKAN:
- Hapus footer dan bagian yang tidak perlu, jika melakukan reply.
- Posting email, DITOLAK atau DIMODERASI oleh system, jika:
1. Email ukuran besar dari >100KB.
2. Email dengan attachment.
3. Email dikirim untuk banyak penerima.
================================================

Kirim email ke