Oleh Annual Bakri Haron PERTEMUAN rasmi antara Menteri Besar Kelantan dengan rombongan delegasi dari Commonwealth Parlimentarian Organisation (CPO) pada pagi 15 Julai 2006 yang diketuai Sir John Butterfill rupanya melebihi dari sesi ta'aruf ringan "get to know" yang biasa.
Apa yang istimewa ialah pertemuan yang turut disertai oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan itu sempat menemukan dua pihak yang saling ingin tahu untuk saling bertanya khabar dan bertukar-tukar fikiran darihal agama dan rintangan pelaksanaan demokrasi di Kelantan dan Malaysia amnya. Namun, matlamat asal lawatan yang bertujuan memahami dan mempelajari sistem perhubungan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri masih tetap diberikan perhatian. Dari perkara-perkara rutin yang menyentuh keperluan sokongan infrastruktur lanjut untuk memperkukuhkan lagi daya hayat pembangunan ekonomi Kelantan seterusnya seperti keperluan memodenkan lagi Lapangan Terbang Pengkalan Chepa, Pelabuhan Perikanan Tok Bali serta kemungkinan pembinaan sebuah pelabuhan terbuka yang semua sekali telah, sedang dan berada di pelbagai peringkat perancangan dan pelaksanaan. Tumpuan perbualan rasmi di JKR 10 itu turut menyentuh perkara-perkara mengenai prinsip dan pelaksanaan demokrasi berteraskan Islam dan falsafah perbezaan asas antara perjuangan Umno dan PAS. Dalam hubungan ini, Tuan Guru Dato' Menteri Besar menjelaskan Islam yang sedang dibangunkan oleh kerajaan Negeri Kelantan sejak dari tahun 1990 meletakkan Al-Quran dan Hadis sebagai asas kepada semua dasar yang dilaksanakan. Ini sebagai respon kepada kecenderungan soalan yang kelihatan agak memerlukan penjelasan. Menurut Tuan Guru, asas kehidupan manusia sepatutnya berkisar di sekitar persoalan siapa yang menjadikan dan memiliki alam ini. Tidak mungkin ia terjadi dengan sendiri. Tidak mungkin kita sendiri membuat kita dan tidak mungkin alam membuat alam. Kedua-duanya mustahil. Selaku yakni Yang Maha Pencipta, Allah; yakni Tuhan yang Maha Pemilik tentu selayaknya mempunyai hak mutlak untuk menentukan segala peraturan seperti yang terkandung keseluruhannya di dalam siri himpunan wahyu terakhir yang telah di terima dan di sampaikan oleh Nabi Muhamad s.a.w. Alangkah indahnya jika orang-orang Eropah dapat bersama untuk berkongsi pengabdian dalam agenda kerohanian yang seindah ini. Hatta, jika disemak fakta sejarah sekali pun, masyarakat Eropah telah menerima kenabian Isa Alaihissalam yang mendahului umat Islam. Kerasulan Nabi Muhamad s.a.w muncul lebih lewat dari Nabi Isa kira- kira 700 tahun kemudian. Jika di ikutkan lojik, kalau orang Eropah boleh menerima Nabi Isa a.s yang membawa kitab Injil dari langit dan Tuhan yang sama, tiada sebab mereka tidak boleh berfikir dengan lebih mendalam untuk terus menyambung keimanannya dengan menerima Muhamad s.a.w? Lagi pun, fakta mengenai turunnya Muhamad s.a.w sebagai Nabi akhir zaman dan menjadi penyudah sekalian nabi-nabi ada turut dijelaskan di dalam kitab Injil asli. Seterusnya, Tuan Guru menekankan, sepatutnya masyarakat Eropahlah bangsa yang berada di hadapan dan selayaknya mendukung dan memimpin dunia dengan risalah Islam ini. Di peringkat ini, para delegasi banyak termenung, tafakkur dan kelihatan agak lama berfikir. Sambil membiarkan "mood" berfikir itu berjalan dalam keadaan diam buat seketika, Tuan Guru mengizinkan topik pertanyaan beralih kepada amalan demokrasi di Malaysia. Menjawab satu soalan tentang peluang Parti Islam memenangi pilihan raya dalam sesi pemilihan 2007/8 akan datang, Tuan Guru menjawab ringkas bahawa sangat cerah jika demokrasi diamalkan dalam acuan asal sepenuhnya seperti yang kita sama-sama pelajari di universiti. Media diberi kebebasan untuk melapur. Radio dan telivisyen memberi "air time" yang saksama. Akhbar Harakah dan lain-lain lidah rasmi pembangkang diberikan hak menerbitkan pandangnan alternatif lapan kali sebulan seperti yang pernah dinikmati oleh PAS sedikit masa lalu. Mansuhkan semua akta drakonian meliputi ISA, AUKU dan OSA, serta semak semula semangat dan kandungan Akta Mesin Cetak, Akta Polis, Akta Rahsia Rasmi, dan Akta Hasutan. Di samping itu, berikan hak kebebasan kepada Badan Pencegah Rasuah, Suhakam dan SPR berfungsi secara profesional sepenuhnya. Malangnya, ini tidak berlaku sedangkan inilah syarat-syarat asas untuk sebuah pemulihan demokrasi di Malaysia. Jika tidak, parti pembangkang akan tetap menyertai perlawanan yang berat sebelah ini walaupun hampir sahlah yang jalan ke hadapan itu amatlah sukar. Ditanya tentang keyakinan terhadap demokrasi, Tuan Guru menjawab bahawa setakat ini, demokrasi adalah doktrin terhampir yang boleh menghantar risalah Islam kepada umat manusia. Di dalamnya ada jaminan hak untuk berbeda pendapat, hak bersuara, hak untuk berhimpun dan menyatakan protes secara aman, hak untuk didengar, diwakili dan diadili di mahkamah serta hak untuk mengundi dan menentukan kerajaan yang sah. Soal amalan demokrasi yang disalahgunakan oleh pengkhianat demokrasi untuk membunuh demokrasi di Malaysia inilah yang menjadi tanggungjawab pembangkang yang sedang dipikul dan diperjuangkan. Tumpuan perbincangan juga turut dicuri untuk memancing sikap Kerajaan Kelantan berkaitan dengan isu kekecohan di Selatan Thai. Dalam konteks ini, delegasi di maklumkan bahawa sebarang pendirian rasmi diplomatik dua hala bersifat "G to G",ia adalah urusan "Kuala lumpur Bangkok" dan bukan "Bangkok -Kota Bharu." Namun, tidak siapa boleh menyekat mengalirnya sentimen dan rasa simpati kemanusiaan semulajadi dari bergerak terus-menerus berasaskan tabi'e komunikasi lazim "people to people." Demikian juga dengan hubungan diplomatik dengan lain-lain kerajaan serantau yang boleh membantu pembentukan dan perimbangan politik setempat serta kestabilan regional. Ia berada di bawah bidang kuasa kerajaan Pusat di Wisma Putra secara langsung. Walaubagaimana pun, sekali lagi itu tidak pernah menghalang Kelantan dari terus menghantar misi-misi dagang untuk menarik pelaburan asing kedalam Negeri. Demikian juga dari hal Islam vs kebebasan beragama. Delegasi dipelawa ke Tumpat untuk menyaksikan secara "live" kewujudan patung-patung Budha samaada berdiri, duduk atau berbaring. Bahkan, di hujung bulan ini, satu rombongan sami-sami Budha telah menyatakan hajat untuk melakukan ziarah ke atas Menteri Besar. Kini, kami sedang bersiap-siap untuk menyambut saudara kami biarpun berlainan agama dengan hati yang sentiasa terbuka justeru inilah Islam sebenarnya. Di samping itu, perbualan menjadi semakin santai apabila ia beralih kepada isu-isu pembangunan dan sosio ekonomi. Tuan Guru turut membayangkan perihal seriusnya memikirkan kemungkinan Segenting Kra di buka seperti Terusan Suez. Jika ini berlaku, Kelantan akan berada di laluan selat terbuka yang sangat strategik. Di ketika itu, peta pergerakan dagang berasaskan laluan maritim akan seratus peratus bertukar dan mampu membawa rahmat "comparative advantage" yang tidak sedikit kepada Kelantan. Kini, terdapat tidak kurang dari tiga pihak yang telah mengangkat cadangan bagi merealisasikan sebuah pelabuhan di Kelantan. Tentang kedudukan diskriminasi gender di Kelantan, Tuan Guru menjawab dalam nada mempelawa delegasi ke pasar Siti Khadijah untuk menyaksikan sendiri apa yang sedang dilakukan oleh wanita-wanita Islam dan bukan Islam dalam Negeri. Sama ada mereka sedang ditindas atau sedang asyik menghirup udara kebahagiaan Islam yang sedang disediakan melalui saluran demokrasi oleh kerajaan; "maka kami dengan ini membuka diri kami untuk disukat dan diuji". Demikian saya seakan-akan terdengar bunyi selontar mesej dari sekeping kad jemputan penuh keyakinan dari suara hati Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Di hujung sesi, kami dapat saksikan segaris cahaya ceria penuh kepuasan di kening setiap perwakilan. Rupanya, orang-orang berkulit putih itu amat menghargai penjelasan yang di pungut terus dari `the horses mouth." Membaca bahasa penerimaan mereka yang jujur itu, Tuan Guru lantas berjenaka dengan mengatakan bahawa: "jika demikian, maka saya yakinlah yang saya telah lulus temuduga ini." Kamar pertemuan yang hening itu tiba-tiba saja saya lihat cuba menghadiahkan seberkas mawar kembang kepada seorang tua yang bersahaja tetapi cukup tinggi daya makrifat dan pertimbangan "wisdom"nya. //Hrkh ------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> Great things are happening at Yahoo! Groups. See the new email design. http://us.click.yahoo.com/TISQkA/hOaOAA/yQLSAA/ZP59lB/TM --------------------------------------------------------------------~-> Yahoo! Groups Links <*> To visit your group on the web, go to: http://groups.yahoo.com/group/perakan/ <*> To unsubscribe from this group, send an email to: [EMAIL PROTECTED] <*> Your use of Yahoo! Groups is subject to: http://docs.yahoo.com/info/terms/
