KOTA BAHARU, 25 Julai -- Akhbar baru, Sinar Harian, yang akan
diterbitkan 31 Julai ini, akan memberi tumpuan kepada perkembangan
semasa di negeri-negeri Pantai Timur dalam liputan beritanya, kata
Abdul Jalil Ali, ketua pengarang Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd yang
menerbitkan harian itu.
Katanya akhbar dalam bentuk kompak dengan 48 halaman itu akan diedar
secara percuma selama tiga hari, dan pada harga 50 sen sepanjang
dalam tempoh promosi, yang belum ditetapkan lagi, sebelum dijual pada
kadar yang sama dengan akhbar lain.
Beliau memberitahu Bernama bahawa pelbagai promosi dibuat melalui
iklan dan siaran di stesen radio tempatan sempena penerbitan akhbar
itu.
Bagi memudahkan orang ramai mengenali akhbar itu, kenderaan setiap
wartawannya mempunyai pelekat logo akhbar itu.
Pejabat akhbar itu terletak di kawasan perindustrian Pengkalan Chepa
di sini. Ia mempunyai lapan wartawan di Kota Baharu selain seorang di
setiap 10 jajahan di Kelantan.
Beliau berkata tiga wartawan turut ditempatkan di Kuala Terengganu
selain seorang di setiap daripada tujuh daerah di Terengganu bagi
memberi liputan mengenai pelbagai aspek kehidupan rakyat di kawasan
pantai timur.
"Bagi operasi di Pahang, ia akan dibuat secepat mungkin," katanya.
Abdul Jalil berkata pengurusan syarikat mengambil keputusan
menerbitkan akhbar itu di kawasan Pantai Timur kerana terdapat masih
banyak aspek di kawasan itu yang belum dieksploitasi sepenuhnya.
"Mengikut kajian kami, minat membaca di kalangan rakyat di Pantai
Timur adalah tinggi," katanya.
Hasil jualan penerbitan syarikat itu terutama di Terengganu meningkat
berbanding di kawasan tengah seperti Lembah Klang.
Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd (KKSB) ditubuhkan pada 1977 dengan
penerbitan buku sulungnya Sejarah Melayu, Satu Ulasan dan Kajian.
Pengalaman luas selama 23 tahun dalam bidang penerbitan menjadikan
syarikat itu sebagai satu daripada gergasi penerbitan di Malaysia
dengan menerbitkan majalah-majalah untuk pelbagai peringkat umur
pembaca.
Kumpulan itu kini menerbitkan 31 jenis majalah dan akhbar tabloid
seperti Bacaria.//Bernama
Yahoo! Groups Links
<*> To visit your group on the web, go to:
http://groups.yahoo.com/group/perakan/
<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
http://docs.yahoo.com/info/terms/