Oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat  

SARANAN berbunyi, `tutup semua disko elak dadah berleluasa' - (Berita 
Harian 21 Ogos 2006) sekali lagi menggambarkan betapa cemasnya 
keadaan gejala sosial di Malaysia.  Mahaguru seni silat pun sudah 
tidak tahan menepis ancaman dadah sehingga secara terbuka menyarankan 
kerajaan untuk menutup semua disko. 
Mahaguru itu sebenarnya menggesa kerajaan Umno kerana Ipoh itu 
dikuasai oleh  parti kebangsaan Melayu sejak dulu lagi. Jika dalam 
ilmu silat,  saranan guru silat ini adalah satu tumbukan sendeng yang 
sekaligus menyergah Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, 
menteri-menteri dan Menteri-menteri Besar Umno di mana-mana.

Bagi Kerajaan Kelantan, PAS telah 16 tahun menutup disko dan kelab-
kelab malam.  Maknanya, sudah 16 tahun Kerajaan Islam yang dipimpin 
oleh PAS  di Kelantan telah berfikir 16 batu jauh ke hadapan.   

Sementara pemimpin Umno sedang ditegur oleh Mahaguru Pertubuhan Seni 
Silat, PAS sudah menyibukkan diri rakyatnya dengan "night life" 
alternatif dalam bidang perniagaan.   

Ini boleh disaksikan dengan kesibukan suasana perniagaan di Wakaf Che 
Yeh misalnya yang tidak pernah tidur. Ia sarat dengan aktiviti goreng 
mee, lelong batik dan kuali tomyam yang sentiasa mendidih panas 
berasap.

Memang telah lama Kerajaan Kelantan menyedari bagaimana kelab-kelab 
disko ini menjadi tempat bersarangnya segala maksiat.  Arak, judi, 
perempuan, dadah, rasuah, gam untuk dihidu dan pil-pil khayal.    


Inilah tempat sindiket mengadakan temujanji,  berunding dan bertukar-
tukar bungkusan.   Telur-telur ini boleh pula menetaskan perkelahian 
puak.   

Maka subur pulalah budaya samseng, belasah, kongsi cerah dan kongsi 
gelap  yang akan membuahkan pula seribu satu macam  gaya hidup yang 
anti akhlak.

Dalam hal ini,  Umno sedang buat apa?   Tidak terlintas lagikah untuk 
kembali kepada penyesalan dan penyelesaian seperti yang disarankan 
oleh Allah S.W.T.  Selaku Tuhan Yang Maha Bijaksana,  Allah telah 
turunkan satu set disiplin yang boleh memimpin.  

Ia bukan sebuah manual untuk menyusahkan kita dan boleh membawa 
celaka kepada sesiapa.  Firman Allah S.W.T.  yang bermaksud, "Kami 
tidak menurunkan Al-Quran ini kepadamu agar kamu menjadi celaka 
(susah)." - (Thaahaa:  Ayat 2).

Untuk pengetahuan Umno,  mengurus insan berlainan daripada 
menguruskan sebuah kilang.  Insan mempunyai jisim dan roh.  Ia 
bersepadu seperti gula dengan manis dan garam dengan masin, maka 
unsur jisim dan roh adalah suatu yang bersatu.   

Memisahkan salah satu darinya akan menimbulkan ketempangan kepada 
pembangunan rakyat.   Tidak masuk akal sama sekali bagi pemimpin 
kebangsaan untuk meninggalkan Islam dan seluruh akhlak yang talah 
dipimpin oleh Islam dalam membangunkan insan.  

Dalam Islam, kepimpinan sebegini disebut sebagai kepimpinan yang 
sesat. Ia sebuah dholalah. Dalam Surah Al-Faatihah ia telah dilafaz 
dengan terangnya berbunyi,  "Wa laddhaalliin." 

Jika Umno buntu sangat (katakan) untuk mencari formula, cuba arahkan 
JAKIM atau IKIM  untuk menyiapkan kajian.   Minta mereka sediakan 
satu formula yang diteraskan kepada akhlak Islam jika benar-benar 
jujur untuk mencari penyelesaian.  

Saya khuatir rakyat boleh bersangka buruk terhadap kerajaan Umno 
iaitu 'jangan-jangan Kerajaan Umno ini sengaja menternak dan 
menyuburkan maksiat untuk melekakan golongan remaja.'  

Jangan-jangan jika Umno melahirkan generasi yang berakhlak dan 
memahami tuntutan Islam yang sebenar,  ia dikhuatiri boleh 
menjejaskan sokongan terhadap pemimpin dan parti Umno dalam pilihan 
raya.

Begini,  sudahlah.  Jika perlukan PAS  untuk bertukar-tukar fikiran 
dalam soal ini, kami sekali lagi bersedia untuk membantu.   Hantarlah 
surat jemputan bila-bila masa.  

Jika malam sekali pun, saya sanggup untuk ke rumah Presiden Umno 
untuk berbincang soal akhlak anak muda dan penyelesaiannya.  Cubalah  
jemput jika tidak percaya.//Hrkh




 







 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke