KOTA BHARU, 5 Sept - Kerajaan Kelantan turut mencadangkan yuran bagi 
peperiksaan sekolah agama di bawah kendalian Yayasan Islam Kelantan 
(Yik) dimansuh, biar pun ia melibatkan kehilangan hasil sebanyak 
RM1.2 juta. 
Peperiksaan yang dikendalikan Yik iaitu Penilaian Menengah Rendah 
Ugama (PMRU), Sijil Menengah Ugama (SMU), Sijil Tinggi Menengah Quran 
(STMQ) dan Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP).

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi, 
Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri akan membincangkan 
secara lanjut perkara itu pada mesyuarat Exco akan datang.

?Saya sudah mengadakan perbincangan awal dengan Menteri Besar 
mengenai perkara itu dan kita akan putuskan pada mesyuarat Exco 
terdekat ini,? katanya selepas perasmian sambutan Hari Yik 2006 di 
Balai Islam, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Dato? Seri Abdullah Ahmad Badawi 
ketika membentang Bajet 2007 mengumumkan pemansuhan yuran bagi 
peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian 
Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil 
Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Mohd Amar berkata, cadangan itu dibuat selaras dengan pemansuhan 
yuran bagi peperiksaan yang dikendalikan di bawah Kementerian 
Pelajaran.

Sebelum itu ketika berucap katanya, kerajaan negeri juga akan 
dicadang membayar bonus kepada kakitangan Yik yang melibatkan 
peruntukan kira-kira RM3 juta.

?Kita meminta kerajaan negeri turut meluluskan bonus kepada 
kakitangan di bawah Yik termasuk guru-guru dan dibayar menjelang 
sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti,? katanya.

Beliau juga memberitahu kerajaan negeri bercadang mewujudkan kolej 
khas bagi menempatkan pelajar-pelajar yang bakal menduduki 
peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan STPM.

Katanya, pelajar-pelajar tersebut akan dikumpulkan di satu sekolah 
yang mungkin akan dikenali sebagai kolej Yik bagi memastikan kualiti 
akademik pelajar terbabit terjamin.

Kata beliau, sebelum ini pelajar-pelajar yang bakal menduduki STAM 
dan STPM belajar bertaburan di banyak sekolah di bawah kendalian Yik.

Selain itu beliau juga berkata, mulai tahun ini Yik memilih 27 guru 
untuk diserap ke jawatan tetap tidak berpencen yang mulai 
berkuatkuasa 1 Januari lalu.

?Buat permulaan kita memilih 27 guru terlebih dahulu. Kerajaan negeri 
sebenarnya melulus untuk melantik seramai 40 guru ke skim tersebut 
setiap tahun yang akan dilaksanakan sepenuhnya tahun depan.

?Usaha ini dibuat memandangkan permohonan Yik kepada Jabatan 
Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mewujudkan 500 jawatan tetap berpencen 
belum lagi mendapat kelulusan jabatan berkenaan.

?Usaha untuk mewujudkan jawatan tetap berpencen dilakukan secara 
serius mulai tahun lepas, namun sehingga sekarang belum mendapat 
sebarang jawapan daripada JPA,? katanya. 

Mohd Amar juga berkata, kampus tetap Maahad Tahfiz Sains yang sedang 
dibina di Kampung Pasir Genda, Tanah Merah akan mulai beroperasi 
Januari tahun depan.

Katanya, sehingga kini lebih 95 peratus pembinaannya sudah siap yang 
melibatkan peruntukan keseluruhannya sebanyak RM11 juta. 

Pengarah Yik, Haji Abdul Wahad Awang berkata, kerajaan negeri 
memperuntukkan sebanyak RM52 juta setahun bagi perbelanjaan mengurus 
Yik dan jumlah itu belum termasuk peruntukan pembangunan.

Menurutnya juga, sekolah-sekolah agama Yik mencatat kejayaan akademik 
dan kokurikulum yang memberangsangkan tahun lalu, antaranya 22 
sekolah mendapat kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan SPM.

?Pada tahun ini juga seramai 800 pelajar lepasan sekolah agama Yik 
berjaya melanjut pengajian ke institusi pengajian tinggi awam di 
dalam dan luar negara,? ujarnya.

Menteri Besar melahirkan rasa dukacita kerana masih ada orang yang 
memperlekehkan agama Islam di negara ini, ekoran keengganan mereka 
menerima pendidikan bersepadu di antara rohani dan jasmani. 

?Ia sama seperti orang yang hanya menggunakan mata sebelah, telinga 
sebelah dan buah pinggang sebelah sahaja. Macam mana mereka hendak 
hidup dengan selesa,? katanya.

Pada sambutan yang dihadiri ribuan guru Yik sehingga menyendatkan 
ruang Balai Islam, diisytiharkan bekas Mudir Maahad Muhammad 
Perempuan, Ustazah Mariam Omar dipilih sebagai Tokoh Pendidik Yik 
2006.

Manakala anugerah sekolah terbaik bagi kategori sekolah kawalan 
dimenangi Maahad Muhammadi Lelaki, kategori sekolah kerajaan ? Maahad 
Muhammadi Pasir Mas dan sekolah bantuan ? Maahad Darul Anwar Pulau 
Melaka.

Bagi anugerah khas peringkat kebangsaan pula dimenangi Munirah Mohd 
Nur dari Maahad Muhammadi Perempuan dan Abdullah Fahmi Che Sukri 
bekas pelajar Maahad Rahmah Kenali. Masing-masing menerima wang tunai 
sebanyak RM1,000.

Pelajar Mithali Lelaki 2005 pula dimenangi Mohd Tarmizi Mohd Apandi 
bekas pelajar Maahad Tahfiz al Quran Pulai Chondong dan kategori 
perempuan ? Nur Fatin Hanira Abdul Fatar, bekas pelajar Maahad 
Muhammadi Perempuan.//Hrkh 
    


 






 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 


Kirim email ke