Penumpang diingat beli daripada wakil penjual sah

KUALA LUMPUR: Tiket bas ekspres, kereta api dan penerbangan untuk 
perjalanan balik kampung ke kebanyakan destinasi sempena Deepavali 
dan Aidilfitri ini masih boleh dibeli di kaunter jualan seluruh 
negara.

Sehubungan itu, pengusaha perkhidmatan pengangkutan awam menasihatkan 
orang ramai supaya membeli tiket balik kampung mereka daripada wakil 
penjual yang sah dan tidak menggunakan perantaraan `ulat' bagi 
mengelak daripada tertipu.

Pengurus Besar Unit Perniagaan Strategik Perkhidmatan Antara Bandar 
KTM Bhd (KTMB), Sarbini Tijan, berkata pihaknya menyediakan tren 
tambahan bermula 16 hingga 29 Oktober bagi semua sektor bagi 
menampung keperluan balik kampung.

Katanya, KTMB menyediakan sebanyak 700 tempat duduk tambahan bagi 
sektor perjalanan Pantai Timur dan Utara serta 450 tempat duduk 
tambahan ke Selatan dalam tempoh itu, setiap hari.

"KTMB menerima permintaan paling tinggi bagi perjalanan dari ibu 
negara ke Kelantan sejak tiket dijual tiga minggu lalu tetapi masih 
ada yang belum dijual sehingga ini.

"Selain itu, tiket untuk perjalanan pergi balik ke kebanyakan 
destinasi kami di Utara dan Selatan juga masih banyak," katanya 
ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sarbini berkata, orang ramai juga boleh membuat tempahan tiket 
menerusi laman web atau mengunjungi terus beberapa kaunter jualan 
untuk membeli tiket perjalanan balik kampung musim perayaan ini.

"Kami ingin menasihatkan penumpang supaya membeli tiket perjalanan 
pergi balik bagi mengelakkan sebarang kesukaran. Ini kerana banyak 
tiket balik ke ibu negara juga sudah dijual," katanya. 

Sarbini berkata, KTMB turut meningkatkan bilangan pegawai operasi dan 
keselamatan untuk memantau stesen kereta api di seluruh negara bagi 
memastikan kelancaran perjalanan serta keselesaan penumpang. 

Jurucakap Penerbangan Malaysia (MAS) pula berkata, pihaknya 
menyediakan 31 penerbangan tambahan dari 20 Oktober hingga 30 Oktober 
ini bagi laluan domestik dan antarabangsa sempena musim perayaan.

Katanya, penerbangan tambahan itu dijangka menampung pertambahan 
permintaan perjalanan antara destinasi dalam negara selain ke Medan, 
Indonesia sepanjang musim perayaan berkenaan.

"MAS turut menyediakan keupayaan tempat duduk tambahan bagi 
perjalanan domestik sepanjang tempoh puncak itu dan akan terus 
menawarkan pakej tambang promosi sedia ada," katanya. 

Pengurus Operasi Terminal Transnasional Ekspres Sdn Bhd 
(Transnasional), Noor Azmi Nordin, berkata pihaknya menjadualkan 
hingga 250 perjalanan membabitkan semua destinasi bas ekspresnya 
setiap hari di seluruh negara sempena musim perayaan ini.

Bagaimanapun, katanya tiket bagi perjalanan bermula 18 hingga 23 
Oktober ini ke destinasi Pantai Timur seperti Kuantan, Dungun, Kuala 
Terengganu, Marang, Kota Bharu dan Kerteh sudah habis dijual.

Katanya, tambahan tiket sebanyak 10 peratus yang dibuat oleh 
Transnasional bagi perjalanan untuk sektor Pantai Timur dalam tempoh 
berkenaan juga habis dijual, manakala bagi Selatan dan Utara 
bergantung kepada jumlah permintaan.

"Tiket bagi destinasi ke utara termasuk Kangar dan Alor Star 
kebanyakan habis dijual bagi tempoh sama tetapi bagi tarikh lain, 
tiket perjalanan ke utara dan selatan masih boleh dibeli bila-bila 
masa," katanya.

Katanya, Transnasional juga buat pertama kalinya akan membuka kaunter 
jualan tiket pada hari raya pertama dan kedua mulai jam 10 pagi 
hingga 10 malam. 

Selain kaunter jualan di Puduraya, orang ramai boleh mendapatkan 
tiket di Hentian Duta, Hentian Putra, Datuk Keramat, Medan Mara di 
Jalan Raja Laut, Ampang dan Greenwood, Gombak. 

Pengurus Suasana Jelita Sdn Bhd, Mohd Kaharrudin Salleh, berkata 
orang ramai masih boleh membeli tiket perjalanan ke destinasi di 
Utara atau Selatan bagi musim perayaan ini di kaunter jualan syarikat 
itu.

"Kami nasihatkan orang ramai supaya tidak tergesa-gesa membeli tiket 
daripada ulat kerana kebanyakan syarikat bas masih menjual tiket ke 
utara dan selatan selain menjadualkan bas tambahan," katanya.//BHarian






 
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/perakan/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    mailto:[EMAIL PROTECTED] 
    mailto:[EMAIL PROTECTED]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 



Kirim email ke