Bachok: Tindakan seorang pelajar bermalam di asrama sekolah bagi memudahkannya membuat persiapan terakhir menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berakhir tragedi apabila dia maut dalam kemalangan di Kampung Teratak Pulai, dekat Pauh Lima, Bachok, awal pagi semalam.
Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama Nipah, Bachok, itu terbunuh selepas motosikal ditunggangi bersama rakannya terbabas sebelum merempuh pokok gajus. Mohd Alimie Rasid, 18, dan rakan dipercayai keluar dari asrama sekolah untuk ke kedai makan selepas mengulangkaji pelajaran. Mereka dikatakan keluar kira-kira jam 3 pagi apabila lapar dan penat mengulangkaji pelajaran sejak ke asrama kira-kira jam 9 malam kelmarin. Ibu mangsa, Habsah Majid, 41, berkata dia terkejut selepas menerima berita yang menimpa anak sulungnya itu. "Saya tidak sangka usaha arwah mengulangkaji pelajaran bersama rakan di asrama sebagai persediaannya menghadapi SPM berakhir dengan kejadian ini. "Dia bersungguh-sungguh minta untuk tinggal di asrama kerana lebih mudah untuk belajar," katanya ketika ditemui perkarangan Unit Forensik di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, semalam. Menurutnya, dia sempat lihat anaknya keluar rumah ke asramanya selepas solat Isyak kira-kira jam 9 malam sambil membawa beg pakaiannya. "Saya sempat bertanya bila dia akan pulang semula, sebelum dia jawab tidak tahu lagi. "Tanpa bercakap banyak, dia terus keluar rumah dengan menunggang motosikal ke asrama," katanya. Dalam kejadian itu, Mohd Alimie disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan kecemasan di HUSM kerana parah di kepala dan cedera dalaman. Rakannya yang masih belum dikenal pasti identiti hanya cedera ringan. Mangsa dikatakan gagal mengawal motosikalnya sebelum merempuh pokok gajus itu selepas keadaan jalan di kawasan itu licin berikutan hujan. Menurut Habsah, anak sulung lima beradik itu seorang yang baik dan menjadi harapan keluarga untuk mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Dia mahu anaknya itu menjadi contoh kepada adik lain, sekali gus melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi lagi. Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Nazely Md Said, mengesahkan kejadian itu dan pihaknya menerima panggilan dari HUSM mengenai kematian mangsa, kira-kira jam 6.15 pagi. Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa dan rakannya itu menunggang motosikal dari arah Perupok ke pekan Bachok. "Motosikal mangsa dipercayai terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh pokok gajus. "Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.//HMetro
