KOTA BHARU: Seorang remaja maut apabila motosikal yang ditunggangnya 
secara berbahaya ketika bersaing dengan seorang rakan, merempuh 
belakang sebuah kereta dekat Peringat di sini, awal pagi semalam.

Dalam kemalangan jam 12.30 pagi di depan rumah keluarganya di Kampung 
Bechah Kura itu, Mohd Khairul Mohd Ghani, 22, mati kira-kira jam 2.30 
pagi ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Universiti Sains 
Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Mangsa yang menunggang laju tanpa memakai topi keledar, cedera parah 
di kepala apabila tercampak serta tergolek kira-kira 30 meter sebaik 
merempuh belakang kereta yang dipandu lelaki berusia 31 tahun itu.

Pemandu kereta terbabit yang enggan namanya disiarkan, berkata sebaik 
menyedari mangsa merempuh belakang kereta Perodua Kancilnya, dia 
berhenti di tempat kejadian.

"Saya kemudian meminta bantuan beberapa rakan mangsa yang sedang 
menyaksikan mangsa dan rakannya bersaing di situ, membantu 
mengangkatnya masuk ke dalam kereta.

"Saya kemudian membawanya ke HUSM dengan menggunakan kereta yang 
remuk di bahagian belakang akibat dirempuh mangsa. Saya bernasib baik 
kerana tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu," 
katanya.

Mengenai kejadian itu beliau berkata, selepas melewati kumpulan 
pemuda bermotosikal yang berkumpul di tepi jalan itu, secara tiba-
tiba dia melihat menerusi cermin pandang belakang keretanya, dua 
motosikal sedang bersaing dengan aksi bahaya.

"Seorang penunggang memotong kereta saya di sebelah kanan sehingga 
menyebabkan saya menyisih ke kiri laluan. Ketika itu, secara tiba-
tiba seorang lagi penunggang merempuh bahagian belakang kereta saya 
sebelum dia tercampak dan bergolek atas jalan raya," katanya.

Pegawai Penyiasat Trafik Daerah, Cif Inspektor Zulkofli Said, 
mengesahkan kemalangan terbabit berlaku akibat penunggang motosikal 
bersaing sesama sendiri di jalan itu. 

Beliau berkata, setakat ini, rakan yang bersaing dengan mangsa 
sebelum kejadian itu, belum tampil membuat laporan bagi membantu 
siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 
Jalan 1987.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke rumah mayat HUSM untuk bedah siasat 
sebelum diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan petang 
semalam.//BHarian



Kirim email ke