PARAH: Mek Jah di kepala dan belakang
akibat diserang harimau ketika sedang menoreh
di Sungai Long dekat Jeli, pagi semalam.
JELI: Seorang wanita warga emas cedera parah diserang harimau ketika menoreh di
kebun getah kira-kira lima kilometer dari rumahnya di Kampung Sungai Long dekat
sini, semalam.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi, Mek Jah Ismail, 65, dikatakan
bergelut hampir 15 minit dengan harimau itu sebelum dapat menyelamatkan diri.
Dalam pergelutan itu, Mek Jah dikatakan sempat mencapai sebatang kayu dan
memukul haiwan berkenaan.
Mangsa yang cedera di kepala, leher, tangan serta belakang badannya, mendaki
bukit lebih 50 meter bagi mendapatkan bantuan rakan, Fatimah Omar, 43, yang
menoreh di kebun bersebelahan.
Mangsa dihantar ke Hospital Jeli sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan
Zainab II (HRPZII) kira-kira jam 4 petang semalam, untuk rawatan lanjut. Mangsa
menerima 20 jahitan dan keadaannya dilaporkan stabil.
Fatimah ketika ditemui berkata, mangsa dipapah sebelum dibawa ke rumah adiknya,
Senah Ismail, 56, dengan membonceng motosikal seorang penoreh.
Beliau berkata, sebelum ini mereka juga beberapa kali melihat kelibat harimau
dari jauh ketika menoreh.
Senah pula berkata, setiap pagi dia membonceng kakaknya ke kebun sebelum
berpisah di pertengahan jalan kerana kawasan menoreh berlainan.
Sejak menoreh di situ, saya dan kakak beberapa kali bertembung dengan kelibat
harimau yang berkeliaran di kawasan itu, katanya.
Beliau berkata, Mek Jah yang mempunyai lapan anak yang semuanya sudah
berkeluarga dan tinggal berasingan, mengambil upah menoreh bagi menyara hidup
bersama suaminya, Ismail Mamat, 82, yang lumpuh.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman
Negara (Perhilitan) Wan Azali Wan Alwi, berkata pihaknya akan memasang
perangkap mulai hari ini bagi menangkap haiwan itu.
"Kami akan bekerjasama dengan polis dan Rela. Kawasan itu dipercayai menjadi
habitat harimau kerana keadaan kebun yang semak.
"Sebelum ini, Perhilitan dengan kerjasama pelbagai pihak sudah memasang papan
tanda bagi mengingatkan penduduk supaya membersihkan kawasan kebun agar tidak
menjadi habitat harimau," katanya.
INFO
Kes serangan harimau
31 Julai 2000 - seorang lelaki, Mat Daud, mati dibaham harimau di Bukit Pedah,
Kuala Balah dekat Jeli.
8 Julai 2001 - seorang penduduk, Mohd Zaid Abdul Manas, mati diserang harimau
di Kampung Sungai Relak, Jeli.
5 Mei 2002 - seorang peneroka, Nik Mariam Ibrahim, mati dibaham harimau di
Felcra Berdang B, Jeli.
7 Julai 2002 - seorang penoreh, Siti Eshah Hamat, 48, ditemui mati dalam
keadaan ngeri dipercayai dibaham harimau di Kampung Jalan Malaysia, Jeli.
5 Ogos 2002 - seorang penoreh, Abdullah Mamat, 40-an, cedera parah di muka dan
kepala akibat diserang harimau di Kampung Sungai Satan, Air Lanas, Jeli.
26 Ogos 2005 - seorang penoreh, Rokiah Latif, 45, mati diserang harimau di
Kampung Pasir Dusun, Jeli.
//BHarian
Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com