KOTA BHARU: Selepas kejayaan menganjurkan konsert terbuka artis 
tempatan, Kerajaan Pas Kelantan kini bercita-cita membawa masuk artis 
Barat untuk membuat persembahan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan 
negeri, Takiyuddin Hassan, berkata kelonggaran membuat persembahan 
bukan saja untuk artis tempatan tetapi juga Barat asalkan mematuhi 
syarat.

"Persembahan itu tertakluk kepada pematuhan garis panduan ditetapkan 
kerajaan negeri seperti artis wanita hanya di tempat tertutup dan 
untuk penonton wanita saja.

"Artis lelaki pula dibenar membuat persembahan di tempat terbuka, 
tetapi tertakluk peraturan, termasuk lagu yang disampaikan tiada 
unsur pemujaan terhadap wanita.

"Cara berpakaian dan pergerakan artis juga diambil kira agar tidak 
menimbulkan kesan negatif kepada penonton yang perlu dikawal kerajaan 
bagi mengelak kejadian buruk," katanya selepas mesyuarat Exco di 
sini, semalam.

Takiyuddin berkata, persembahan artis di negeri ini dibenarkan untuk 
dianjurkan pada bila-bila masa tanpa terhadap kepada sambutan 
perayaan tertentu saja.

Beliau berkata, semua artis berpeluang mengadakan persembahan di 
negeri ini termasuk irama rock.

"Rock itu tidak semestinya negatif sebaliknya ia bergantung kepada 
mesej dan seni kata lagu yang disampaikan. Rock hanya satu irama 
seperti Jazz atau dangdut dan asli yang turut diminati golongan 
tertentu. 

"Lagu dibenarkan ketika konsert bergantung kepada seni kata selain 
mesej yang disampaikan, ia tidak boleh mengandungi unsur pemujaan. 
Ketika konsert Hotlink baru-baru ini, lagu Zakiah tidak dibenarkan," 
katanya.//BHarian


Kirim email ke