Pelik tetapi benar. Inilah realiti yang berlaku di Kelantan. Nama 
Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sudah diwarwarkan, malah 
kakitangan dan Naib Cancelornya juga sudah dilantik.

Hairannya, sehingga kini Menteri Besar dan kerajaan negeri langsung 
tidak diberitahu mengenai penubuhan universiti tersebut. 

"Sehingga kini saya tidak didatangi pihak pengurusan universiti 
berkenaan atau menteri yang terlibat," kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul 
Aziz Nik Mat, baru-baru ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi, 
Ustaz Mohd Amar Abdullah juga menghadapi situasi serupa. 

"Sebagai 'tuan rumah' maklumlah kepada kerajaan negeri atau sekurang-
kurang buat kunjungan hormat, kerana UMK akan dibina di negeri ini," 
katanya kesal. 

Sebelum ini UMK dikenali Universiti Kelantan Darulnaim tetapi ditukar 
kepada Universiti Malaysia Kelantan. Tidak diketahui dengan jelas 
bila pertukaran nama itu dibuat. 

Difahamkan, UMK kini menumpang sementara di Institut Pengurusan Kota 
Bharu bersebelahan dengan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di 
Pengkalan Chepa. 

Namun kampus tetapnya diuar-uarkan akan dibina di Tangok, Bachok dan 
Jeli. 

Difahamkan sehingga kini tiada permohonan rasmi bagi mengambil balik 
tanah di kawasan sekitarnya di Bachok atau Jeli bagi membolehkan 
kampus UMK dibina. 

Kecuali tanah lebihan daripada tapak asal Universiti Malaya yang 
diambil balik kerajaan pada 1982 di Tangok. Tapak Fakulti Islam UM 
itu kini sudah dibina dengan bangunan-bangunan sekolah, antaranya 
Sekolah Menengah Teknik, Sekolah Menengah Datuk Perdana, Sekolah 
Menengah Kebangsaan Tangok, SK Tangok, pusat kegiatan kokurikulum dan 
Institut Kemahiran Belia Negara. 

Lebihan kepada tapak yang belum digunakan sekitar 400 ekar. 
Bagaimanapun kampus induk di Tangok memerlukan lebih daripada jumlah 
tersebut. 

"Sedangkan permohonan bagi mengambil balik tanah di kawasan 
sekitarnya belum lagi kedengaran sehingga sekarang. Begitu juga 
dengan kampus kedua di Jeli. Sehingga kini belum lagi ada permohonan 
untuk mengambil balik tanah," kata Mohd Amar. 

Anggota Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah (JHET) Jajahan Bachok, Haji 
Huzaimi Che Hussin berkata, mesyuarat terakhir JHET Bachok pada awal 
Oktober lalu belum menerima sebarang permohonan bagi mengambil balik 
tanah untuk membina UMK. 

"Setakat ini belum ada apa-apa permohonan tanah untuk membina UMK di 
Tangok seperti diuar-uarkan pihak tertentu sebelum ini," ujarnya. 

Malah katanya, ketika lawatan Perdana Menteri ke Tangok sebelum ini, 
Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mengumumkan pembinaan kampus 
UMK di Tangok. //Mazlan Jusoh-Hrkh
 


Kirim email ke