KOTA BHARU: Kerajaan Pusat akan membina 58 projek infrastruktur 
membabitkan kos RM700 juta untuk kemudahan anggota polis di seluruh 
negeri ini sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Projek itu merangkumi pembinaan baru enam ibu pejabat polis daerah 
(IPD) termasuk perumahan pegawai dan anggotanya, 35 balai polis, 12 
pondok dan sebuah kem Pasukan Gerakan Am (PGA).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mohd Najib Abdul Aziz, berkata 
projek pembinaan IPD itu membabitkan Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, 
Pasir Puteh, Bachok dan Jeli.

"Ketika ini, pembinaan IPD Kota Bharu dan perumahan PGA sedang 
dilaksanakan dengan pembangunannya hampir 30 peratus dan dijangka 
siap Ogos tahun depan.

"Bagi mengelak sebarang masalah terhadap projek yang dirancang ini, 
kita sudah mendapatkan kerjasama dan sokongan kerajaan negeri 
terhadap projek yang dijalankan," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian sempena lawatannya ke Ibu 
Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, semalam. Kunjungannya 
disambut Ketua Polis Kelantan, Datuk Zulkifli Abdullah dan Timbalan, 
Datuk Abdul Rahim Hanafi.

Dalam lawatannya ke negeri ini, Mohd Najib turut menemui Setiausaha 
Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohd Aiseri Alias, membincangkan 
kerjasama kerajaan negeri bagi memastikan projek kemudahan polis itu 
berjalan lancar.

Mohd Najib berkata, hasil perbincangan itu, kerajaan negeri memberi 
jaminan akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan PDRM dalam 
melaksanakan pembangunan projek berkenaan.

"Kerjasama itu penting bagi mengelak sebarang masalah tidak diingini 
terutama berkaitan tanah sebagai tapak projek. 

"Berikutan peruntukkan besar disediakan kerajaan, kita berharap ia 
dapat dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan," katanya.//BHarian


Kirim email ke