GUA MUSANG: Seorang ibu muda yang dipatuk ular senduk, menggunakan 
badannya sebagai perisai untuk mengelakkan dua anaknya turut menjadi 
mangsa reptilia itu di rumah abang iparnya di Kampung Kolam Emas, 
dekat sini, tengah malam kelmarin.

Walaupun menahan sakit di betis kanannya, Suzuani Sulaiman, 22, cuba 
menggagahkan diri memeluk kemas Mohamad Alif Irfan Nozaidi, 18 bulan, 
dan Nur Aliana Nadira Nozaidi, empat bulan. 

"Saya dipatuk ketika tidur di atas lantai yang dilapik cadar toto. 
Alif dan Aliana tidur sebelah saya. Kerana bimbang anak-anak turut 
dipatuk, saya peluk mereka dengan erat. 

"Pada mulanya, saya sangka katak merayau di tempat tidur kerana ada 
sesuatu melekit dan menggelikan. 

"Bagaimanapun, tiba-tiba kaki saya sakit. Saya terus bangkit sebelum 
ternampak seekor ular senduk berhampiran," katanya ketika ditemui di 
Hospital Gua Musang (HGM), semalam. 

Menurutnya, dia lebih bimbangkan keselamatan dua anaknya berikutan 
ular terbabit masih berada berdekatan dengan tempat tidur mereka. 

Suzuani kemudian mengejutkan suaminya, Nozaidi Mohamad, 23, yang 
tidur dekatnya untuk mendapatkan pertolongan. 

"Suami saya cuba tangkap ular itu tapi gagal selepas ia menyusur dan 
menyelinap di kawasan gelap dalam rumah," katanya yang tidur di rumah 
itu kerana menemani anak saudara berikutan abang iparnya pergi ke 
Sekolah Menengah (SM) Sains di Labok, Machang.

Dia dipercayai tertidur kira-kira jam 10 malam selepas baring di 
ruang tamu ketika mengulit anaknya. 

Ular senduk sepanjang semeter itu dipercayai mematuk betis kaki kanan 
Suzuani selepas ditindih kakinya ketika menyusuri tempat tidur 
keluarga terbabit. 

Mangsa yang dikejarkan ke HGM kini dilaporkan stabil tetapi masih 
mendapat rawatan lanjut kerana kakinya masih bengkak. 

Suzuani berkata, ular berkenaan yang bersembunyi dalam rumah kemudian 
ditangkap abang iparnya.

"Saya tak sangka berlaku kejadian seperti ini. Kami kerap tidur di 
rumah abang ipar tapi tidak pernah nampak ular masuk ke dalam rumah.

"Tetapi, ngeri mengingatinya dan bersyukur kerana anak saya tak jadi 
mangsa ular. Keadaan mungkin lebih buruk lagi jika kedua-dua anak 
saya dipatuk," katanya.//HMetro

Kirim email ke