KOTA BHARU 18 Dis. – Dalam usaha memperlihatkan keterbukaaannya, kerajaan 
negeri Kelantan sedia membenarkan tari-menari diadakan dalam majlis keraian 
tetapi terhad kepada pasangan suami-isteri.
   
  Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, 
Takiyuddin Hassan bagaimanapun menegaskan, itu tidak bermakna kerajaan akan 
memberi kebenaran bagi pembukaan kelab malam atau disko.
  ‘‘Kerajaan negeri atau saya sendiri tidak pernah mengeluarkan kenyataan 
membenarkan disko ataupun kelab malam beroperasi di sini. Jika ada laporan yang 
menyatakan demikian ia tidak benar sama sekali dan mungkin bermotif tertentu,” 
ujarnya.
   
  Katanya, kerajaan negeri berpendapat tidak menjadi kesalahan sekiranya 
penganjur ingin mengadakan majlis tari-menari asalkan tidak melanggar peraturan 
yang ditetapkan.
   
  ‘‘Tiada masalah sekiranya ingin mengadakan majlis tarian tetapi biarlah yang 
tidak melanggar peraturan. Sebagai contoh, kita mungkin benarkan pengecualian 
terhadap pasangan suami isteri.
   
  ‘‘Tidak salah rasanya kalau suami ingin menari dengan isteri dalam satu-satu 
majlis yang dianjurkan. Bagaimanapun, kita akan kaji had dan batasan tertentu 
sebelum kebenaran diberikan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
   
  Menurut Takiyuddin, kerajaan negeri kini semakin bersikap terbuka dan telus 
dalam memberi hiburan alternatif kepada penduduk Kelantan.
   
  Sebagai contoh katanya, persembahan konsert terbuka dan tertutup wanita yang 
diadakan baru-baru ini menunjukkan Kelantan semakin ‘memihak’ kepada keperluan 
rakyat. 
   
  Katanya, keadaan itu turut menjurus kepada persembahan kebudayaan di zon 
kebudayaan yang akan ditetapkan lokasinya kelak.
   
  Beliau berkata, zon itu yang menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan akan 
menjadi medan pertemuan para pelancong yang berkunjung ke negeri ini.
   
  ‘‘Hiburan bentuk baru itu akan memberi ruang kepada penggiat seni untuk 
menampilkan keunikan seni warisan negeri ini. Seperti penggiat seni juga, saya 
pun sayangkan seni Kelantan tetapi biarlah ia tidak menyalahi kehendak agama,” 
ujarnya.//Utusan
  
 

 Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com 

Kirim email ke