KUALA LUMPUR, 10 Jan - Lima negeri mencatatkan peningkatan kes denggi 
dengan Kelantan merekod peningkatan tertinggi iaitu 77.8 peratus atau 
32 kes untuk minggu pertama tahun ini berbanding 18 kes di minggu ke-
52 iaitu minggu terakhir tahun 2006.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Ramlee 
Rahmat dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Selasa 
berkata Selangor pula terus mencatat jumlah teramai iaitu meningkat 
dari 471 kes kepada 562 kes.

Tiga negeri lagi ialah Pahang yang meningkat 34.3 peratus dari 35 kes 
kepada 47 kes, Negeri Sembilan (dari 20 kes kepada 26 kes) dan Sabah 
(dari 9 kes kepada 12).

Negeri-negeri lain, katanya, mencatat penurunan iaitu Perak menurun 
dari 60 kes kepada hanya sembilan kes, Terengganu (menurun dari 18 
kepada 10 kes), Sarawak (dari 45 kepada 27), Melaka (dari 22 kepada 
16), Pulau Pinang (dari 100 kepada 82 kes) dan Johor (dari 54 kepada 
48).

Turut mencatat penurunan ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu 
dari sembilan kes kepada lapan kes, dan Wilayah Persekutuan Kuala 
Lumpur yang menurun kepada 239 kes berbanding 247 minggu sebelumnya.

Dr Ramlee berkata secara keseluruhan minggu pertama tahun ini 
mencatat 1,155 kes disyaki denggi iaitu meningkat lima kes berbanding 
minggu terakhir tahun 2006.

Daripada jumlah itu, katanya, jumlah yang disahkan positif denggi 
adalah 250 kes.

Mengenai langkah yang diambil kementerian pula, Dr Ramlee berkata 
usaha-usaha mencegah telah dipertingkatkan khususnya di Selangor dan 
Kuala Lumpur yang mempunyai kes denggi yang tinggi serta di Johor 
yang baru mengalami kejadian banjir.

Kementerian juga, katanya, telah menggerakkan pasukan bantuan anggota 
kesihatan seramai 60 orang dari Perlis, Kedah, Perak, Terengganu dan 
Negeri Sembilan untuk membantu operasi kawalan denggi bersepadu 
bersama pihak berkuasa tempatan di Selangor bermula 5 Jan lalu.

"Pasukan bantuan anggota kesihatan juga telah dihantar ke Johor untuk 
membantu mencegah kejadian demam denggi selepas banjir," katanya.

Dr Ramlee berkata aktiviti penguatkuasaan terus diperhebat dan 80 
notis serta 101 kompaun telah dikeluarkan pada minggu lepas dengan 
nilai kompaun sebanyak RM21,350.//Bernama




Kirim email ke