KUALA LUMPUR, 2 Jan - Kelantan bakal menempa sejarah tersendirinya
apabila kerajaan negeri bersama Nisa' Malaysia dan Majlis Bandaraya Kota Bharu
(MPKB) akan menganjurkan Sukan Wanita Malaysia yang akan menghimpunkan seluruh
wanita pelbagai latar belakang di Stadium Sultan Mohamad IV Kota Bharu, pada 17
dan 18 Februari ini. Lebih istimewa lagi, program terbesar di Kelantan
bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2007 itu akan diserikan dengan
penampilan ratu pecut 200 meter Asia dari Bahrain, Ruqaya Al Ghasara.
Menurut Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Takiyuddin Hassan pihak penganjur telah
mendapat penajaan dari Mydin Store bagi membawa masuk pemenang pingat emas
Sukan Asia itu ke Kelantan. Ruqaya akan bersama-sama dalam majlis
perasmian yang akan disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato'
Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 17 Februari di Stadium Sultan Mohammad IV, katanya.
"Saya harap penampilan Ruqaya itu akan menjadi suntikan
kepada wanita-wanita terutamanya golongan muda di negara ini untuk maju dalam
bidang sukan meskipun dengan menutup aurat,"katanya ketika mengadakan sidang
media penganjuran sukan tersebut di sebuah hotel dekat sini hari ini.
Turut serta dalam sidang media itu ialah, Exco Pembangunan Wanita, Belia dan
Sukan Kelantan, Abdul Patah Mahmood; Pengarah Nisa' Malaysia, Mastura Mohammad;
artis nasyid seperti In-team, Akhbar dan Muadz. Menurut Takiyuddin, Ruqaya
telah membuktikan bahawa wanita Islam boleh maju dalam sukan dan ia menjadi
bukti bahawa Islam itu tidak pernah melarang penganutnya untuk bersukan kerana
ia adalah untuk kesihatan. Mengulas lanjut penganjuran sukan itu
Takiyuddin berkata, antara acara yang akan dianjurkan ialah pertandingan
futsal, badminton, bola jaring, boling dan bola tampar. Sukan ini
sepenuhnya akan dikendalikan oleh wanita dengan kepakaran pengadilan serta
teknikal dari beberapa persatuan sukan dan institut tertentu yang enggan
dinyatakan, katanya. Mengulas mengenai etika pakaian ketika sukan beliau
berkata, bagi Sukan Wanita Malaysia ini, kerajaan negeri tidak mengenakan
sebarang etika kerana sukan ini akan dikendali dan ditonton oleh wanita sahaja.
Meskipun dalam penganjuran yang akan melibatkan 1200 peserta dari seluruh
Malaysia ini turut disertai wanita bukan Islam, penganjur yakin ia akan dapat
dilaksanakan dengan jayanya serta dapat mengumpulkan wanita dari pelbagai latar
belakang, katanya. Sementara itu Mastura pula berkata, Sukan Wanita
Malaysia itu diadakan bagi menghimpunkan wanita pelbagai latar belakang bergaul
dan merapatkan ukhuwwah antara satu sama lain. Memandangkan sukan ini kali
pertama dianjurkan Mastura berkata, setakat ini sukan ini tidak melibatkan
atlet profesional kebangsaan, tetapi tidak menolak kemungkinan akan menarik
penyertaan dari atlet kebangsaan dalam penganjuran pada masa akan datang.
"Setakat ini kita telah mendapat penyertaan dari wanita
bukan Islam, malangnya 17 dan 18 Februari ini adalah Tahun Baru Cina, justeru
penyertaannya kurang sedikit,"katanya.//Hrkh
Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com