Hijrah biasanya difahami sebagai berlakunya peristiwa perpindahan 
Rasulullah S.A.W, ahli keluarga dan para Sahabat r.a dari Mekah 
Mukarramah ke Madinatul Munawwarah, meninggalkan segala harta benda 
yang sangat disayangi. 

 Khidmat HarakahDaily.Net melalui wap ditutup sementara untuk kerja-
kerja penyelengaraan. Harap Maklum.

Antaranya rumah tangga, kebun halaman, kedai-kedai perniagaan, 
binatang-binatang ternakan dan segala aset hidup, dengan bergadai 
nyawa melintasi padang pasir pergi ke destinasi baru 'Madinatul 
Munawwarah' tanpa sebarang cagaran hidup, selain daripada keyakinan 
untuk menyebarkan Islam serta mendaulatkan sistem hidup berkerajaan. 

Kota Madinah pada ketika itu merupakan tempat yang paling sesuai 
bagi mendaulatkan Islam kerana penduduknya lebih memahami selok 
belok agama wahyu, sebab mereka biasa menerima maklumat daripada 
kaum Yahudi tentang ajaran yang dibawa oleh Nabi Musa A.S. melalui 
Kitab Suci Taurat. 

Kegiatan politik dan pemerintahan Islam di Madinatul Munawwarah 
telah menjadi asas dan teras yang paling kukuh dalam mendaulatkan 
sistem hidup Islam yang syumul (menyeluruh) meliputi perlembagaan, 
pendidikan, ekonomi, sosial, kebudayaan, ketenteraan, hubungan 
antarabangsa dan sebagainya. 

Alhamdulillah, negeri Kelantan Darul Naim yang selama ini terkenal 
sebagai Negeri Serambi Mekah telah berjaya mempelopori semangat 
Hijratur Rasul yang berlaku lebih 1400 tahun yang lalu. 

Semangat ini tetap menjadi agenda ajaran Islam sehingga ke hari 
kiamat kerana Rasulullah s.a.w telah bersabda (yang 
bermaksud): "Orang yang benar-benar berhijrah ialah orang yang 
berhijrah meninggalkan segala perkara yang ditegah oleh Allah". 

Kelantan sedang meneruskan semangat hijrah tersebut dengan 
meninggalkan riba, meninggalkan amalan mendedah aurat, meninggalkan 
sikap tidak mengambil cakno terhadap fakir miskin, meninggalkan 
hiburan-hiburan yang membawa kepada dosa dan maksiat dan 
meninggalkan fahaman dan semangat sekular yang mengasingkan agama 
daripada politik, yang dipaksikan dengan prinsip 'ubudiyyah, 
mas'uliyyah dan itqan. 

Sesungguhnya kejayaan yang paling besar dalam hijrah ialah kejayaan 
membentuk kerajaan yang dapat mentadbir negara berpandukan ajaran 
Islam yang bertujuan untuk membawa kemaslahatan dan kebahagiaan 
hidup dunia dan akhirat. 

Inilah juga kejayaan paling besar di Kelantan. Kita berjaya 
membentuk kerajaan yang mengawal Islam daripada gangguan-gangguan 
syirik, maksiat dan kefasikan. Dan menyuburkannya dengan mengadakan 
bermacam-macam program yang kesemuanya berjumlah kira-kira seratus 
jenis pembaharuan. 

Di antaranya ialah mewujudkan Maahad Tahfiz Sains di Tanah Merah 
yang telah dirasmikan oleh KDYMM Tuanku Al-Sultan Kelantan sendiri 
dengan tujuan untuk mencetuskan pengertian bahawa Al-Quranul Karim 
dan sains perlu bahu membahu. 

Kelantan Darul Naim walaupun memiliki kelengkapan yang agak kurang, 
tapi Allah S.W.T Maha Mengetahui sejak awal-awal lagi bahawa kita 
sedang berpegang pada seutas tali yang di hujung sana dipegang 
sendiri oleh Nabi Muhammad S.A.W yang ditauliahkan dengan anugerah: 

"Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada keperibadian dan kepimpinan 
Rasulullah S.A.W itu terdapat contoh ikutan yang terbaik, iaitu bagi 
orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan 
syurga) di akhirat serta dia pula berzikir (menyebut dan mengingati) 
Allah banyak-banyak (baik semasa susah mahupun semasa senang)." - 
(Surah al-Ahzab: 21). 

Dengan ketetapan inilah kita pegang kemas-kemas tali Allah ini 
walaupun terpaksa mendaki gunung dan menurun lurah dengan 
berbekalkan doa, semoga anugerah Ilahi ini dikekalkan berterusan, 
dengan ingatan syarat-syarat makbul doa iaitu: 

"Hendaklah kamu tetap menjalankan perintahku secara berterusan 
(dengan penuh istiqamah) dan janganlah kamu mengikut jalan orang-
orang yang tidak berilmu pengetahuan (mengenai janji-janjiKu di 
akhirat)". - (Surah Yunus: 89). 

Sesungguhnya Allah S.W.T telah mewajibkan kita melaksanakan kerja-
kerja amar ma'ruf dan nahi munkar. Tanggungjawab tersebut tidak 
dapat disempurnakan kecuali dengan wujudnya kekuatan, kuasa 
pemerintahan dan daya kepimpinan yang cemerlang. 

Lantaran inilah telah diriwayatkan bahawa: "Sesungguhnya as-Sultan 
atau pihak pemerintah itu merupakan bayangan Allah di muka bumi 
ini". 

Lantaran inilah juga terdapat ulama Salafus Soleh seperti al-Fudhail 
bin 'Iyadh, Imam Ahmad bin Hanbal dan ramai lagi yang mengatakan: 

"Sekiranya kami memiliki suatu peluang keramat, apabila berdoa terus 
diperkenankan oleh Allah, pastilah kami akan pergunakan peluang doa 
keramat tersebut kepada pihak pemerintah dan Sultan sesebuah negeri, 
supaya Allah menganugerahkan hidayah dan taufiq-Nya". 

Ini kerana dengan taufiq dan hidayah kepada raja dan pihak 
pemerintah, banyak pihak dan pelbagai institusi yang wujud dalam 
sesebuah negara berkenaan akan menjadi baik dan dipantau dengan 
rahmat Allah S.W.T. 

Aamiin, Yaa Rabbal 'Aalamiin. 

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat 

//RT, Harakah 



Kirim email ke