Bismillah ... Pada muka surat hadapan surat khabar Sinar harian bertarikh 29
Februari 2008, Jumaat - telah memaparkan tajuk "PM bidas 'fatwa' Hadi; Pemimpin
Pas benarkan calonnya mengumpat, dedahkan keburukkan lawan". Berhubung dengan
perkara ini, Pak Lah mengatakan "Saya hairan, dia pemimpin parti Islam(Ust
Hadi), tetapi dia ajar orang buat tak elok".
Setelah membaca kenyataan tersebut, terdetik di dalam hati saya untuk terus
membalasnya. Tetapi kesibukkan pilihanraya membuatkan niat tersebut terkendala
sehinggalah diberikan peluang oleh Allah SWT pada saat ini untuk memberikan
hujah balas. Bagi saya, perkara ini tidak perlu dibincangkan kerana ia perkara
asas yg patut diketahui oleh semua orang. Tetapi saya masih tetap mengambil
initiatif untuk membalasnya secara ilmiah supaya kita tidak terkeliru dengan
kekeliruan seumpama ini kerana ada di antara kita termasuklah dari golongan
pecinta Islam, mereka menolak politik sebagai salah satu cabang penting di
dalam Islam disebabkan oleh faktor 'caci mencaci dan umpat mengumpat di antara
satu sama lain'.
Saya sendiri berpengalaman berbual dengan beberapa orang yg beranggapan
sedemikian dengan menganggap politik adalah kotor dan tidak layak diberikan
kedudukan di dalam Islam disebabkan oleh faktor-faktor yg saya sebutkan tadi.
APAKAH GENERAL RULE ATAU HUKUM ASAL MENGUMPAT?
Pada asasnya, mengumpat memang dilarang sama sekali oleh agama Islam kerana ia
mencabuli hak dan kehormatan seseorang. Sekiranya umpatan tersebut tidak
melibatkan nasab seperti tuduhan berzina & seumpamanya .. maka tindakan si
pengumpat tersebut merupakan suatu dosa. Namun sekiranya umpatan tersebut
menjurus kepada suatu fitnah yg melibatkan nasab & keturunan samada secara
jelas atau kinayah, maka si pengumpat tersebut boleh di dakwa melakukan jenayah
qazaf yg boleh dikenakan hukuman rotan 80 kali sebatan. Manakala di dalam
Undang-undang civil, kesalahan ini disebut sebagai 'Defamation' yg termasuk di
dalam kesalahan Tort yg boleh dikenakan monetary punishment yg boleh mencecah
beratus ribu ringgit. Dalam erti kata lain, kedua-dua undang-undang Islam &
civil mengiktiraf bahawa umpatan yg membawa kepada fitnah ini merupakan suatu
kesalahan jenayah yg besar sehingga dikenakan hukuman jika mereka terbukti
bersalah. Di sana terdapat dalil-dalil yg begitu jelas menunjukkan
kepada keharaman melakukan umpatan di antaranya:
Allah SWT telah berfirman(maksudnya):
"..dan janganlah kamu memburuk-burukkan antara satu sama lain. Adakah kamu suka
memakan daging saudaranya sendiri yg telah mati? Maka sudah tentu kamu merasa
jijik kepadanya dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima
Taubat dan Maha Penyayang" (al-Hujurat: 12)
Daripada Abi Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yg
beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka berkatalah perkara yg baik ataupun
diam" (Bukhari: 11/265, Muslim: 47)
Daripada Abi Musa RA bahawa beliau bertanya kepada Rasulullah SAW: "Wahai
Rasulullah, siapakah sebaik-baik muslim? Baginda lalu menjawab: Siapa yg
menjaga orang-orang Islam daripada lidah dan tangannya" (Bukhari: 1/51,52 &
Muslim: 42)
Daripada 'Uqbah ibn Amir RA bahawa beliau berkata: "Wahai Rasulullah SAW,
apakah kejayaan? Jawab nabi: Kamu menahan dirimu dari ucapan-ucapan yg tidak
baik" (Riwayat Turmizi, dan beliau mengatakan hadis ini Hasan, 2407)
EXCEPTION ATAU PENGECUALIAN KEPADA HUKUM ASAL MENGUMPAT
Apabila di sana terdapat hukum asal, maka dalam masa yg sama di sana juga
terdapat pengecualian daripada hukum asal tersebut. Kita diharamkan secara
mutlak memakan babi atau meminum air arak, tetapi Islam memberi pengecualian
terhadap pengharaman ini sekiranya kita berada di dalam keadaan dharurat
berdasarkan kaedah "Dharurat membenarkan apa yg diharamkan". Begitu juga kita
tidak dibenarkan solat jama' kecuali di dalam keadaan bermusafir, sakit dan
hujan yg tidak henti-hanti berterusan dari waktu zohor sehingga ke waktu asar
berdasarkan kepada kaedah "Kesempitan / kesulitan menjadikan keringanan".
Kesimpulan yg dapat diambil dari kaedah-kaedah yg disebutkan adalah untuk
memastikan kemaslahatan mereka terpelihara. Seperti yg pernah saya jelaskan
pada artikel saya yg bertajuk "Jangan salah faham terhadap Islam", Islam
merupakan agama fitrah yg menghargai tabi'ie kehidupan manusia. Kewujudannya
adalah demi untuk memastikan kemaslahatan manusia terjamin.
Di sinilah keistimewaan agama Islam yg menjadikannya sesuai dilaksanakan dan
diamali pada setiap zaman dan tempat kerana menjunjung tinggi kehormatan
makhluk di atas prinsip maslahah. Tidak ada manusia yg merelakan dirinya
dizalimi dan dianiaya. Mereka mempunyai akal dan perasaan yg akan merasa
terseksa apabila jasad dan fikiran mereka dizalimi. Diri, jasad & fikiran yg
dizalimi pasti akan memberontak sebagai suatu tindak balas dari kezaliman
tersebut samada ditunjukkan melalui kata-kata ataupun tindakan. Memahami
hakikat ini, Islam meraikan dan menghargai tabiat dan fitrah semula jadi
manusia yg akan memberontak sekiranya mereka dizalimi. Oleh itu, walaupun pada
dasarnya mengumpat adalah ditegah .. tetapi dalam beberapa keadaan, tegahan
tersebut berubah menjadi harus dan terkadang menjadi wajib berdasarkan kepada
keadaan & maslahah. Imam an-Nawawi di dalam kitabnya ((Riadus Solihin)) ada
menyebutkan 6 keadaan di mana kita boleh mengumpat seseorang. Beliau menyebut:
"Ketahuilah bahawa mengumpat dibenarkan dengan tujuan yg sohih/benar/syar'ie di
mana tidak akan sampai sesuatu yg ingin disampaikan kecuali dengan cara
mengumpat. Terdapat 6 keadaan yg membenarkannya:
1. Orang yg dizalimi dibenarkan menyatakan kezaliman orang yg berlaku zalim
kepada mana-mana pihak yg mempunyai kuasa untuk menahan kezaliman tersebut.
2. Meminta bantuan untuk mengubah kemungkaran dan menentang kemaksiatan kepada
kebaikan dan kebenaran.
3. Meminta fatwa daripada mufti berhubung dengan masalah yg menimpa dirinya
disebabkan oleh orang lain. Maka dalam hal ini, dibenarkan seseorang
mendedahkan keburukkan orang tersebut untuk memahamkan mufti supaya fatwa yg
dikeluarkan tepat dan tidak terpesong.
4. Memberi peringatan dan nasihat kepada orang-orang Islam daripada kejahatan.
5. Hendaklah orang yg diumpat itu mendedahkan kefasiqakkan dan bid'ahnya secara
nyata dan terang-terangan seperti merampas harta orang lain dengan zalim,
memimpin dalam perkara-perkara yg batil dan menghalalkan perkara yg haram
seperti arak dan sebagainya.
6. Memanggilnya dengan istilah yg sesuai dengan perbuatan jahatnya seperti
orang pekak, orang bisu dan sebagainya tetapi mengelakkannya adalah lebih baik.
Keenam-enam keadaan ini merupakan sebab dibenarkan mengumpat yg telah
disebutkan oleh para ulama" (Riadus Solihin, m.s 271-273, Muassasah ar-Risalah)
Pengecualian ini sebenarnya berdasarkan kepada beberapa dalil daripada sunnah
Rasulillah SAW di antaranya adalah:
Daripada Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda: "Aku tidak menyangka bahawa lelaki
ini dan lelaki ini mengetahui daripada agama ini sesuatupun". (Bukhari, 10/405)
Al-Laith berkata: Dua orang lelaki tersebut adalah merupakan orang-orang
munafiq.
Daripada Aisyah RA, Hindun isteri Abi Sufian berkata kepada nabi SAW:
"Sesungguhnya Aba Sufian lelaki yg kedekut, dia tidak memberikan kepadaku apa
yg mencukupi aku dan anakku kecuali aku sendiri mengambilnya tanpa beliau
mengetahuinya. Lalu nabi SAW bersabda: Ambillah apa yg cukup bagimu dan anakmu"
(Bukhari, 9/444, 445 & Muslim, 1714)
Daripada hadis-hadis yg dibentangkan, guru kami Syeikh Prof Dr Mustafa al-Bugho
mengatakan bahawa, "Dibenarkan mendedahkan keburukkan golongan munafiq dan
perkara ini tidak dianggap sebagai ghibah (mengumpat)". (Nuzhatul Muttaqin, m.s
275)
Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat 12 dari surat al-Hujurat mengatakan
bahawa, "Para ulama telah bersepakat bahawa mengumpat hukumnya adalah haram
kecuali jika telah nyata dari tindakan tersebut terdapat maslahah yg jelas
seperti tindakan al-Jarh, at-ta'dil dan memberi nasihat". (Tafsir Ibn Kathir,
7/380)
Bahkan di dalam ilmu Mustalah Hadis terdapat satu bab yg membicarakan mengenai
ilmu al-Jarh wat-Ta'dil. Ilmu Jarh wat Ta'dil merupakan suatu ilmu yg digunakan
oleh para ulama hadis untuk menentukan darjat sesebuah hadis yg diriwayatkan.
Para ulama Hadis akan menilai ke-thiqahan para rawi berdasarkan kepada kritikan
yg dibuat oleh para ulama lain terhadap peribadi perawi tersebut. Dalam hal
ini, perawi tersebut dinilai secara jujur bagi memastikan pentashihan hadis
tersebut mencapai darjat hadis sahih, hasan atau dhaif. Kadangkala mereka
dikritik dengan kritikan yg begitu teruk seperti Mudallas(pereka hadis),
penipu, ahli bid'ah, lupa ingatan dan sebagainya. Kritikan ini tidak dilarang
sama sekali bahkan merupakan satu kewajipan demi untuk memelihara kesucian
hadis yg diriwayatkan daripada tercemar oleh para perawi yg tidak thiqah.
Begitu juga jika seorang lelaki bertanyakan seseorang mengenai kecacatan sifat
yg ada pada gadis yg ingin dinikahinya, maka beliau diwajibkan untuk
mendedahkan keaiban tersebut. Perkara ini tidak dianggap mengumpat kerana
kebenaran tersebut merupakan suatu maslahah kepada kedua-dua pihak lelaki &
perempuan.
Sekiranya Islam membenarkan umpatan di dalam perkara-perkara seperti yg
disebutkan tadi, apakah pula alasan untuk tidak membenarkan umpatan di dalam
kerja-kerja politik kepartian?? Apakah maslahah itu hanya nyata di dalam
sesetengah perkara dan tidak kepada perkara yg melibatkan politik? Sedangkan
Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi menyebut bahawa Politik itu berlegar di
antara 2 objektif iaitu kekuatan(kuasa) dan maslahah. (Ad-Deen wa as-Siyasah,
m.s 60)
Oleh itu, mendedahkan keaiban pihak lawan juga termasuk di dalam perkara
maslahah yg sekiranya tidak didedahkan akan menatijahkan kesan yang negatif
kepada rakyat. Bahkan, -menurut pendapat kami- berdasarkan keadaan & suasana
politik Malaysia yg menekan dan tidak memberi kebebasan berpolitik kepada
Barisan Alternatif, maka mengumpat adalah wajib. Ini adalah kerana BA tidak
diberikan peluang yg cukup untuk berkempen dan bergerak bebas sebagai sebuah
parti yg berdaftar di dalam sebuah negara yg mengamalkan sistem demokrasi.
Kebebasan yg diberikan pula adalah teramat terhad dan diganggu oleh pihak
berkuasa supaya masyarakat tidak dapat menerima mesej yang ingin disampaikan.
Justeru, tindakan yg dilakukan oleh Barisan Nasional merupakan suatu pencabulan
terhadang kedaulatan undang-undang negara dan dianggap sebagai suatu kezaliman
terhadap parti Pembangkang. Di dalam masa yg sama, masyarakat pula cuba
diperbodohkan oleh BN dengan pelbagai propaganda dan penipuan yg
dieksploitasi melalui media massa yg berat sebelah, sedangkan merupakan hak
rakyat untuk mengetahui keadaan sebenar perjalanan pentadbiran dan politik
negara agar hak mereka tidak dicemari dan dicerobohi. Oleh itu, BA yg merupakan
satu-satunya komponen Parti Pembangkang berkewajipan untuk mendedahkan
keburukkan dan keaiban Barisan Nasional bagi menerangkan hal sebenar agar
masyarakat tidak terus berada dalam kejahilan serta terbelenggu di dalam
kerosakkan sosial yg semakin menjadi-jadi di dalam negara.WA
KESIMPULAN
Namun begitu, menjadi syarat bahawa keharusan tersebut masih tertakluk kepada
beberapa syarat seperti kewajipan mengenalpasti penyelewengan dan keaiban parti
lawan supaya pendedahan yg didedahkan tidak membawa kepada fitnah & kesan yg
lebih negatif. Oleh yg demikian, saya mengharapkan dari penjelasan ringkas ini,
sedikit sebanyak dapat menjernihkan kekaburan yg mengaburi mata masyarakat.
"
---------------------------------
Be a better friend, newshound, and know-it-all with Yahoo! Mobile. Try it now.