FAKTOR ANAK PERANTAU TINGKATKAN KEMENANGAN PAS DI KELANTAN

KOTA BHARU, 11 Mac (Hrkh) –  Kepulangan anak-anak Kelantan di perantauan 
dikenal pasti antara faktor menyebabkan Barisan Nasional (BN) sukar 
mempertahankan pencapaiannya pada pilihan raya umum lalu. Ini kerana pada 
Pilihan Raya Umum ke-11, tidak ramai anak-anak perantau pulang mengundi kerana 
mereka yakin PAS tidak mampu digugatkan ketika itu. 

 Tanpa kepulangan anak-anak Kelantan menyebabkan BN mendapat lonjakan besar 
sehingga mampu menguasai 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun). Dan kerusi BN 
bertambah lagi kepada 22 apabila memenangi pilihan raya kecil Dun Pengkalan 
Pasir pada Disember 2005. 


Sehubungan itu, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri, Dato' Takiyuddin 
Hassan merakam ucapan terima kasih dan penghargaan tinggi kepada anak-anak 
Kelantan di perantauan yang pulang mengundi. 


 Katanya, anak perantau yang pulang mengundi dari seluruh pelusuk negara 
dianggap sebagai second force  dalam membantu kemenangan PAS dan KeADILan 
mengekalkan pentadbiran Islam di Kelantan. 


"Kesungguhan saudara-saudara untuk pulang mengundi dengan niat mempertahankan 
kerajaan Islam di negeri ini sungguh luar biasa," katanya di majlis kesyukuran 
anjuran Majlis Tindakan Dun Bunut Payong di sebuah restoran di sini malam tadi. 


Menurut beliau PAS Kelantan tidak akan mengsia-siakan pengorbanan anak Kelantan 
dan bersedia memberi penghormatan kepada mereka dalam bentuk yang difikir 
sesuai. 


Selain itu kata Takiyuddin yang menang di Dun Bunut Payoang berkata, faktor 
kesungguhan jentera pilihan raya PAS yang bekerja siang malam merupakan 
kekuatan dalaman. 


 Menurutnya keadaan tambah menarik lagi dengan kepulangan perantau yang 
berduyun-duyun, dianggap tenaga kedua bagi menyumbang kejayaan cemerlang pada 
pilihan raya kali ini. 


 Takiyuddin juga menyifatkan kempen pilihan raya ke-12 sebagai situasi penuh 
mencemaskan di samping tekanan paling tidak demokratik pihak kerajaan dan 
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 


"Sehingga pagi hari mengundi saya dan Tok Guru Nik Abdul Aziz terus menerima 
laporan tentang pelbagai taktik kotor yang dilakukan parti lawan,” ujarnya. 


Beliau bagaimanapun bersyukur kerana pengundi menunjukkan kematangan yang 
tinggi dan tidak termakan dengan tipu daya parti pemerintah yang memperalatkan 
segala kemudahan milik rakyat dan media massa. 


"Keputusan yang dibuat rakyat memberikan lima negeri dan Wilayah Persekutuan 
kepada BA menunjukkan maruah rakyat tidak boleh digula-gulakan dengan tipu daya 
murahan," ujarnya. - mj
 
       
---------------------------------
Looking for last minute shopping deals?  Find them fast with Yahoo! Search.

Kirim email ke