Bandar Baru Bangi, 5 Julai : Majlis Amal Jamuan Laksa & Laksam yang dianjurkan oleh Persatuan Anak Darul Naim Selangor dan Wilayah Persekutuan (PERSADA) semalam jelas kelihatan kemeriahanya apabila kira-kira 1000 warga Kelantan hadir dengan membawa keluarga masing-masing. Majlis yang bermula jam 1.30 tengahari itu diadakan di Dewan Serbaguna Seksyen 7 Bandar Bangi sempena pelancaran penubuhan PERSADA. Turut hadir ialah ADUN Bangi YB Dr Syafie Abu Bakar dan Ahli Parlimen Kubang Kerian Kelantan YB Salahuddin Ayub.

 

Disamping menjamu selera laksa dan laksam daripada masakan Kelantan, pengunjung menikmati persembahan dikir barat daripada Kelab Baiduri Taman Kajang Utama serta beberapa cabutan bertuah. Irama dikir barat dinikmati penuh seronok dan gembira oleh para pengunjung dan alunan iramanya memukau anak-anak yang turut kelihatan bersama-sama bertepuk tangan dan menari.

 

Presiden PERSADA, Mat Ali Hanafiah Mohamed berkata, “program ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan ukhuwwah antara warga Kelantan terutama yang tinggal disekitar Bandar Baru Bangi serta masyarakat setempat tanpa mengambil kira perbezaan kaum, agama dan fahaman politik, kehadiran bersama keluarga ke majlis seperti ini sudah tentu boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan dan boleh menjadi menjadi wadah terbaik untuk menyatukan warga Kelantan sebagai sebuah keluarga yang besar”

 

“Dengan adanya persatuan seperti PERSADA, warga Kelantan di Lembah Klang mempunyai satu landasan dan jaringan yang jelas dan kukuh demi sama-sama memupuk keperihatinan untuk membangunkan persatuan serta warga Kelantan di Lembah Klang, kita akan lebih kerap mengadakan program seperti ini dan akan bekerjasama dengan pihak-pihak lain seperti agensi kerajaan, NGO serta masyarakat setempat”, katanya lagi.

 

Adun Bangi YB Dr Syafie mengalu-alukan program yang dianjurkan oleh PERSADA di kawasan Bangi dan sedia memberi kerjasama dengan PERSADA atau semua pihak yang ingin menganjurkan pelbagai aktiviti yang memberi faedah seperti pesta atau kegiatan sukan, beliau juga turut kagum dengan semangat dan budaya masyarakat Kelantan terutama kekuatan mereka dalam aktiviti ekonomi.

 

Seorang warga Kelantan daripada Klang yang ditemui Zaki Ismail 32 berkata, program sebegini perlu lebih kerap diadakan kerana ia boleh memperkuatkan ikatan silaturrahim antara keluarga serta antara kenalan daripada warga Kelantan. Beliau yang hadir daripada Jalan Kebun, Klang membawa bersama isteri dan anak-anak kerana ingin menikmati masakan laksam Kelantan disamping menemui beberapa kenalan lama.

 

Sementara itu, YB Salahudin dalam ucapan pelancaran penubuhan persatuan berkata, penubuhan PERSADA boleh memperkukuhkan warga Kelantan di perantauan khususnya di Lembah Klang, beliau berharap semoga PERSADA boleh memainkan peranan penting dalam perjuangan rakyat Kelantan seperti dalam isu tuntutan royalty minyak yang menjadi hak setiap rakyat Kelantan tanpa mengira fahaman politik.

 

Majlis tersebut berlangsung dengan penuh harmoni berakhir pada jam 5 petang. Sebarang maklumat berkaitan persatuan boleh merujuk laman web http://persada.net atau hubungan Razali di talian 017-6242252. atau Zainuha 012-3619259.


Reply via email to