Kalau dah disekat oleh ISP buat apa lagi nak pakai perisian penapis di komputer-komputer di rumah dan di kafe siber.
 
Baik juga kalau perisian penapis tu diberikan percuma kepada pengguna-pengguna internet taklah lagi  boleh melihat apa yang sesetengah orang suka melihatnya..
 
 
 
Berikut petikan akhbar tentang perkara tajuk.
......................................................................
Tiada lagi web lucah -- Firma telekomunikasi, pembekal Internet diarah
sedia perisian khas
Oleh: MARHAINI KAMARUDDIN

CYBERJAYA 14 Jun - Pengguna-pengguna Internet di negara ini yang
sering melayari laman web lucah kini tidak boleh lagi berbuat demikian
ekoran semua akses ke laman web tersebut disekat.

Dalam satu langkah drastik kerajaan menangani masalah bahan lucah di
Internet dan alat komunikasi mudah alih, semua syarikat telekomunikasi
dan Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP) diarah menyediakan perisian
khas bagi menyekat akses ke laman web terbabit, berkuat kuasa serta-
merta.

Arahan penggunaan perisian khas itu merupakan antara langkah yang
dipersetujui oleh Kabinet, susulan daripada cadangan membendung
amalan melayari laman web lucah yang dibentangkan bersama oleh
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Tenaga, Air
dan Komunikasi, minggu lalu.

Langkah lain yang turut dipersetujui ialah mewajibkan pengusaha kafe
siber menyediakan perkhidmatan penapisan bahan lucah dan tidak sopan
sebagai syarat lesen perniagaan.

Penguatkuasaannya akan dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan di
bawah pengawasan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sebuah pusat aduan mengenai bahan lucah dan tidak sopan juga
diwujudkan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang
akan bertanggungjawab memantau pelaksanaan arahan-arahan Kabinet
tersebut.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis
berkata, dengan arahan terbaru itu, pengguna Internet dan alat
komunikasi mudah alih termasuk telefon bimbit kini diberi pilihan untuk
melanggan perisian khas tersebut bagi menyekat akses ke laman web
lucah.

``Kalau mereka melanggan khidmat Internet daripada TMNet atau Jaring
misalnya, pengguna boleh meminta dibekalkan juga dengan perisian khas
tersebut supaya bahan-bahan lucah tidak boleh dimuat turun kepada
komputer atau telefon bimbit,'' katanya pada sidang akhbar selepas sesi
taklimat dan penyerahan tajaan Persidangan Dasar Awam Global (GPPC)
2005, di sini hari ini.

Jamaluddin seterusnya berkata: ``Ibu bapa terutamanya boleh melanggan
perisian ini untuk menyekat anak-anak mereka daripada melayari laman
web lucah atau memuat turun kandungan tidak sopan ke komputer atau
telefon bimbit mereka kerana mekanisme sudah ada,'' katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini menyiarkan laporan muka depan gesaan
bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya satu perisian
khas diwujudkan bagi menyekat amalan melayari laman web lucah di
kalangan pengguna Internet.

Akhbar ini kemudian mendedahkan terdapat 1.5 laman web lucah di
Internet yang boleh diakses dengan mudah oleh sesiapa sahaja tanpa
sebarang sekatan.

Susulan daripada pendedahan Utusan Malaysia itu, Timbalan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan supaya perisian khas
bagi menyekat capaian ke laman web lucah di internet yang kini
digunakan di beberapa jabatan kerajaan, diperluaskan ke semua agensi
awam termasuk sekolah.

Najib dilaporkan berkata, semua jabatan kerajaan dan agensinya
termasuk sekolah sudah diarah memasang perisian khas pada sistem
komputer mereka bagi menyekat akses kepada laman web lucah di
internet seperti yang digunakan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Jamaludin berkata, arahan meminta semua syarikat telekomunikasi dan
ISP menyediakan perisian khas bagi menyekat amalan melayari laman
web lucah mampu mengawal kegiatan itu terutama di kalangan generasi
muda.

Mengenai arahan mewajibkan pengusaha kafe siber menyediakan
kemudahan yang sama, beliau berkata, Kabinet bersetuju supaya
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenakan syarat
tambahan dalam pengeluaran lesen perniagaan dengan mewajibkan
perisian menapis bahan lucah disediakan di premis.

``Bentuk tindakan dan langkah yang perlu diambil perlulah dirujuk kepada
kementerian terbabit. Kita sudah maklumkan kepada mereka,'' katanya.

Antara undang-undang yang boleh digunakan oleh pihak berkuasa ke
atas mereka yang menjual, mempamer atau memiliki apa jua bahan
lucah ialah Akta Kanun Keseksaan, Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem
2002 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ditanya tempoh masa yang diperlukan untuk menyediakan perisian khas
tersebut, Jamaluddin memberitahu kebanyakan syarikat telekomunikasi
dan ISP sudah mempunyai kemudahan itu dan ada juga kafe siber yang
telah menggunakannya tetapi tidak diuar-uarkan.

Difahamkan perkhidmatan ini telah lama diamalkan di negara-negara lain
yang mana pengguna membuat tapisan menggunakan perisian seperti
Net-Nanny, Cyber Patrol dan sebagainya.

Dalam pada itu, Jamaluddin berkata, kementeriannya bersama
Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi akan bekerjasama dengan
agensi kerajaan dan pihak swasta bagi menganjurkan program kesedaran
mengenai kesan negatif amalan melayari laman web lucah khususnya di
kalangan anak-anak muda.



Egroup Persatuan Penulis Tumpat (PESISIR)
[EMAIL PROTECTED]







Yahoo! Groups Links

Kirim email ke