Berikut adalah catatan penyair Wan A Rafar yang juga mengikuti Bengkel Pemantapan Penulis di Pulau Perhentian.
Bengkel Pemantapan Penulis Kelantan dan Terengganu 1. Bengkel ini diadakan di Perhentian Island Resort, Pulau Perhentian dari 23-25 Mac 2007. Kira-kira 20 orang penulis yang mewakili persatuan penulis di Kelantan dan Terengganu menghadiri bengkel yang dianjur oleh DBP Wilayah Timur ini. 2. Kami diminta berkumpul di jeti Kuala Besut sebelum 10.00 pagi Hari Jumaat untuk dibawa ke destinasi dengan bot. Ketika saya bersama Norhisham Mustafa, Leo A.W.S. dan Aziz Mohd Nor sampai di jeti, hanya ada beberapa orang peserta dan petugas dari DBP saja. Sharif Putera, S.M. Noor dan Helmi Rindu dari PELITA sampai tidak lama selepas kami. Dato' Aziz Deraman dan isteri, Hj Mohamad Yussop Ishak, Pengarah DBP Wilayah Timur dan isteri juga kelihatan selepas itu. Sementara menunggu, kami mencari barang-barang keperluan dan makanan seperti roti, biskut dan air mineral untuk dibawa ke sana. Manakala yang lain mengambil kesempatan untuk bergambar dan melihat pemandangan sekitar, minum di beberapa gerai dan saling bertanya khabar. Setelah semuanya berkumpul kami diarahkan untuk membawa beg kami ke bot yang sedia menunggu. Kami naik bot itu dari hadapan. Setelah semuanya naik, kami diarahkan supaya memakai jaket keselamatan. Bot bertolak meninggalkan jeti kira-kira pukul 10.30. Aku mengambil tempat duduk di hadapan bersama Cikgu Ismail, Ketua Satu PESISIR. Bot yang dipandu agak laju mula mengharungi ombak laut China Selatan. Kadang-kadang cemas juga kami apabila bot dilambung ombak, bagaikan kereta terjun lubang. Bahkan bila sampai di suatu tempat, lambungan ombak terlalu kuat menyebabkan sekeping cermin pecah. Ketika bot berhenti sekejap, terasa kepala agak pening. Tetapi nasib baik tidak ada yang muntah. Hati kami lega apabila bot mendekati Pulau Perhentian Kecil. Rumah dan bangunan sudah mula kelihatan. Kelihatan dari jauh ialah bangunan sekolah, balai polis marin dan sebuah plaza. Tapi destinasi kami ialah Pulau Perhentian Besar di sebelah kanan kami. Bot mulai perlahan apabila membelok ke jeti di Pulau Perhentian Besar. Air kelihatan biru dan jernih. "Biru yang agak lain," kata Sharif Putera. Pasirnya putih bersih. Beberapa orang kelihatan sedang berjemur di pantai, manakala yang lain sedang berendam di dalam air yang jernih itu. 3. Aku ditempatkan sebilik dengan Norhisham Mustafa di bilik 332 yang berhadapan dengan kolam mandi. TV dan surat khabar tidak disediakan. 4. Kami sembahyang Jumaat di masjid di Pulau Perhentian Kecil. Hanya di pulau ini saja terdapat penduduk awam. Di Pulau Perhentian Besar hanya terdapat resort sahaja. Khutbah Jumaat hari ini tentang Mat Rempit dan kemalangan jalan raya, sesuatu yang tidak relevan dengan pulau ini. Di sini tidak ada pun jalan raya atau sebarang kenderaan termasuk motosikal. 5. Sesi bermula dengan kertas kerja Norhisham Mustafa yang bercakap mengenai Perkembangan Persuratan Melayu di Kelantan dan Terengganu. Pada malamnya berlangsung sesi dialog tentang Kebangkitan Penulis dan Karya-Karya Mutakhir Kelantan dan Terengganu. Kertas kerja disediakan oleh Sharif Putera dan Aziz Mohd Nor. Pada hari kedua, Hamdan Yahaya membentangkan kertas kerja mengenai Pembinaan dan Perkembangan Bahasa Melayu, dan Bimbingan Penyediaan Kertas Awalan dan Laporan Program. Pada sebelah petangnya Dato Aziz Deraman bercakap tentang wacana sastera dan budaya Melayu dalam konteks perkembangannya di nusantara. Majlis Baca Puisi diadakan pada malamnya di dataran Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian dengan tetamu Megat Nordin, seorang penyanyi dan Jali dan Osman Kering dari Salam Pantai Timur. 6. Waktu tidak ada program kami bersantai menikmati keindahan pantai Pulau Perhentian. Setengahnya mandi, setengahnya berjalan atau berjogging atau menikmati kehijauan pohon-pohon di belakang chalet. 7. Barangkali sudah menjadi budaya orang barat, di mana saja mereka berada mereka akan membaca. Di sana sini, kami lihat mereka membaca. Bahkan sambil berbaring di atas pasir. Di atas rak di sudut restoran, kelihatan buku-buku dalam bahasa Russia, Itali dan Inggeris yang ditinggalkan oleh mereka yang pernah sampai di sini. Memang tempat ini selalu dikunjungi oleh ramai pelancong dari barat. Hari ini kami temui pelancong dari Russia, German dan Itali. Mereka tahu tempat ini dari kawan-kawan mereka atau internet. 8. Program kami berakhir tengah hari Ahad dengan perasmian penutup oleh Hj Mohamad Yussop Ishak. Kami meninggalkan jeti Pulau Perhentian Besar kira-kira 1.30 tengah hari. Perjalanan balik agak tenang dan kami sampai di Kuala Besut dalam masa setengah jam saja. Ediramle Ismail
