14 Julai 2008 / 11 Rejab 1429
  














KOMUNITI












 

SASTERA






Kuala Lumpur tuan rumah PPN 2009

Oleh azman ismail
 

TAHUN ini, Kediri, Jawa Timur, Indonesia menjadi tuan rumah kepada Pesta 
Penyair Nusantara (PPN) 2008 - sebuah wadah perhimpunan dan pertemuan para 
penyair dari Nusantara dan negara Asia lainnya.
 
Setelah kejayaan Pesta Penyair Nusantara di Medan, yang diberi nama The First 
Medan International Poetry Gathering pada 25-29 Mei 2007, PPN kedua 
dilaksanakan di bandar tersebut pada 29 Jun-3 Julai lalu.
 
Pada PPN di Medan tersebut, jawatankuasa pelaksana dibarisi oleh Ahmadun Yosi 
Herfanda, Korrie Layun Rampan, Fakhrunas MA Jabbar, Viddy Daery, Afrion dari 
Indonesia, Zefri Arif (Brunei Darussalam) dan S.M. Zakir (Malaysia).
 
Jawatankuasa Pelaksana PPN 2008 pula diketuai oleh Khoirul Anwar (Indonesia) 
yang ternyata telah melakukan usaha yang sebaik mungkin untuk menjayakan 
program berprestij tersebut.
 
PPN 2008 sebenarnya mempunyai erti yang cukup besar dalam aspek kesepakatan 
untuk menghidupkan kegiatan sastera di Nusantara. Ini kerana pada tahun depan 
Kuala Lumpur telah dipilih sebagai tuan rumah.
 
Perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarah Penyair Nusantara yang diadakan di 
Universiti Islam Kediri (Unik) dengan menjadikan Pena sebagai pelaksana dan 
sekretariat khas penganjuran PPN 2009.
 
Lebih menarik, Setiausaha Agung Persatuan Penulis nasional (Pena), S.M Zakir 
telah dipersetujui sebulat suara oleh delegasi PPN 2008 sebagai ketua 
jawatankuasa pelaksana PPN 2009.
 
Pada 2010, PPN akan ‘kembali’ ke Indonesia dengan Balikpapan, Kalimantan Timur 
menjadi tuan rumah dan akan bertanggungjawab meyelenggara serta menyusun 
pelbagai program PPN.
 
Sementara itu pada PPN 2008, Pena diwakili oleh S.M Zakir dan tiga orang ahli 
jawatankuasa kerjanya; Mohamad Saleeh Rahamad, Shamsudin Othman dan Dr. Ibrahim 
Ghaffar.
 
Turut menyertai delegasi Pena ialah Malim Ghozali Pk, Khalid Salleh, Fuad Bebet 
dan Hameer Habib manakala penyair Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) turut 
menjadi tetamu kehormat pesta tersebut.
 
Selain dari Malaysia, para peserta PPN 2008 juga berasal seluruh Indonesia 
seperti Kediri, Madiun, Ngawi, Nganjuk, Pare, Blitar, Lamongan, Bojonegoro, 
Mojokerto, Malang, Probolinggo, Surabaya, Madura, Semarang, Ungaran, Tegal, 
Banyumas, Solo, Yogyakarta, Jakarta, Bandung, Bogor, Depok, Sumbawa, Flores, 
Balikpapan, Samarinda, Banjarmasin, Banjarbaru, Siak, Lampung, Pekanbaru, dan 
Makassar.
 
Program PPN 2008 sebenarnya telah bermula sejak 25 Jun dengan Pertandingan 
Membaca Puisi di Sanggar Mulang Sara di Kampung Cakarwesi yang merupakan sebuah 
kawasan pengajian pesantren (sekolah pondok) yang banyak melahirkan tokoh-tokoh 
agama dan budayawan Kediri.
 
Pertandingan tersebut disertai oleh 95 orang peserta dari seluruh Indonesia. 
Majlis perasmian PPN 2008 kemudiannya diadakan pada 30 Jun yang menyaksikan 
perasmian yang gilang-gemilang yang dihadiri oleh segenap lapisan masyarakat 
Kediri.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Walikota, Maschut. Acara diteruskan 
dengan deklamasi puisi yang diselingi dengan persembahan kebudayaan tradisional 
masyarakat Kediri.
 
Turut hadir dalam acara perasmian ini ialah Rektor Universiti Islam Kediri, 
pimpinan pesantren di seluruh daerah tersebut dan pegawai-pegawai daerah. 
Majlis turut menampilkan Kiyai Zawawi Imron, yang juga penyair ternama 
Indonesia untuk menyampaikan syarahan budaya yang cukup memukau.
 
Pemilihan Kediri sebagai tuan rumah PPN 2008 cukup beralasan. Ia sesungguhnya 
sinonim dengan bandar yang menjadi wadah pertumbuhan kebudayaan, ekonomi, 
keagamaan dan pentadbiran.
 
Berdasarkan catatan sejarah, Kediri merupakan kerajaan tua yang wujud pada 
tahun 1045 apabila diasaskan oleh salah seorang raja Jawa yang terkenal, 
Airlangga.
 
Kediri mempunyai hubungan dengan kerajaan Sriwijaya di Jawa dan menjadi negeri 
penampan bagi empayar Sriwijaya di Pulau Jawa. Kerajaan itu sendiri merupakan 
sebuah kerajaan yang kuat di Pulau Jawa di bawah dinasti Airlangga sehinggalah 
raja terakhirnya ditewaskan oleh Ken Arok yang kemudiannya mendirikan kerajaan 
Singosari pada tahun 1222.
Kerajaan Singosari inilah yang memunculkan kerajaan besar di Pulau Jawa iaitu 
empayar Majapahit pada tahun 1293.
 
Sepanjang zaman kegemilangannya, Kediri terkenal sebagai kota budaya dan banyak 
melahirkan karya-karya agung klasik antaranya Kekawin Bharatayuddha yang 
disesuaikan daripada kisah Pandawa dalam Mahabratha, Gatotkaca, Smaradahana, 
Babad Kedhiri,Panji Semirang dan sebagainya.
 
Pada abad ke-16, Kediri menjadi pusat perkembangan Islam di Jawa Timur setelah 
kerajaan Hindu Majapahit Kediri dikalahkan oleh Sunan Kudus, salah seorang wali 
sembilan yang mengislamkan Pulau Jawa. Sehingga ke hari ini Kediri terkenal 
sebagai pusat pesantren dan pengajian Islam.
 
Kota Kediri yang juga dijoloki dengan nama Kota Tahu dan Kota Gudang Garam 
sememangnya terkenal sebagai pengeluar makanan berasaskan soya tersebut. Dalam 
pada itu, Kediri juga adalah pusat pengeluaran rokok gudang garam surya yang 
terbesar di dunia.
 
Antara pengisian PPN 2008 ialah seminar kesusasteraan pada 1 dan 2 Julai 
bertempat di kampus Unik yang terletak di lembah Gunung Klothok. Di sinilah 
wujudnya Gua Selomangleng yang tercatat dalam Hikayat Panji Semirang dan 
Hikayat Babad Kadhiri.
 
Seminar ini menampilkan pembentang-pembentang kertas kerja dari Indonesia 
seperti Ahmadun Yosi Herfanda, Diah Hadaning, Dinullah Rayes, Korrie Layun 
Rampan, Endang W, Khoril Anwar, Viddy AD Daery dan Shantinet.
Pembentang kertas kerja dari Malaysia pula ialah , Kemala, S.M. Zakir, Mohamad 
Saleeh Rahamad, Shamsudin Othman dan Dr. Ibrahim Ghaffar.
 
Pada malamnya diadakan acara baca puisi yang dirakamkan di Studio Doho yang 
disiarkan dalam satu rancangan talk show televisyen Indonesia. Kemuncak acara 
adalah Mesyuarah Penyair Nusantara yang diadakan di Unik yang antara lain 
memutuskan kesanggupan Pena untuk mengambil alih tugas penganjuran PPN 2009 di 
Kuala Lumpur.
 
Sementara itu, S.M. Zakir dalam ucapan penangguhan pada majlis penutupan pesta 
tersebut di Sanggar Mulang Sara menegaskan PPN dapat mengeratkan semangat 
setiakawan budayawan nusantara khususnya Malaysia dan Indonesia yang berusaha 
mengeratkan silaturahim yang selama ini dijarakkan oleh peranan negatif media 
melalui perjuangan sastera dan budaya.
 
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa kesediaan Pena untuk 
menganjurkan PPN 2009 di Malaysia adalah usaha membentuk kesinambungan sastera 
melalui gerakan generasi pelapis yang kini memikul tanggungjawab untuk 
mengimarahkan dunia sastera Melayu dan Nusantara yang mendunia sifatnya.







TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
• Mengenang nasib bangsa melalui puisi
• Kuala Lumpur tuan rumah PPN 2009
• Enam kumpulan berentap di FTM2008 Pencarian juara bermula
• Mengenang nasib bangsa melalui puisi
• Kuala Lumpur tuan rumah PPN 2009
• Enam kumpulan berentap di FTM2008 Pencarian juara bermula
• Rindu berladung di Pulau Duyung
• Mengenali Usman Awang
• Pengarang Malaysia perlu berjiwa besar
• Catatan untuk Cleopatra VII



      

Kirim email ke