RENCANA- UTUSAN MALAYSIA < Minggu 27 Juli 2008

 
 
 

                
                













Elak Melayu diremehkan




Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan, Pensyarah Jabatan Sosio Budaya Melayu, 
Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. 



Tiada sesiapapun dapat menafikan bahawa selepas pilihan raya umum
lalu, satu demi satu perkara berkaitan dengan hak dan kepentingan orang
Melayu semakin tergugat atau sekurang-kurangnya ‘diganggu’.

 Pihak-pihak tertentu sudah berani melakukan permintaan demi
permintaan yang kadang kala ada antaranya bertentangan dengan
perlembagaan.

Orang Melayu dikatakan tidak mampu berbuat apa-apa berikutan
cengkaman politik mereka dikatakan semakin longgar. Namun sebagai dua
parti terbesar orang Melayu, UMNO dan Pas tidak mahu terus mendiamkan
diri.
 Mereka ingin memberi isyarat bahawa dalam soal mempertahankan

kepentingan Melayu dan Islam, tidak mustahil mereka akan duduk semeja
membincangkannya.

 Itulah yang dibuktikan apabila UMNO dan Pas bersedia mengadakan
muzakarah yang kemudiannya ditukar kepada muqabalah demi untuk
memastikan Melayu dan Islam tidak diperkotak-katikkan.

 Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU
HUSSAIN dan ZULKIFLEE BAKAR, Pensyarah Jabatan Sosio Budaya Melayu,
Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Prof.Madya Datuk Zainal
Abidin Borhan mengupas isu muzakarah ini.

 Beliau menyatakan betapa gembiranya orang Melayu apabila melihat
kedua-dua pemimpin parti besar berkenaan bersedia bermuzakarah.
 Zainal Abidin turut mengulas kesan pertemuan ini kepada orang
Melayu dan apakah seharusnya menjadi keutamaan dalam menjayakan
muzakarah berkenaan.

MINGGUAN: Bagaimana Datuk melihat muzakarah atau muqabalah yang diusahakan oleh 
UMNO dan Pas?

ZAINAL ABIDIN: Saya secara peribadi dan seluruh umat Islam yang peka
dan prihatin kepada perpaduan Melayu akan menyokong usaha ini. Tetapi
ia janganlah dibataskan dalam ruang politik semata- mata kerana ini
akan membataskan perbincangan. Namun begitu kesudian kedua-dua parti
ini untuk mengadakan muzakarah telah menunjukkan perubahan kepada
pemikiran mereka yang sebelum ini terlibat dalam pelbagai peristiwa
dalam dunia politik. Tidak kisahlah kalau ia ditukar istilah kepada
muqabalah, orang Melayu tetap menyokong usaha ini, ia memandangkan
orang Melayu sedang berhadapan dengan banyak masalah.

Bagaimana dengan ruang lingkup muqabalah ini, apa yang seharusnya diutamakan?

ZAINAL ABIDIN: Kita perlu mencipta negarawan bukan ahli politik. Ini
kerana ahli politik hanya memikirkan lima tahun sekali iaitu apabila
pilihan raya menjelang. Ertinya mereka hanya memikirkan kuasa. Tetapi
kalau negarawan ia memikirkan bangsanya. Dia berfikir tentang
generasi-generasi yang akan datang. Jadi usaha ini adalah usaha
negarawan, justeru kita harus memuji Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah
Ahmad Badawi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana
melihat kepentingan bangsa dan agama dalam kerangka yang lebih luas.

 Apa pun muzakarah ini jangan difokuskan hanya kepada politik Melayu
kerana ia sudah pasti akan menyebabkan UMNO dan Pas berhadapan dengan
cabaran lebih dahsyat kerana ada pihak yang akan menolak. Tambahan pula
ketika ini arena politik negara sudah berubah. Jika dulu hanya ada
pertarungan ideologi antara nasionalisme Melayu dan Islam tetapi
sekarang sudah ada Malaysian Malaysia. Malah sudah ada orang Melayu
yang memperjuangkan konsep berkenaan.

 Ini bererti ia akan menyukarkan perbincangan jika dibataskan kepada
kepentingan politik. Oleh itu muzakarah ini perlu memberi tumpuan
kepada soal- soal kemiskinan, pendidikan, kebudayaan dan sosial Melayu.
Malah apa yang lebih penting sekali apakah langkah yang akan dilakukan
oleh UMNO dan Pas bagi meletakkan Melayu sebagai induk kepada sebuah
negara itu. Usaha ini penting kerana kalau dahulu kita tahu siapa yang
mempopularkan Malaysian Malaysia tetapi sekarang sudah ada orang Melayu
menerima konsep berkenaan dan konsep kesamarataan. Selain itu, kita
juga hendak tahu apakah kepimpinan Melayu dalam semua parti politik
bersedia menurunkan taraf Melayu daripada sebuah bangsa yang
kerangkanya sudah wujud sejak beribu- ribu tahun lalu kepada sebuah
kaum. Inilah cabaran yang menanti.

 
Sebagai orang yang tidak terlibat dalam politik, pada pandangan Datuk kenapakah 
muzakarah ini diwujudkan?

ZAINAL ABIDIBN: Bagi saya, semua ini berlaku berikutan kesan pilihan
raya umum pada 8 Mac lalu. Perkiraan saya mudah, ketika UMNO kuat soal
muzakarah ini tidak timbul namun muzakarah ini berlaku apabila UMNO
semakin melemah. Bagaimanapun kalau inilah hujah yang kita ambil, maka
sampai bilapun tidak akan bertemu dua kuasa besar politik Melayu ini. 
 Pada masa itu, kita harus mengurangkan politiking. Perkara yang
perlu difikirkan lebih jauh sama ada hendak memikirkan kuasa politik
UMNO sahaja atau melihat kepentingan umat Melayu dengan lebih luas lagi.

 Apa yang perlu difahami situasi sekarang berbeza dengan keadaan
pada tahun 1974 atau 1978, UMNO sudah berbeza. Semua parti politik kini
berhadapan dengan cabaran ideologi. Ini jelas apabila orang mula
mencabar ketuanan dan kedaulatan Melayu, malah ada orang Melayu sendiri
mempersoalkan ketuanan Melayu.
 Jadi perbincangan antara UMNO dan Pas itu mestilah difikirkan melalui sudut 
seorang negarawan dan bukannya kepentingan puak.
 
Tetapi masih ada pihak mengungkit perkara lama, tidakkah ini akan menghalang 
penyatuan Melayu?

ZAINAL ABIDIN: Untuk melihat masa depan sudah pasti mereka yang
terlibat akan melihat pengalaman masa lalu tetapi sebagai negarawan ia
akan memikirkan bahawa yang lepas itu lepas, sekarang adalah masa untuk
mencipta masa depan. Ini yang perlu difikirkan, apakah negarawan kita
yang baru ini mampu memikirkan masa depan atau perlu ada
komuniti-komuniti lain, bagaimana dengan pertubuhan-pertubuhan bukan
kerajaan yang mewakili orang Melayu? Mereka juga menjaga kepentingan
Melayu. 
 Mungkin muzakarah antara UMNO dan Pas ini adalah forum yang lain
namun kita perlu ambil iktibar bagaimana NGO-NGO bukan Melayu menguasai
atau memanyungi aktiviti mereka dan memainkan peranan dalam menjaga
kepentingan kaum mereka. Kita perlu memikirkan bagaimana cara untuk
mencari model terbaik dalam menjayakan muzakarah atau muqabalah UMNO
dan Pas ini.

Selama ini orang begitu menunggu UMNO dan Pas duduk semeja, jadi adakah kali 
ini ia akan berjaya?

ZAINAL ABIDIN: Sebenarnya daripada dulu lagi orang Melayu menaruh
harapan terhadap perkara itu. UMNO dan Pas hakikatnya daripada pohon
yang sama tetapi disebabkan kepentingan-kepentingan berbeza mereka
berpecah.
 Namun saya yakin orang Melayu amat mengharapkan perbincangan antara
kedua-dua parti ini. Walaupun ia gerakan daripada kepimpinan tinggi
parti-parti terlibat tetapi rakyat merasa lapang dan lega serta
bersyukur kerana ada usaha itu.
 Ini kerana bukan senang untuk kepimpinan Pas menyakinkan
ahli-ahlinya. Oleh itu usaha muzakarah ini juga perlu mendapat sokongan
padu daripada akar umbi di dalam Pas dan UMNO. Mereka perlu
membincangkan perkara ini bagi menjayakannya. Kalau semua mengarah
kepada matlamat itu, sudah pasti tidak ada masalah.
 Tetapi bagi saya, usaha untuk meletakkan UMNO dan Pas duduk semeja
tersebut perlu dilaksanakan. Kalau nanti dalam pilihan raya mereka
hendak bertarung antara satu sama lain teruskanlah. Sudah pasti
berdasarkan pengalaman masa lalu, mereka amat berhati-hati dan saya
juga berpendapat soal sama ada UMNO akan masuk Pas atau Pas masuk UMNO
tidak akan dibincangkan dalam muqabalah ini.
 
Muqabalah ini diadakan ketika orang Melayu dikatakan berada dalam keadaan 
tergugat ?

ZAINAL ABIDIN: Apabila kita membaca kenyataan- kenyataan yang dibuat
oleh pihak tertentu adalah jelas mereka mencabar kedudukan orang
Melayu. Sebab itulah adalah penting kita bersatu di saat Melayu dilihat
semakin melemah. Orang Melayu kini sudah dilihat diremehkan oleh banyak
pihak dan terbaru, sudah ada pemimpin Melayu yang meremehkan orang
Melayu. Jadi kelemahan-kelemahan ini perlu dibincangkan supaya kita
mempunyai hujah bagi berhadapan dengan tindakan seumpama itu. Kalau
tidak nanti pada masa depan kita tidak ada hujah-hujah bagi
mempertahankan hak orang Melayu.
 Oleh itu muqabalah UMNO dan Pas ini amat ditunggu-tunggu kerana
hanya melalui penyatuan pemikiran sahaja yang dapat menyelesaikan
masalah orang Melayu sekarang.
 Atas sebab itu harus dipisahkan antara kepentingan politik
kepartian dan kepentingan orang Melayu dalam muzakarah berkenaan. Lagi
pula objektif penubuhan kedua-dua parti berkenaan demi kepentingan
Melayu dan Islam. UMNO dan Pas tidak ditubuhkan untuk mana-mana
pemimpin. Mereka perlu memperjuangkan Melayu dan Islam. 
Apakah perbezaan ketara antara UMNO dan Pas ini yang sering menyulitkan mereka 
untuk duduk semeja?

ZAINAL ABIDIN: Daripada dulu lagi kedua-dua parti ini bertentangan
ideologi sehingga tercetusnya peristiwa mengkafirkan nasionalisme
Melayu. Sebenarnya yang dipejuangkan ialah semangat kebangsaan Melayu
dan ia tidak boleh dipisahkan dengan Islam. Tetapi pada tahun 1970an,
orang UMNO sendiri tidak mahu menggunakan istilah nasionalisme Melayu
dan sekarang ini pula hendak menyebut istilah itupun tidak dibenarkan
kerana dilihat perkauman.
 Sebenarnya nasionalisme Melayu itu tidak pernah perkauman dan tidak
pernah menzalimi mana-mana kaum. Sebaliknya ia boleh bekerjasama dengan
kaum lain. Apa yang berlaku sebenarnya hanya persepsi-persepsi. Tetapi
dalam keadaan untuk menjayakan muzakarah ini, soal ideologi ini perlu
diketepikan utamakan kepentingan umat. Saya yakin kedua-dua parti itu
akan menggunakan garis panduan yang ditetapkan dalam al-Quran bagi
membincangkan perkara-perkara ini.
 
Bagaimana kita hendak menyedarkan orang Melayu betapa penting muqabalah ini 
kepada mereka?

ZAINAL ABIDIN: Saya fikir media harus memainkan peranan bukan
sekadar surat khabar dan televisyen sahaja, malah filem, muzik, lagu
dan animasi perlu turut terlibat. Mereka perlu memainkan peranan ke
arah itu. Ia akan lebih menyentuh orang Melayu. Tidak semua orang mampu
menterjemahkan sesuatu yang tersirat dalam berita atau wawancara
berkaitan cabaran-cabaran yang berlaku dari luar dan dalam negeri
mengenai kepentingan Melayu.
 Tetapi melalui media elektronik termasuk filem, muzik dan lagu ia
akan lebih cepat menyentuh perasaan. Itu yang akan menyerap ke dalam
jiwa orang Melayu kesedaran perlu mereka bersatu.
 Atas sebab itu saya berpandangan selepas bermuzakarah barangkali
dilimpahkan perbincangan mereka kepada NGO-NGO untuk menggerakkannya
mengikut kepada kepakaran masing-masing. 
 Kalau sekadar di muzakarah sahaja ia tidak akan ke mana kerana
apabila berlangsungnya pilihan raya nanti mereka akan bergaduh semula.
Kita harus menerima hakikat bahawa bermula daripada ahli politik hingga
rakyat belum pandai lagi bersatu selepas pilihan raya. Kita tidak
mencipta negarawan dalam diri. Perbezaan pendapat antara satu sama lain
tidak diraikan. Oleh itu kita perlu mendidik rakyat selepas itu untuk
kembali bersatu.

Adakah perpaduan antara UMNO dengan Pas dapat menyatukan orang Melayu?

ZAINAL ABIDIN: Saya amat berharap Majlis Raja-Raja dapat memainkan
peranan kerana dalam Perlembagaan, raja-raja adalah tunggak pelindung
kepada apa saja peruntukan dalam Perlembagaan. Semua raja perlu
memainkan peranan menjadi pelindung kepada orang-orang Melayu. Ini
bukan bermakna kita hendak kembali kepada zaman feudal tetapi itu yang
diperuntukkan dalam Perlembagaan. Raja-raja bukan saja pelindung kepada
orang-orang Melayu malah pelindung kepada rakyat Malaysia.

Jadi maknanya kali ini tidak boleh sekerat jalan lagi?

ZAINAL ABIDIN: Tidak boleh lagi. Kita tidak mengharapkan mereka
membubarkan parti dan menjadi satu parti Melayu. Kita tidak boleh
menjangkakan itu, sekalipun ia boleh berlaku. Tetapi setakat ini
biarlah Pas dan UMNO kekal dengan entiti masing-masing. Kalau pilihan
raya umum nanti, bolehlah bertanding atas nama parti masing-masing.
Tetapi kita memerlukan kewarasan dan kematangan dalam menyelesaikan
masalah.
 
Bagaimana pula dengan peranan akar umbi dalam hal muzakarah ini?

ZAINAL ABIDIN: Bagi saya pemimpin politik perlu mendidik rakyat
pentingnya perpaduan itu. Dalam konteks muzakarah ini kalau boleh
peringkat bawah dulu yang menyokong usaha ini. Suara-suara itulah yang
boleh menyedarkan rakyat. Sangat menarik kalau kita melihat dalam
kerangka buang yang keruh, ambil yang jernih untuk membina satu bangsa
Melayu. Dalam lain perkataan kena buka buku baru. Semua ini memerlukan
seorang yang bertaraf negarawan.
 
Kenapa kaum lain misalnya Cina cepat bersatu apabila menyentuh
tentang kepentingan kaum mereka? Kenapa orang Melayu lambat sangat?

ZAINAL ABIDIN: Saya fikir salah satu faktor kerana dalam sistem
politik yang ada, kita mengharapkan hanya kepada seorang manusia saja
melakukannya. Kita serahkan kepada Perdana Menteri dan tidak pernah
dalam UMNO sendiri melihat sumbangan- sumbangan baru atau idea daripada
orang lain. Begitu juga dalam Pas. Mereka ibaratkan para pemimpin
politik ini panglima perang. Kita selalu berfikir secara kelompok atau
puak. Sedangkan bagi kaum lain mereka menyusun strategi. 
 Kalau kita lihat baru-baru ini, walaupun dapat sedikit kuasa
politik mereka sudah mengubah papan tanda jalan. Tetapi orang Melayu
masih tertakluk kepada pembesar, kita dengar cakap Yang Berhormat dalam
apa juga keadaan. Sekarang orang Melayu kena fikir untuk mengubah
keadaan dan ini perlu berlaku dalam Pas dan UMNO. Dalam kedua-dua parti
asalnya alif, ba, ta iaitu agama, bangsa dan tanah air. Tetapi kita
tidak pandai untuk mempertembungkan kedua-dua parti ini.
 
Kalau dibandingkan dengan bangsa lain atau agama lain, Melayu
sepatutnya lebih bersatu sebab Islam mengajar tentang perpaduan. Apa
komen Datuk?

ZAINAL ABIDIN: Sepatutnya begitu kerana Islam sendiri menyeru ke
arah penyatuan ummah. Tetapi kita memerlukan pendidikan politik yang
betul dan orientasi politik yang jelas. Kalau orientasi politik tidak
berlaku dalam politik kita, perjuangan adalah untuk perut sajalah.
Kerana itu kita perlu tahu apa yang diperjuangkan dalam politik.
Apakah harapan Datuk terhadap muzakarah ini?

ZAINAL ABIDIN: Saya fikir kalau betul-betul menggerakkan seluruh
tenaga umat Melayu dan Islam serta disusun strategi, hasrat ini akan
berjaya. Tetapi kalau ada pemimpin politik yang melihat kepentingan
parti, ideologi dan puak semua ini tidak akan berjaya. Ketaksuban kita
kepada ideologi politik terlalu kuat. Malah kadang kala ketaksuban
kepada pemimpin lebih kuat daripada ideologi politik. Barangkali benar
juga tanggapan bahawa kita baru belajar berpolitik dan demokrasi.
Muzakarah ini memerlukan masa untuk dilihat hasilnya tetapi saya yakin
kalau betul caranya, ia akan berhasil.






      

Kirim email ke