HARI PERSANDINGAN Setelah sekian tahun bercinta dan berkasih sayang Tibalah masanya semalam kita dinikahkan Dengan berwalikan bapamu dan disaksikan keluarga Di hadapan iman mukim serta sanak saudara Yang jauh dan dekat Yang menetap dan yang berpulang.
Dengan debar di dada, kusempurnakan suara cintaku Ijab Kabul lafaz berbalas lafaz Dan bermulalah saat ini, kau kekasihku berubah menjadi isteri. Kau cium tanganku bukan lagi seperti sepasang kekasih lain Bercumbuan dalam semak samun haram hukum adat Haram hukum agama dan silap tata budi bahasa bangsa. . Hari ini kutahu keluargamu yang juga kini keluargaku Dengan hilai tawa gurau senda Memeriahkan suasana upacara, memasak mengulai, menghidang Menyambut tamu dengan berbunga senyuman. Tanpa hiraukan penat lelah letih lenguh badan dan minda.. Petang ini ketika aku tiba di perkarangan seperti seorang raja diiringi tingkahan irama gendang berpayung penuh keriangan, penuh kegembiraan menuju kepadamu isteriku yang menunggu di pelamin dengan senyuman mengharum semerbak mewangi. Renjisan air mawar, diiringi doa dan para jemputan menghulur pemberian hadiah hari persandingan ini Di pelamin indah ukiran mak andam Dan kilauan sinar menerjah merakam wajah Sebagai tanda kita pernah disandingkan di pelamin sejarah Isteriku, Biarpun kini kita bergelar suami isteri Tapi kita teruskan jua nada cinta kita Dari senja ke senja Dari dini ke dini sepanjang musim. Hari ini isteriku, kita harus mula berdendang Lagu-lagu kehidupan sepanjang musim, Lagu kebahagiaan kita hingga ke akhir zaman. Ediramle Ismail Sajak ini (kalau boleh dinamakan sajak) kutulis setelah lebih lima belas tahun aku tidak menulis puisi, Bermula dengan kutulis dalam ingatan ketika gendang dipalu mengiringi silat yang dipersembahkan untuk sepasang pengantin baru di majlis yang kuhadiri hari ini. Selama itu suara hatiku seakan berkata , bersajaklah biarpun sajak-sajak yang diukir hanya untuk sekadar tatapan jiwamu sendiri. 19 Ogos 2008 Kok Pasir, Tumpat, Kelantan.
