RENCANA-UTUSAN MALAYSIA
Sejarah, Utusan Melayu dan duri dalam daging
SEJARAH tidak pernah berbohong dan ia akan menceritakan kisah-kisah
silam dan juga yang baru beberapa jam berlaku. Yang berbohong dan
sering memutarbelitkan fakta ialah manusia. Dalam sejarah, banyak yang
boleh dipelajari. Yang baik dijadikan teladan, yang jahat dijadikan
sempadan. Itulah sejarah yang sering kita pinggirkan dan tidak diambil
berat. Berani saya katakan, rakyat Malaysia - terutamanya generasi muda
- semakin tersisih dengan sejarah.
Profesor Datuk Dr. Zainal Kling pernah memberitahu saya bahawa
Malaysia akan berada dalam keadaan bahaya sekiranya, rakyatnya tidak
tahu sejarah. Sejarah asal usul penubuhan Malaysia, sejarah asal usul
politik Malaysia dan menjuruslah kepada sejarah pra dan
pasca-Kesultanan Melayu, sudah tidak diambil endah oleh generasi
sekarang.
Saya tidak pasti mengapa fenomena ini berlaku, namun, sedikit
sebanyak kita boleh salahkan juga kepada sistem pendidikan. Ia diakui
Prof. Zainal yang berkata "semakin ramai pelajar sekolah menengah kita
yang sudah tidak berminat mempelajari dan mengetahui mengenai sejarah
tanah air. Pelajar sains misalnya, tidak minat langsung dan ada yang
tidak berpeluang belajar sejarah."
Utusan Melayu turut mempunyai sejarah yang panjang. Namun, saya
yakin tidak ramai yang mengenai asal usul akhbar ini, yang pada mula
penubuhannya pada 1939 diterbitkan dalam tulisan jawi. Tulisan jawi
ialah tulisan rasmi yang digunakan oleh umat Melayu sejak ratusan tahun
dalam alam Nusantara ini. Sehinggalah pada tahun 1967 Utusan Malaysia,
yang bertulisan rumi diterbitkan dan bergerak seiring dengan abangnya
Utusan Melayu bertulisan jawi.
Kini akhbar tulisan jawi hanyalah akhbar sisipan dalam Utusan Malaysia yang
diterbitkan secara percuma setiap Isnin dan dikenali sebagai Utusan Melayu
Mingguan.
Tidak pasti, sampai bila akhbar jawi dan kalam jawi itu sendiri akan
bertahan. Yang pasti, cubaan untuk 'menghilangkannya' sudahpun ada.
Sejarah akhbar ini sungguh besar sekali. Pak Said Zahari (Ketua Pengarang
Utusan 1959-1961) dalam tulisannya bertajuk Mogok Utusan Kenapa dan Untuk Apa?
berkata, Utusan Melayu sejak lahirnya dalam tahun 1939, berikrar akan
berkhidmat untuk bangsa, agama dan negara. Utusan Melayu
telah meniupkan semangat kebangsaan, menanamkan bibir-bibit perjuangan
pembebasan daripada belenggu penjajahan yang telah menindas dan
menginjak maruah mereka sejak ratusan tahun.
Katanya lagi: "Utusan Melayu dilahirkan oleh patriot-patriot
Melayu sejati yang mahu mengembalikan keagungan dan maruah bangsanya
yang telah luput oleh angkara penjajahan. Para wartawan dan setiap
pekerja lainnya yang bertanggungjawab menerbitkan lembaran-lembaran Utusan
Melayu setiap hari adalah pejuang bangsa yang menggunakan Utusan Melayu sebagai
senjata dan alat perjuangannya.''
"Penjajah Inggeris tidak pernah senang dengan Utusan Melayu. Dari mula-mula
lagi Utusan Melayu
sudah menjadi duri dalam daging penjajah Inggeris. Mereka menyedari
bahawa kepentingan politik, ekonomi dan keselamatannya di rantau ini
akan terancam sekiranya Utusan Melayu dibiarkan dengan dasar dan cita-cita
perjuangan serupa itu," kata Pak Said.
Zainuddin Maidin (Ketua Pengarang Utusan 1982-1992) pula pernah menulis:
"…sejak Utusan Melayu
mendorong kepada penubuhan UMNO, komitmennya kepada perjuangan asal
yang merangsangkan pelancaran mogok dan peranan utamanya di dalam
menentang konfrontasi Indonesia dan memerangi 'Malaysian Malaysia' Lee Kuan Yew
(bekas Perdana Menteri Singapura) adalah menjadi bukti yang amat jelas bahawa
Utusan Melayu
didokong oleh orang-orang yang berjiwa besar, orang-orang perjuangan
yang tidak pernah takut dan gentar. Baik di kiri atau di kanan, mereka
adalah anak-anak Utusan Melayu yang berani, penuh dedikasi dan mempunyai
perasaan yang amat mendalam terhadap Utusan Melayu."
Sejarahnya, "Utusan Melayu tidak dilahirkan di atas dulang
emas. Salah seorang pengasasnya Allahyarham Yusoff Ishak menitiskan air
mata apabila ia dapat mencukupkan modal daripada beberapa orang Melayu
bagi menerbitkan Utusan Melayu di Singapura pada 29 Mei 1939. Utusan Melayu
lahir dengan semangat yang dibangunkan oleh kemiskinan dan keinsafan."
Hari ini rakyat Malaysia, terutama anak-anak Melayu tidak tahu itu
semua. Mereka tidak peduli lagi dengan akhbar yang memperjuangkan apa
yang mereka perolehi hari ini. Di sebalik akhbar-akhbar Cina di
Malaysia menjadi jualan tertinggi di antara akhbar-akhbar yang ada di
negara ini, akhbar Melayu semakin disisihkan.
Orang Melayu sendiri menyisihkan akhbar ini. Dengan jualannya yang
semakin menurun, saya tidak pasti sampai bila akhbar keramat ini akan
kekal bertapak di atas muka bumi Malaysia ini.
Hari ini juga Utusan Malaysia akan meneruskan perjuangannya,
walaupun, ia sering ditohmah sebagai 'duri dalam daging' oleh
pihak-pihak tertentu yang mempunyai kepentingan. Walaupun ia diboikot
oleh tiga negeri pembangkang Pulau Pinang, Perak dan Selangor (kecuali
Kelantan dan Kedah), walaupun ia dipulau daripada menghadiri acara yang
dianjurkan oleh Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim, wartawannya tidak
akan berputus asa. Tindakan itu tidak sedikit pun menjejaskan
perjuangannya sebagai Penyebar Fikiran Rakyat. Biarlah Utusan Malaysia menjadi
'duri dalam daging' mereka asalkan maruah agama, bangsa dan negara terpelihara.
___________________________________________________________________________
Yahoo! sekarang memiliki alamat Email baru.
Dapatkan nama yang selalu Anda inginkan di domain baru @ymail dan @rocketmail.
Cepat sebelum diambil orang lain!
http://mail.promotions.yahoo.com/newdomains/id/