CIMB Wilayah Timur gagal bayar RM15.63j kena sita

KUALA TERENGGANU: Pejabat CIMB Wilayah Timur di Jalan Sultan Ismail di sini, 
disita semalam kerana gagal memenuhi 
pembayaran RM15.63 juta yang dituntut syarikat kontraktor Bumiputera dari Kota 
Bharu, Kelantan, Zima Properties Sdn Bhd 
berikutan bank itu tidak mematuhi persetujuan memberi pinjaman bernilai RM11 
juta. 

Penyitaan bangunan tiga tingkat di Lot 3083 membabitkan semua harta CIMB, 
termasuk mesin ATM, bilik kebal serta perabot 
itu dibuat pada jam 9.30 pagi oleh peguam yang mewakili syarikat terbabit, 
Tetuan Wan Zainuddin & Co dan bailif Mahkamah 
Tinggi Kuala Terengganu melalui writ penyitaan inventori dikeluarkan Mahkamah 
Kota Bharu pada 1 September lalu. 

Penyitaan bank itu menyebabkan keadaan sesak dan kecoh di luar bank apabila 
orang ramai yang ingin berurusan tidak dapat 
berbuat demikian berikutan semua operasi perbankan terpaksa dihentikan dan 
kakitangan serta pegawai bank diarah berhenti 
bertugas serta-merta. 

Mengikut writ penyitaan, jika CIMB gagal menjelaskan jumlah dituntut serta 
mendapatkan perintah menggantung pelaksanaan 
writ daripada mahkamah, plaintif, Zima Properties Sdn Bhd tiada pilihan 
melainkan memohon mahkamah melelong semua aset 
bank berkenaan dalam tempoh 14 hari bermula semalam. 

Peguam, Wan Zainuddin Wan Musa, berkata tuntutan pembayaran itu dibuat plaintif 
sejak Mei lalu supaya CIMB membayar 
ganti rugi yang sudah dibelanjakan syarikat terbabit selepas bank itu gagal 
menjelaskan nilai pinjaman plaintif bernilai RM11 juta 
yang diluluskan bank pada Mac 2005. 

Beliau berkata, pinjaman bernilai RM11 juta dibuat syarikat terbabit untuk 
membangunkan projek perumahan di Taman Desa 
Permai, Pasir Mas, Kelantan dan berikutan tindakan CIMB menstruktur semula 
jumlah pinjaman tanpa menyatakan sebab dan 
mengubah nilai pinjaman kepada hanya RM4.29 juta menyebabkan plaintif kerugian. 

Tindakan defendan itu menyebabkan plaintif mengemukakan saman menuntut tiga 
ganti rugi khas dan satu ganti rugi am 
berjumlah RM115 juta berikutan kehilangan keuntungan RM7.8 juta, RM6.6 juta 
untuk kos sudah dibelanjakan, RM975,343 nilai 
faedah yang dibayar kepada CIMB serta ganti rugi akibat menjejaskan reputasi, 
nama baik dan potensi perniagaan syarikat 
terbabit. 

Mahkamah Kota Bharu kemudian mengarahkan defendan membayar ganti rugi berjumlah 
RM15.6 juta kepada plaintif pada 6 
Ogos lalu iaitu ganti rugi khas di atas keuntungan bakal diperoleh daripada 
projek sebanyak RM7.8 juta, ganti rugi khas kos 
dibelanjakan dalam pembelian hartanah dan pembinaan projek bernilai RM6.6 juta, 
ganti rugi khas faedah sudah dibayar 
sebanyak RM957,343 dan faedah kepada kadar lapan peratus setahun bermula 
daripada tarikh penghakiman hingga 
penyelesaian penuh. 

--~--~---------~--~----~------------~-------~--~----~
You received this message because you are subscribed to the Google Groups "php 
malaysia" group.
To post to this group, send email to [email protected]
To unsubscribe from this group, send email to [EMAIL PROTECTED]
For more options, visit this group at http://groups.google.com/group/phpmalaysia
-~----------~----~----~----~------~----~------~--~---

Kirim email ke