Luar Negara Dakwaan fitnah semata-mata - Bakal calon Presiden AS
nafi belajar di sekolah radikal Indonesia
GAMBAR yang dirakamkan pada 1969 ini menunjukkan pelajar SDN Menteng 1 di
Jakarta sewaktu menghadiri majlis penghujung tahun.Bulatan kecil menunjukkan
Barack Obama yang kini berusia 46 tahun. AP.
---------------------------------
WASHINGTON 25 Jan. Senator Demokrat, Barack Obama yang menawarkan diri
untuk merebut jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) tahun depan, semalam
menyangkal dakwaan kononnya beliau pernah belajar di sebuah sekolah Islam yang
bersifat radikal ketika kanak-kanak.
Obama, 46, menyifatkan laporan itu sebagai fitnah sementara pengarah
komunikasi beliau menghantar memo menerusi e-mel untuk menjelaskan perkara
sebenar.
Saya fikir mereka tentu sedar yang tempoh saya belajar di Indonesia selama
dua tahun pada usia 7 dan 8 tahun tidak akan membahayakan rakyat Amerika
Syarikat (AS) daripada sudut mana sekali pun, kata Obama pada program Today
terbitan NBC.
Obama yang mengumumkan hasrat menjadi calon Demokrat untuk menduduki White
House pada pemilihan 2008, bertekad mempertahankan reputasinya daripada tuduhan
bukan-bukan seperti yang pernah dialami oleh Senator John Kerry sehingga
menjejaskan beliau pada pilihan raya Presiden 2004.
Sementara itu, temu bual AP di sekolah rendah di Jakarta itu mendapati, ia
sebuah institusi awam dan bersifat sekular yang dibuka kepada pelajar berlainan
agama, lama sebelum Obama menghadirinya pada akhir 1960-an.
Obama yang lahir 4 Ogos 1961 di Hawaii itu berpindah ke Indonesia pada usia
enam tahun apabila ibunya yang telah bercerai dengan bapanya, mengahwini
seorang lelaki Indonesia.
Mereka sekeluarga menetap di negara itu dari 1967 hingga 1971 dan Obama
belajar di beberapa sekolah di sana sehingga berumur 10 tahun apabila beliau
kembali ke Hawaii untuk tinggal bersama-sama datuk dan nenek di sebelah ibunya.
Dakwaan itu bersifat fitnah dan tidak benar sama sekali.
Memang benar kebanyakan pelajar kami adalah Islam tetapi ada juga pelajar
Kristian kerana semua orang diterima di sini kerana ini sekolah kerajaan, kata
Timbalan Pengetua SDN Menteng 1, Akmad Solichin.
Seorang jurucakap Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia berkata semalam,
dakwaan Obama belajar di sekolah Islam adalah tidak berasas.
SDN Menteng 1 sebuah sekolah rendah kerajaan yang dibuka kepada pelajar
semua agama. Lagi pun beliau sebelum itu belajar di sekolah Katolik, Fransiskus
Assisi, kata jurucakap kementerian, Sutopo.
Dakwaan Obama pernah belajar di sebuah pesantren radikal muncul dalam laman
web majalah konservatif AS, Insight, sehari selepas beliau mengumumkan
pendirian untuk merebut jawatan Presiden AS.
Blog konservatif dan Fox News Channel menyebarkan dakwaan itu ketika proses
pencalonan beliau baru hendak bermula.
AP
---------------------------------
It's here! Your new message!
Get new email alerts with the free Yahoo! Toolbar.